Data dari Jabatan Perangkaan mendapati kadar urbanisasi meningkat kepada lebih 75 peratus pada 2022. Dalam tempoh lima tahun terakhir, harga perumahan di bandar utama meningkat sehingga 25 peratus, manakala kadar sewa melonjak sehingga 30 peratus.
Di samping itu, kos pengangkutan turut meningkat disebabkan oleh kenaikan harga bahan api dan keperluan penyelenggaraan infrastruktur yang semakin mencabar akibat kesesakan lalu lintas.
Kajian pasaran menunjukkan 60 peratus penduduk bandar kini merasakan beban kos sara hidup semakin berat, terutama apabila pendapatan isi rumah tidak seiring dengan kenaikan harga barangan asas dan perkhidmatan. Apa yang dikhuatiri, pola miskin relatif akan semakin meningkat seiring usia negara yang semakin maju.
Urbanisasi turut membawa kepada peningkatan kos perkhidmatan asas. Kos pengangkutan, utiliti, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di kawasan bandar telah menunjukkan trend peningkatan yang berterusan.
Elemen strategik
Pembangunan perumahan mampu milik: Kerajaan kini giat melaksanakan program seperti Rumah Malaysia dan Skim Rent-to-Own (RTO) untuk membantu rakyat memiliki kediaman.
Inisiatif seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Residensi Wilayah terus dipergiat dengan sasaran pembinaan 500,000 unit menjelang 2025. Insentif cukai dan geran khas kepada pemaju perumahan mampu milik turut diperkenalkan untuk menggalakkan pembinaan lebih banyak unit kediaman berpatutan.
Pengukuhan sistem pengangkutan awam: Projek pengangkutan awam berskala besar seperti MRT3 (Circle Line) dan naik taraf sistem LRT sedia ada sedang rancak dilaksanakan.
Program Pas My50 telah berjaya meningkatkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 30 peratus, membuktikan keberkesanan subsidi pengangkutan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Pendidikan dan literasi kewangan: Bank Negara melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (JKP) telah melancarkan pelbagai program literasi kewangan di peringkat komuniti. Ini termasuk Program Celik Wang yang telah memanfaatkan lebih 500,000 peserta sejak 2021, portal MyPF yang mencatatkan 2 juta pengguna aktif dan Minggu Kesedaran Kewangan yang diadakan di 100 lokasi seluruh negara. Sebanyak 65 peratus peserta melaporkan peningkatan dalam pengurusan kewangan mereka, dengan purata penjimatan bulanan meningkat sebanyak RM300.
Program kerjasama dengan institusi kewangan tempatan turut menyediakan khidmat nasihat kewangan percuma dan bengkel pengurusan hutang yang telah membantu lebih 10,000 isi rumah menstruktur semula komitmen kewangan mereka pada 2023.
Kerjasama strategik antara komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam penganjuran program advokasi kewangan turut membantu bagi mendapatkan tahap literasi kewangan yang baik dalam kalangan masyarakat khususnya bagi golongan kanak-kanak dan remaja.
Penggunaan teknologi dan inovasi: Melalui platform digital seperti MyPay dan aplikasi perbandingan harga seperti PriceCatcher dari Kementerian Perdangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah membantu pengguna mendapatkan nilai terbaik daripada perbelanjaan mereka.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan, penggunaan MyPay telah meningkat sebanyak 40 peratus sejak 2022, dengan aplikasi perbandingan harga membantu pengguna menjimatkan purata sehingga 20 peratus daripada kos harian mereka.
Program DE Rantau dan Malaysia Digital telah membuka peluang pekerjaan digital yang membolehkan lebih 150,000 rakyat bekerja dari rumah, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan sehingga 15 peratus bagi pengguna yang terlibat.
Data daripada Kementerian Digital menunjukkan inisiatif ini turut meningkatkan penglibatan rakyat dalam ekonomi digital serantau.
Inisiatif seperti Program Retrofit dan NR-CERT telah mendorong penggunaan teknologi cekap tenaga. Kajian oleh Institut Teknologi Hijau mendapati bahawa penggunaan teknologi ini telah mengurangkan bil utiliti purata sebanyak 10 hingga 15 peratus bagi isi rumah di kawasan bandar.
Sokongan Ekonomi Setempat: Melalui Program Madani Rakyat dan inisiatif Payung Rahmah yang telah memainkan peranan penting dalam mengawal kenaikan harga barangan keperluan.
Menurut data terkini daripada Kementerian Kewangan, program Madani Rakyat telah membantu lebih 600,000 isi rumah dengan mengurangkan beban kos barangan keperluan sehingga lapan peratus secara purata.
Sementara itu, inisiatif Payung Rahmah telah disalurkan kepada lebih sejuta penduduk, memberikan subsidi dan bantuan tunai yang berkesan untuk menstabilkan harga barangan runcit. Inisiatif Rahmah juga boleh dilihat sebagai serampang dua mata yang memberi manfaat kepada peniaga dan pengguna.
Pembiayaan mikro melalui Tekun dan Yapeim terus menyokong usahawan kecil dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang berpatutan kepada penduduk bandar.
Laporan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga menunjukkan bahawa lebih 20,000 usahawan telah menerima bantuan pembiayaan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM100 juta sejak 2022.
Bantuan ini telah membantu mengurangkan kos operasi dan memastikan harga produk tetap kompetitif, sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi setempat.
Pembangunan bandar mampan: Projek Bandar Pintar dalam pembangunan bandar mampan, seperti yang dilaksanakan di Cyberjaya dan Iskandar Malaysia, telah mengintegrasikan sistem pengurusan bandar pintar untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta mengurangkan kos operasi.
Pendekatan inovatif ini merangkumi penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan trafik yang dilaporkan mengurangkan masa perjalanan sebanyak 15 peratus, pengurusan sisa buangan yang meningkatkan kadar kitar semula sehingga 25 peratus dan pengoptimuman penggunaan tenaga yang menyumbang kepada penjimatan kos operasi sehingga 12 peratus secara tahunan.
Komitmen berterusan dari kerajaan, sektor swasta dan masyarakat adalah penting dalam merealisasikan matlamat pembangunan bandar yang mampan. Melalui pelaksanaan strategi yang tepat dan penglibatan aktif semua pihak, Malaysia berada di landasan yang betul untuk menangani cabaran urbanisasi dan membina bandar-bandar yang lebih berdaya huni untuk generasi masa hadapan.
Usaha menangani cabaran urbanisasi perlu dilihat sebagai satu perjalanan berterusan yang memerlukan pemantauan dan penambahbaikan berterusan. Dengan pendekatan yang strategik dan pelaksanaan yang efektif, Malaysia mampu mentransformasi cabaran urbanisasi kepada peluang untuk pembangunan negara yang lebih mampan dan inklusif.
Kejayaan ini sudah pasti akan menterjemahkan keberhasilan nilai yang dimaksudkan melalui Malaysia Madani. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Khairunesa Isa ialah pensyarah di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










