RFID: Reverse, forward, Insya-Allah detect

Reverse, forward, Insya-Allah detect

MASALAH yang kerap berlaku di lorong RFID banyak menimbulkan rungutan pengguna lebuh raya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada pandangan saya selaku pengguna RFID (Identifikasi Gelombang Radio) & Smart Tag, boleh kata dalam enam bulan, saya akan ‘sangkut’ biasanya sekali sahaja. Banyak yang sangkut di lorong tol berkenaan atau smart tag: Antaranya puncanya ada pengguna yang tidak ada tag RFID atau smart tag, tapi selamba masuk ke lorong tersebut disebabkan lorong lain panjang.

“(Sedangkan) menunggu di lorong RFID cuma dalam 10 saat, kemudian diminta touch card sahaja.

“Masalah utama tidak cukup baki. Ini sangat selalu berlaku.

“Satu lagi, bateri smart tag sudah lemah. Maka palang tidak terbuka sebab tidak dapat kesan smart tag.”

Itu luahan seorang pengguna lebuh raya kepada saya apabila ditanya masalah di lorong RFID.

Masalah utama yang kerap dihadapi adalah ‘sangkut’ di palang tol yang disebabkan tol laluan RFID tidak cekap berfungsi. Mungkin juga disebabkan baki wang kita tidak mencukupi.

Apa yang kita lakukan sebagai pemandu adalah bergerak ke hadapan (forward), terpaksa mengundur (reverse) , gerak ke hadapan semula dan seterusnya RFID akan terbuka, kalau dapat dikesan (detect).

Masalah ini antara punca berlakunya kesesakan jalan raya akibat plaza tol yang bermasalah.

Ini hanyalah satu kes, mungkin ada yang berkongsi masalah yang sama semasa menggunakan lebuh raya bertol.

Saya kongsi pandangan daripada Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) UiTM Shah Alam, Prof. Madya Wan Mazlina Wan Mohamed.

Beliau mengakui, salah satu punca kesesakan lebuh raya adalah disebabkan oleh masalah di plaza tol yang tidak berfungsi dengan baik.

Kata beliau, sekarang ini cara pembayaran tol adalah dengan menggunakan Touch n Go, Smart Tag dan RFID.

“RFID mula dilaksanakan di Malaysia pada Januari 2022, iaitu sistem tol yang berfungsi menggunakan teknologi gelombang radio untuk membuat pembayaran tol secara automatik tanpa memerlukan sentuhan fizikal atau berhenti di plaza tol.

Namun sekarang kesesakan semakin meningkat akibat sistem tersebut tidak dapat mengesan atau membaca pelekat RFID menyebabkan kemarahan dan ketidak percayaan orang awam terhadap sistem tersebut di plaza tol.

Beliau berkata, terdapat beberapa sebab kegagalan pembaca RFID membaca tag kenderaan apabila melalui palang tol. Pertama, kelajuan kenderaan melalui lorong tol terlalu laju atau terlalu rendah menyebabkan pembaca RFID tidak dapat mengesan gelombang atau terlepas membaca gelombang yang dipancarkan.

“Kelajuan yang ideal apabila menghampiri plaza tol dan memasuki lorong RFID adalah antara 20 hingga 30 kilometer (km) sejam, “ ujarnya.

Kedua, kedudukan tag RFID mungkin tidak diletakkan dengan betul, seperti terlalu rendah atau terlalu tinggi di cermin depan, menyebabkan pembaca tidak dapat mengesan isyarat daripada tag.

Selain itu, kedudukan lorong RFID juga berubah-ubah di plaza tol, dan ini menjadikan kenderaan bersimpang siur dan pemandu tercari-cari untuk ke lorong berkenaan, dan menyebabkan kesesakan dan kemalangan.

Bagi mengelakkan kekeliruan kepada pemandu mencari lorong RFID, dicadangkan agar lorong tersebut diselaraskan atau ditetapkan sama untuk semua gantry plaza tol, umpamanya di lorong tengah merupakan khas untuknya.

Ada juga tol tidak berfungsi kerana kekurangan baki dalam akaun RFID. Pemandu kenderaan terlupa untuk tambah nilai wang dalam sistem RFID.

Selain itu boleh dicadangkan penggunaan Sistem Tol Tanpa Henti (MLFF – Multi-Lane Free /Fast Flow) bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di plaza tol seperti di Singapura dan di Australia.

