Kecerdasan budaya tangani isu 3R, sensitiviti kaum

Kecerdasan budaya tangani isu 3R, sensitiviti kaum

KECERDASAN budaya bukan sekadar memahami adat dan budaya lain, tetapi juga kemampuan untuk berinteraksi dengan hormat dalam suasana yang berlainan latar belakang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU berkaitan 3R, kaum, agama dan institusi raja sering menjadi subjek perbincangan yang sensitif dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, keseimbangan antara kebebasan bersuara dan keharmonian sosial sentiasa menjadi cabaran utama dalam memastikan kestabilan negara.

Menyedari kepentingan ini, pelbagai undang-undang telah digubal seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namun, perundangan semata-mata tidak mencukupi untuk mengekang pihak-pihak tertentu daripada mengeksploitasi isu ini demi kepentingan peribadi atau kumpulan. Buktinya, negara baru-baru ini dikejutkan dengan isu sensitif yang timbul akibat satu muat naik video jenaka oleh sebuah stesen radio terkenal.

Justeru, selain kawalan perundangan, elemen kecerdasan budaya atau cultural quotient (CQ) juga perlu diterapkan dalam menangani isu 3R secara lebih berhemah dan berkesan. Kecerdasan budaya bukan sekadar memahami adat dan budaya lain, tetapi juga kemampuan untuk berinteraksi dengan hormat dalam suasana yang berlainan latar belakang.

Secara asasnya, model kecerdasan budaya merangkumi empat komponen utama, iaitu kecerdasan metakognitif, kognitif, motivasi dan tingkah laku. Rakyat Malaysia yang memiliki tahap kecerdasan budaya tinggi mampu menilai sesuatu isu dengan lebih matang dan rasional, tanpa bertindak secara emosional yang boleh memburukkan keadaan. Ia juga menggalakkan kefahaman lebih mendalam terhadap sensitiviti antara kaum serta menghindarkan diri daripada mempercayai stereotaip atau prejudis yang boleh mencetuskan ketegangan.

Terdapat beberapa kaedah untuk meningkatkan kecerdasan budaya, antaranya mempelajari bahasa asing, menyertai program pertukaran budaya dan berinteraksi dengan masyarakat pelbagai latar belakang. Dengan memahami budaya lain, seseorang itu dapat menghargai perbezaan dan mengelakkan salah faham yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum. Seseorang individu boleh mengambil inisiatif sendiri untuk mengenali budaya lain melalui pembacaan, menonton dokumentari, serta mengunjungi kawasan kejiranan yang berbeza untuk memahami cara hidup masyarakat yang berlainan latar belakang.

Dalam konteks hiburan, jenaka dan humor sering digunakan sebagai medium komunikasi yang efektif untuk menyampaikan mesej atau teguran sosial. Di beberapa negara seperti Perancis, rancangan satira digunakan untuk mengkritik isu semasa, termasuk politik dan kehidupan masyarakat. Rancangan seperti Les Guignols telah lama menjadi platform untuk membentuk kefahaman masyarakat terhadap sesuatu isu melalui pendekatan humor. Satira politik dan jenaka sosial yang diketengahkan dalam rancangan ini tidak sekadar menghibur tetapi juga berfungsi sebagai alat pendidikan kepada masyarakat dalam memahami sesuatu isu dari pelbagai perspektif.

Namun, soalnya, adakah masyarakat Malaysia bersedia menerima konsep jenaka sebegini? Secara tradisinya, budaya komunikasi di Malaysia mempunyai elemen tersendiri dalam menyampaikan sindiran atau kritikan secara lebih halus. Misalnya, dalam beberapa negeri, penggunaan bahasa yang dianggap ‘kasar’ sebenarnya menggambarkan keakraban dalam hubungan sosial. Perkataan seperti ‘lahabau’ di Melaka atau istilah tertentu yang digunakan dalam perbualan harian antara sahabat rapat tidak membawa maksud menghina, sebaliknya menjadi sebahagian daripada budaya sosial masyarakat setempat.

Dimensi sosial ini dikawal oleh beberapa faktor utama seperti jarak sosial, status sosial, tahap keformalan dan tujuan komunikasi itu sendiri. Penggunaan kata-kata yang dianggap tabu dalam masyarakat umum mungkin tidak menimbulkan sebarang kesan negatif apabila digunakan dalam lingkungan hubungan yang akrab. Misalnya, istilah tertentu yang mungkin kedengaran kurang sopan di sesetengah tempat boleh menjadi ungkapan biasa dalam kalangan sahabat rapat tanpa membawa maksud penghinaan.

Dalam menilai sesebuah jenaka atau humor, konteks komunikasi perlu diambil kira. Siapa yang bercakap, kepada siapa ia ditujukan, dan dalam suasana bagaimana ia disampaikan. Sebuah masyarakat yang memiliki kecerdasan budaya yang tinggi akan lebih terbuka dalam menilai sesuatu tanpa terburu-buru membuat kesimpulan atau bertindak melulu. Hakikatnya, kecerdasan budaya membantu masyarakat untuk melihat sesuatu isu dalam perspektif yang lebih luas, dengan mengambil kira sensitiviti dan kepelbagaian latar belakang rakyat Malaysia.

Dalam konteks Malaysia, sudah terdapat pelbagai bentuk jenaka yang digunakan sebagai alat komunikasi sosial. Lawak jenaka dalam media tempatan seperti filem, drama, dan program komedi sering mengandungi unsur sindiran sosial yang bertujuan mendidik masyarakat. Namun, penerimaan terhadap humor sebegini bergantung kepada kefahaman individu serta kepekaan terhadap batas-batas yang wajar dalam konteks sosial negara ini.

Hakikatnya, masyarakat Malaysia kini lebih matang dalam menilai dan memahami sesuatu isu.

Kepekaan terhadap sensitiviti kaum, agama dan institusi negara tidak bermaksud masyarakat harus menolak sepenuhnya elemen humor dalam perbincangan awam. Sebaliknya, pendekatan yang bijak dan beradab dalam menyampaikan pandangan harus menjadi keutamaan. Dalam sebuah negara berbilang kaum, keharmonian bukan hanya bergantung kepada undang-undang, tetapi juga pada kebijaksanaan rakyatnya dalam mengurus perbezaan secara bertanggungjawab dan berhemah. Jika kita mampu menghayati nilai kecerdasan budaya, sudah pasti kita dapat menangani isu 3R dengan lebih baik tanpa menjejaskan perpaduan negara. – UTUSAN

DR. Wan Ikhlas Wan Mohtar ialah Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN