SETIAP pemimpin tidak kira apa juga status kepimpinannya adalah pemikul amanah terhadap masyarakat, organisasi atau negara.
Sudah tentu pemimpin paling besar tanggungjawabnya ialah ketua bagi sesebuah negara. Bagaimana cara pimpinannya adalah berdasarkan corak pemerintahan yang diamalkan oleh negara tersebut.
Bagi negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan maka, Yang di-pertuan Agong adalah Ketua Negara. Kerajaan baginda yang diketuai perdana menteri dibentuk melalui proses pilihan raya umum (PRU).
Baginda tidak mewakili mana-mana parti politik tetapi tetap terikat dengan Perlembagaan dalam melaksana kuasa-kuasa yang diperuntukkan.
Perdana menteri yang memimpin barisan Kabinetnya pula mempunyai kuasa eksekutif yang cukup luas sesuai dengan tanggungjawabnya memimpin mengurus dan mentadbir negara.
Kemajuan dan pembangunan negara serta kesejahteraan kehidupan rakyat amat bergantung kepada keupayaan dan kemampauan pentadbiran kerajaan yang dipimpinnya. Semuanya bergantung kepada dasar-dasar pembangunan sosioekonomi di bawah pemerintahan dan pentadbiran perdana menteri itu.
Negara banyak menyaksikan pembangunan sosioekonomi yang hebat berlaku di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semasa pentadbiran kedua-dua bekas perdana menteri itu, terserlah pimpinan yang efektif dan cemerlang.
Tidak dinafikan beberapa perdana menteri selepas mereka turut memperkasa pembangunan yang sedia ada.
Dalam menyempurnakan tanggungjawab, kerajaan perlu merangka dan melaksana dasar-dasar serta program-program yang dapat memenuhi harapan rakyat seperti yang dijanjikan sebelum dan semasa menjadi kerajaan. Semasa membentuk kerajaan ikrar dilafazkan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.
Justeru, kerajaan bertanggungjawab menunaikan segala amanah dan menunaikan segala janji-janjinya dengan integriti, telus, ikhlas dan jujur. Janji-janji palsu yang menghampakan rakyat mesti dielakkan.
Kerajaan yang dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik serta berlaku adil dalam pemerintahannya pasti akan ditaati dan dihormati. Rakyat akan merasa bahagia, sejahtera, harmoni dan terjamin keselamatan di bawah kepemimpinan yang berupaya mentadbir serta mengurus negara dan rakyat dengan baik.
Sekiranya kerajaan itu gagal melaksanakannya dengan baik atau cakap tidak serupa bikin, lain dijanji tetapi lain pula yang dibuat, tidak menepati matlamat memakmurkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat maka, kerajaan itu boleh dianggap gagal walaupun pelbagai propaganda cuba dibuat untuk mencanang kejayaan dicapai olehnya.
Hakikatnya, kerajaan mesti bekerja dengan visi dan misi yang jelas untuk memenuhi harapan rakyat. Setiap menteri yang dilantik dalam barisan Kabinet mesti bekerja tanpa banyak bermain politik atau berusaha melaksana agenda kepartiannya yang bercanggah dengan semangat perlembagaan negara atau tidak menepati dengan semangat nasional sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Menteri juga jangan suka mencari alasan dan mencipta isu bila amanah yang dipikulnya tidak dapat ditunaikan dengan baik. Yang mesti difikirkan ialah segala masalah dan persoalan yang berbangkit mesti diatasi dengan bijaksana dan terancang.
Cabaran hari ini menunjukkan banyak sektor-sektor negara terutamanya ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pertahanan negara yang memerlukan perhatian untuk diperkuat dan dikembangkan melalui dasar dan perancangan yang kemas, jelas, praktikal serta menyakinkan.
Perkara paling mendesak ialah berkaitan ekonomi negara yang memerlukan tumpuan yang lebih terancang dan efektif terutama dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI), memantapkan pembangunan ekonomi domestik, menstabil atau memperkukuh nilai mata wang negara, mengatasi kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dan membuka peluang pekerjaan yang lebih meluas melalui tindakan-tindakan konkrit.
Kerajaan harus sedar rakyat yang terhimpit dengan bebanan dan tekanan kos sara hidup semakin tinggi disebabkan kesilapan kerajaan seperti beban dasar-dasar percukaian dan penarikan hampir kesemua subsidi rakyat serta kelemahan dalam pengagihan kekayaan negara secara adil akan meninggalkan kesan yang buruk kepada ekosistem kehidupan rakyat. Ia juga boleh meninggalkan kesan buruk kepada kesejahteraan dan kesihatan mental rakyat serta keharmonian kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Justeru, harapan rakyat tidak boleh dikorbankan dengan bermain politik dan janji-janji kosong. Ia perlu ditunaikan dengan penuh amanah dan dapat dirasai manfaat serta faedahnya oleh semua lapisan rakyat. Selain itu, perkara berkaitan kenegaraan juga mesti dijaga. Paling penting ialah Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati agar perkara-perkara asas yang terkandung dalamnya terus dipertahan tanpa kompromi.
Perkara-perkara yang menyentuh raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum mesti dijaga, malah diperkukuhkan kembali jika perkar-perkara itu sudah kelihatan longgar atau terbabas dari landasannya.
Perkara-perkara asas tersebut jangan cuba dilanggar atau dipolitikan oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi dicetuskan sendiri dari dalam barisan Kabinet atau menteri-menteri kerajaaan sendiri sama ada untuk memenuhi agenda kepartian sendiri mahupun untuk mengambil kesempatan memperkukuh identiti kaum yang bercanggah dengan identiti warisan sosiopolitik Melayu yang sudah menjadi teras kependudukan di negara ini.
Hakikatnya tanggungjawab kerajaan adalah besar iaitu perlu menyempurnakan kepercayaan rakyat yang telah memilihnya sebagai pemimpin.
Kerajaan tidak patut mengkhianati amanah yang dipikulnya dan wajiblah berlaku adil kepada rakyat, memperkuat perpaduan selain memperkukuh integrasi wilayah supaya kedaulatan negara terpelihara.
Kesimpulan, kerajaan hari ini yang dikenali sebagai Kerajaan Madani harus berupaya mengatur masyarakat dengan pelbagai dasar nasional yang dapat dilaksana dan dicapai dengan baik melalui aturan-aturan dan organisasi-organisasi yang bersesuaian serta menempati semangat perlembagaan supaya lingkungan dan rangkaian sistem sosial kekal utuh dan rakyat dapat hidup dengan penuh harmoni, sejahtera serta bersatu padu.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










