DOLAR Amerika Syarikat (AS) selama ini berfungsi sebagai simbol kestabilan dan perlindungan dalam sistem kewangan antarabangsa. Ia menjadi mata wang rizab utama dunia kerana tahap keyakinan pelabur terhadap kekuatan ekonomi dan kestabilan dasar AS. Namun, perkembangan terkini menggambarkan gambaran yang jauh berbeza dan membimbangkan.
Sejak mencatatkan paras tertinggi pada pertengahan Januari, nilai dolar jatuh lebih daripada sembilan peratus berbanding sekumpulan mata wang utama global.
Lebih merisaukan, hampir separuh daripada kejatuhan tersebut berlaku hanya sejak 1 April, satu tempoh yang juga menyaksikan kenaikan hasil bon Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun sebanyak 0.2 mata peratusan.
Kebiasaannya, apabila hasil bon meningkat, ia menunjukkan daya tarikan pelaburan terhadap aset AS. Namun dalam kes ini, walaupun hasil meningkat, dolar tetap jatuh. Ia petanda luar biasa dan menjadi isyarat awal pelabur antarabangsa semakin hilang keyakinan terhadap pasaran dan ekonomi negara itu.
Salah satu faktor yang menyumbang tekanan ke atas dolar ialah dasar perdagangan proteksionis yang diperkenalkan semasa pentadbiran Presiden Donald Trump, khususnya pelaksanaan tarif ke atas import daripada China dan beberapa negara lain. Walaupun matlamat utama tarif ini untuk melindungi industri domestik namun, kesan jangka panjangnya adalah peningkatan kos pengeluaran dan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan global. Tarif yang tinggi menyebabkan barangan import menjadi lebih mahal dan negara-negara terjejas pula mengambil langkah balas seperti mengenakan tarif terhadap produk AS.
Kesan langsung daripada perang perdagangan ini ialah gangguan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap AS sebagai rakan dagang yang stabil. Dalam jangka panjang, ia melemahkan permintaan terhadap dolar kerana para pelabur dan bank pusat asing mula mempelbagaikan rizab mereka kepada mata wang lain, termasuk euro, yuan dan emas.
Tambahan pula, ketegangan perdagangan turut memberi tekanan kepada ekonomi global, seterusnya mengurangkan selera risiko pelabur terhadap aset dalam denominasi dolar.
Ketidaktentuan terhadap dolar AS berpunca daripada beberapa isu asas yang semakin membimbangkan pelabur global, terutamanya berkaitan kewangan dan politik dalaman negara itu.
Pertama sekali, hutang negara itu terus melonjak, melebihi AS$34 trilion (RM150 trilion) dan defisit bajet tahunan juga semakin melebar. Ini bermakna kerajaan AS membelanjakan jauh lebih banyak berbanding pendapatannya. Pelabur mula risau, sampai bila negara itu boleh menampung beban hutang yang semakin membesar?
Lebih memburukkan keadaan, terdapat krisis politik berulang berkaitan had siling hutang, iaitu had maksimum kerajaan AS boleh berhutang. Ketidakstabilan seperti ini menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa sehingga mendorong pelabur asing menjual bon-bon kerajaan AS, yang selama ini dianggap antara aset paling selamat di dunia. Maknanya, bila pelabur menjual bon, mereka juga menjual dolar.
Dalam masa yang sama, Rizab Persekutuan (Fed) yang selama ini menaikkan kadar faedah bagi mengekang inflasi, kini dilihat berada dalam dilema. Jika kadar faedah dinaikkan terlalu tinggi, ia boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara. Jika tidak dinaikkan pula, inflasi boleh menjadi tidak terkawal. Akibatnya, pasaran tidak lagi yakin Fed akan terus menaikkan kadar faedah dengan konsisten dan ini melemahkan tarikan pelaburan ke AS.
Krisis dolar boleh berlaku apabila pelabur mula hilang keyakinan dan secara besar-besaran menjual aset-aset yang menggunakan dolar AS. Jika keadaan ini berterusan, nilai dolar boleh merosot dengan cepat. Ini akan menyebabkan harga barangan import ke AS meningkat kerana nilai mata wangnya menjadi lemah, sekali gus mendorong inflasi dalam negara.
Lebih daripada itu, kejatuhan dolar boleh menggugat kepercayaan terhadap keseluruhan sistem kewangan global kerana banyak negara masih menyimpan dolar sebagai mata wang rizab utama.
Ketidaktentuan ini akan memberi kesan besar kepada negara-negara membangun, termasuk di rantau ASEAN dan China. Pelabur mungkin akan menarik balik modal secara tergesa-gesa, menyebabkan kadar pertukaran mata wang menjadi tidak stabil dan menimbulkan tekanan besar kepada pasaran kewangan serantau.
IMPLIKASI DUNIA
Krisis dolar bukan sahaja menggoncang sistem kewangan global, tetapi juga memberikan kesan langsung kepada negara-negara membangun, khususnya di rantau ASEAN yang amat bergantung kepada perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing.
Malaysia, Indonesia dan Filipina berada dalam kedudukan yang agak terdedah kerana sebahagian besar hutang luar dan transaksi perdagangan mereka adalah dalam mata wang asing, terutamanya dolar AS.
Apabila dolar mengalami kejatuhan nilai secara mendadak, kesan pantas yang akan dirasai ialah penyusutan nilai mata wang tempatan.
Dalam konteks Malaysia, ringgit mungkin akan melemah berbanding mata wang lain kerana pelabur asing menarik keluar modal bagi mengelakkan risiko kadar tukaran. Ringgit yang lemah akan menyebabkan kos import meningkat. Ini secara langsung akan mendorong kenaikan harga barangan dan menambah tekanan inflasi domestik.
Lebih membimbangkan, Malaysia mempunyai hutang luar yang ketara dalam denominasi dolar. Apabila nilai ringgit jatuh, bayaran balik hutang tersebut menjadi lebih mahal dalam mata wang tempatan. Hal ini akan meningkatkan beban kewangan kerajaan dan syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai pinjaman luar negara. Ia sekali gus boleh menjejaskan tahap pelaburan, pertumbuhan syarikat dan akhirnya kadar guna tenaga.
Dari segi pelaburan, ketidaktentuan nilai dolar juga boleh mencetuskan aliran keluar modal asing. Pelabur antarabangsa mungkin bertindak memindahkan dana mereka ke pasaran lain yang lebih stabil, sekali gus menekan pasaran saham dan bon tempatan. Kejatuhan pasaran modal akan melemahkan lagi sentimen ekonomi dan mengurangkan peluang pelaburan jangka panjang.
Selain itu, kesan limpahan daripada krisis dolar juga boleh mengganggu rantaian bekalan serantau, terutamanya jika rakan dagang utama seperti China dan AS turut mengalami ketidaktentuan ekonomi.
Malaysia sebagai negara eksport yang sangat bergantung kepada permintaan global akan merasai tekanan dari segi penurunan permintaan eksport, kelembapan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan cabaran dalam mengekalkan kestabilan kewangan.
Sekiranya krisis dolar benar-benar berlaku, ekonomi Malaysia akan terjejas melalui tiga saluran utama iaitu kelemahan ringgit dan inflasi, peningkatan kos hutang dan gangguan pelaburan serta kejatuhan permintaan global terhadap eksport Malaysia.-UTUSAN
Dr. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Forum Ekonomi Manusiawi.










