PADA suatu petang, terlihat seekor ibu ayam bersama-sama dengan anaknya dalam sebuah reban. Anak-anak ayam itu baru dua hari menetas. Anak-anak ayam itu sedang berkeliaran di sisi ibunya. Bagaimanapun, ibu ayam sentiasa menarik anak-anaknya dengan paruh untuk dihimpunkan di bawah perutnya.
Tindakan itu untuk menghangatkan anak-anaknya agar tubuh menjadi segar dan kuat. Di hujung reban pula, terlihat pokok-pokok buluh dengan anak-anak pokok buluh dan rebung tumbuh rapat-rapat di sekeliling pokok buluh yang lebih besar. Di sebelah rumpun buluh itu, terlihat rumpunan serai yang tumbuh merimbun dalam rumpun dan padat antara satu sama lain.
Kejadian pada kehidupan ayam, buluh dan serai memberikan pengajaran berharga kepada manusia, iaitu kehidupan ini semestinya berada dalam satu himpunan yang padu. Sementara ibu, induk atau ketua pula menjadi paksi untuk anak-anak, anak buah, ahli atau seumpamanya untuk berhimpunan atau berkumpul.
Gambaran kehidupan ayam, buluh dan serai menyinggung kebijaksanaan manusia. Sesungguhnya, seorang ketua itu mempunyai peranan besar untuk menghimpun ahli atau anak buah dalam kumpulan yang padu, juga disebutkan sebagai jemaah.
Hal ini jelas disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : “Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan” (HR: at-Tirmidzi).
Sehubungan dengan ini, seorang ketua hendaklah mempunyai kewibawaan tinggi bagi memastikan anak buah dapat bersama-sama dalam kumpulan yang diterajui. Kejayaan menghimpunkan anak buah dalam kumpulan atau jemaah akan membawa kekuatan. Jika tidak, akan berlaku perpecahan yang akan mengundang pelbagai konflik sehingga boleh menggugat kemajuan dan kejayaan.
Kewibawaan ilmu dan pengalaman menjadi asas bagi seorang ketua itu dilihat berupaya memimpin. Bagaimanapun, seorang ketua itu mesti tahu anak buahnya bukannya tidak berilmu dan berpengalaman.
Sehubungan dengan ini, seorang ketua itu hendaklah mengambil sikap sederhana dalam memimpin agar anak buah gembira untuk berada dalam kumpulan atau jemaah.
Justeru, sikap ketua itu hendaklah umpama padi, ‘makin berisi, makin merunduk’. Sikap ketua sebegini amat penting dalam membina keserasian dengan anak buah. Malah, ketua itu dapat bersama-sama dengan anak buah untuk bersedia berkongsi, belajar ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki dalam kumpulannya.
Sikap ketua yang sedia berkongsi dan belajar itu akan meningkatkan karisma diri, apatah lagi jika menghindari sifat ego dan sombong. Ketua juga hendaklah menghindari sikap sebagai seorang yang serba tahu atau tahu semua hal. Sebaliknya, ketua itu hendaklah sentiasa bersedia mendengar dengan baik dan menampilkan sikap rasa ingin tahu.
Lantaran itu, anak buah akan berasa lebih selesa serta bersedia untuk berkongsi pandangan dan idea. Kepelbagaian ilmu, pengetahuan serta pengalaman tidak patut dilihat sebagai ancaman tetapi keistimewaan dan kekuatan kumpulan sekali gus membantu membuat keputusan, tindakan yang tepat lagi bersifat inklusif.
Seorang ketua tidak mampu untuk meneladani satu persatu urusan dan tugas yang ada. Ketua juga tidak cukup dengan tenaganya untuk menyantuni setiap anak buah yang datang dengan pelbagai isu. Oleh itu, keupayaan seorang ketua menghimpunkan tenaga dalam kalangan anak buah amat penting. Ini kerana tenaga mereka dapat ‘dieksploitasi’ bagi memastikan setiap urusan mahupun tugas dilaksanakan dengan baik seperti yang dirancang.
Nilai dalaman diri yang positif seperti patriotisme, kesungguhan, keinsafan dan kesabaran terhadap amanah akan membakar nyala rasa setiap anak buah terhadap iltizam dan komitmen pada amanah. Ini amat penting kerana anak buah bukan sekadar tahu akan amanah tetapi mengimani amanah itu. Mereka sedar mengkhianati amanah itu dosa. Mereka sedar amanah itu lebih besar daripada jawatan dan pangkat.
Keupayaan ketua menghimpunkan tenaga fizikal dan yang lahir daripada nilai dalaman diri anak buah membolehkan mereka fokus tanggungjawab perancangan. Ketua itu akan mempunyai kesempatan untuk merencana dasar dan polisi yang terbaik bagi memastikan setiap urusan dan tugas membawa kemajuan dapat digerakkan. Malah, urusan dan tugas yang dirancang dapat dikomunikasikan dengan jelas kepada anak buah untuk membina kefahaman yang jitu. Hal ini akan menjadikan dasar dan polisi ketua itu sebagai nilai yang dikongsi bersama-sama selain mempengaruhi gaya bekerja yang konstruktif.
Apabila menghimpunkan tenaga dalam kalangan anak buah, seorang ketua itu tidak boleh bersikap menyendiri. Ketua itu mesti berani berhadapan dengan anak buah bagi menyatakan cabaran, kelemahan dan ancaman yang ada dalam organisasi.
Kesediaan ketua menerima dan berkongsi kerentanan dalam kepemimpinannya akan mendorong anak buah untuk bersedia mencurahkan tenaga juga kesungguhan untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dan amanah. Dalam hal ini, ketua itu perlu sentiasa bermanis muka dan ramah-tamah dengan anak buah bagi merapatkan serta membina keserasian.
SEIRING, SEJALAN
Bagi memastikan setiap organisasi itu mampu bergerak dengan baik, setiap anak buah atau ahlinya mesti dapat dihimpunkan sebagai satu jemaah. Sekiranya, ketua itu mampu membawa setiap anak buah atau ahlinya dalam sebuah pasukan dan setiap ahli kumpulan itu pula setia, sekata serta melangkah sederap, nescaya semua kelebihan yang ada akan membawa kekuatan yang luar biasa.
Andai ketua itu pula gagal untuk menghimpunkan anak buah atau ahlinya dalam satu pasukan dengan semangat ultrisme, nescaya ketua itu akan sukar melaksanakan strategi untuk kemajuan.
Hal ini kerana keistimewaan yang ada pada ketua dan anak buah itu sukar untuk dimanfaatkan disebabkan pasukan tersebut tidak memiliki kesetiakawanan dan kesatuan yang rapuh kerana bibit perpecahan.-UTUSAN
DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme).