MLFF membolehkan kenderaan melalui plaza tol tanpa perlu berhenti atau memperlahankan kelajuan kerana tol sudah tidak berpalang,

MLFF boleh menggunakan sistem terkini seperti RFID, ANPR (Automatic Number Plate Recognition), IR (Infra-Red) atau DSRC (Dedicated Short-Range Communication), dan kamera. Bagi sistem

MLFF, jika RFID tidak berfungsi, ANPR boleh digunakan untuk mengesahkan nombor plat dan membuat potongan bayaran. Kelebihan MLFF ialah pemandu boleh melaluinya dengan kelajuan antara 80 hingga 100 km sejam melalui sistem tol dan tidak mempunyai palang.

Mengintegrasi pelbagai sistem seperti RFID/IR, ANPR, kamera dan memasti ia boleh berinteraksi menjadikan pemasangan MLFF sistem agak sukar.

Bagi memastikan MLFF berjalan lancar, kerajaan perlu memastikan nombor plat adalah serata dan standard supaya ini dapat mengesan nombor plat kenderaan.

Selain itu, undang-undang mesti dibenarkan untuk menyaman pengguna yang tidak membayar tol.

Selain itu, penggunaan Sistem Pengurusan Trafik Pintar (ITS) yang menggabungkan teknologi Internet Segala Benda (IoT), sistem penentu kedudukan global (GPS), kenderaan tanpa pemandu (UAV), dan kecerdasan buatan (AI) juga menarik, kerana ia mampu menganalisis data trafik secara masa nyata untuk membuat keputusan segera dan cekap, sekali gus membolehkan pengguna lebuh raya merancang laluan alternatif.

Salah satu kelemahan RFID atau MLFF adalah kebimbangan mengenai keselamatan data, terutamanya berkaitan kemungkinan kebocoran data kepada pihak lain sekiranya tiada perlindungan firewall yang mencukupi.

Seperti kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan bahawa pihaknya dengan kerjasama pemegang konsesi tol dan Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) sedang memantau masalah tersebut.

Beliau berkata, setakat ini, selain RFID pengguna digalakkan menggunakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) dengan menggunakan kad debit, prabayar debit menerusi 13 lebuh raya di 32 plaza tol.

Ketika ini daripada 23,480 lorong tol di lebuh raya, sebanyak 580 lorong atau 24 peratus adalah lorong RFID.

Oleh kerana jumlah tersebut secara relatifnya masih kecil, sepatutnya tambah lorong RFID supaya tiada lagi masalah palang tidak terangkat selepas gerak ke depan , dan kemudian ke belakang , baharulah kenderaan kita dikesan.

Kesian pengguna kena prank dengan perkataan RFID ini. Di Malaysia, lebuh raya pertama yang diadakan adalah Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang pada 1970 dengan anggaran kos lebih kurang RM160 juta.

Selepas itu, PLUS dibina menghubungkan Perlis ke Johor Bahru dengan kos dianggarkan RM5.6 billion.

Perlu kita ketahui, pembaikan jalan melibatkan kos merangkumi pembaikan lubang, penurapan semula jalan, serta penyelenggaraan permukaan jalan untuk memastikan keadaan jalan sentiasa selamat dan lancar.

Adalah dianggarkan kosnya antara RM 500,000 hingga RM 1 juta setiap kilometer setahun, bergantung kepada tahap kerosakan dan kepadatan trafik. Kerja pembersihan lebuh raya pula melibatkan penyelenggaraan sistem saliran, serta kerja-kerja pembersihan di kawasan rehat dan tandas awam dianggarkan antara RM 200,000 hingga RM 500,000 setiap kilometer setahun untuk lebuh raya yang sibuk.

Kerja kerja lain melibatkan penyelenggaraan struktural dan pembaikan jambatan melibatlkan kos mencapai RM 3 juta hingga RM 10 juta untuk projek pembaikan besar.

Kos lain termasuk penyelenggaraan teknologi dan infrastruktur tol seperti PLUS. Kos untuk menguruskan sistem tol dan teknologi yang digunakan juga merupakan sebahagian daripada kos penyelenggaraan.

Ini termasuk kos pemasangan dan penyelenggaraan sistem Touch ‘n Go atau RFID, serta sistem pengurusan trafik yang lain seperti CCTV.

Kos penyelenggaraan sistem elektronik dan pengurusan tol boleh menelan belanja sekitar RM 100,000 hingga RM 300,000 setiap plaza tol setahun, bergantung kepada jumlah dan jenis teknologi yang digunakan.

Maka saya mengharapkan sebelum kita beralih kepada MLFF sepenuhnya, kerajaan perlu menambah baik keberkesanan sistem RFID, dengan sticker dan tag RFID lebih kalis air, tahan dengan keadaan yang eksrem, panas, hujan, suhu tinggi atau rendah ) dan tidah mudah calar atau tertanggal.

Kedua mereka bentuk cip RFID yang lebih sentitif untuk membaca dan mengesan kenderaan melalui Lorong RFID yang laju berberkelajuan tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN