Sudah berlalu lapan hari saya di Belanda akhir November 1988. Saya berulang alik dari Den Haag, Amsterdam, Bergen Op Zoom mendapatkan bahan primary – wawancara dan bahan secondary – daripada bahan bercetak – buku, akhbar, fail dokumen, surat-surat, laporan polis dan video berkenaan kisah Natrah.
Kerja wartawan profesional ini lebih kurang sama seperti peguam – mendapatkan fakta dan mengemaskannya dengan bahan bukti. Tanpa bahan bukti seperti ini, apa yang ditulis oleh wartawan tidak akan ada kredibiliti.
Pencarian Natrah ini menarik kerana banyak bahan bertulis tentangnya. Ramai pula orang yang sentiasa mahu membantu. Berbanding dengan penulisan Shamsiah Fakeh yang saya lakukan selepas Natrah pada tahun 1990 untuk majalah DBP juga.

Amatlah sukar mendapatkan bahan bertulis tentangnya dan ramai pula orang berfikiran negatif yang tidak mahu membantu termasuk ahli keluarganya.
Apabila saya mendapat tugas mencari Natrah, buku Tangled Between Two World tulisan Dr. Tom Eames Hughes pegawai Inggeris yang menjaga Natrah di Girls Home Craft Centre, York Hill Singapura dan akhbar The Straits Times dan Singapore Standard saya rujuk.
Begitu juga akhbar yang pro-Melayu seperti Utusan Melayu, al Imam dan Warta Malaya. Semua ini banyak membantu saya membaca apa yang terjadi dalam Sejarah Natrah itu.
Akhbar adalah rakaman sejarah. Tanpa akhbar sukar kita menelusuri sesuatu peristiwa. Apa lagi membaca pemikiran orang Melayu ketika itu.
Kisah Natrah bukan sahaja hangat seantero Malaya, tetapi tambah hangat lagi di Belanda dan United Kingdom. Macam-macam versi mereka perkatakan tentang Natrah. Setibanya Natrah di Belanda, pada 13 Disember 1950, media terus mengikutinya sehingga kini.Natrah adalah Jungle Girl bagi akhbar Barat.Walaupun dengan kawalan polis 24 jam, media masih dapat menghubungi ibu bapa Natrah melalui telefon dan bertanyakan khabar Natrah.
Akhbar Inggeris Daily Express bertarikh 24 Mac 1951 dengan tajuk Riot Girl Maria 14 Today (Quietly). “Maria – a jungle girl who was married to a Muslim man that caused riot in Singapore, today is 14 years old’.
Gelaran gadis hutan memang selalu diulang oleh akhbar Barat. Bagi Barat negara-negara Asia dianggap tidak bertamadun, bodoh dan ganas. Jadi, adalah tanggungjawab mereka untuk menjajah bagi ‘membebaskan’ bangsa Asia daripada terus terperangkap dalam kezaliman.
Satu konsep untuk mewajarkan penjajahan mereka dengan agenda tersembunyi untuk meneruskan perang salib ke negara-negara Turki kecil di Timur.
Natrah suarakan rasa hatinya melalui akhbar.
Setelah sembilan tahun kembali ke Belanda, buat pertama kalinya Natrah membuat sidang akhbarnya sendiri. Antara lain Natrah memberitahu (akhbar de Telegraaf 17 Januari 1959):“Saya tidak pernah walau sehari pun berasa seperti berada di rumah sendiri, ketika tinggal dengan mereka.
Saya lebih suka ke sekolah atau dilayan oleh rahib. Di rumah saya mesti membasuh kain dengan air yang sangat sejuk sehingga tangan saya bengkak dan berdarah. Saya tidak boleh menggunakan air panas, nanti lebih bayaran bil bulanan.
“….Oleh kerana bapa saya ditahan waktu itu, ibu takut memberitahu bapa saya, bahawa saya telah diberikan secara sukarela bersama mesin jahit kepada Che Aminah. Oleh itu ibu berusaha mendapatkan saya kembali dan membuat fitnah kepada Che Aminah.”
Natrah menafikan Che Aminah ialah orang gaji mereka.
“Che Aminah tidak pernah jadi orang gaji kami. Dia adalah guru bahasa Jepun dan kawan baik nenek saya. Che aminah mendengar daripada nenek saya, ibu mahu berikan saya kepada orang lain, oleh kerana Che Aminah tiada anak, dia meminta daripada ibu untuk menjaga saya…Che Aminah menjaga saya dengan baik dia masukkan saya ke sekolah dan saya jadi pelajar terbaik sekolah itu.”
Pelbagai lagi soalan akhbar. Natrah menjawab dengan luahan hati tulusnya dengan sepuas-puasnya. Akhirnya Natrah akhiri sidang akhbar itu, dengan sinis – “Sekiranya saudara wartawan semua tidak membesar-besarkan perkara ini pada masa itu, saya tentu tidak akan datang ke sini dan terus bahagia tinggal di sana”
Rencana pengarang de Telegraaf bertarikh 19 Januari 1959 mengulas bahawa pendedahan Natrah telah memeranjatkan banyak penduduk Belanda. Dengan Insaf pengarangnya membuat pengakuan : “Betapa kita mengalu-alukan beritanya… Kita telah melaporkan segala-galanya … Kita melaporkan kepulangan Maria yang tertawa keriangan … kerananya kita melaporkan beratus-ratus cuba menembusi sekatan polis … kita melaporkan bagaimana kasih sayang seorang ibu mendapat kemenangan … tetapi kita gagal melaporkan Maria benar-benar menderita! – UTUSAN
#Minggu hadapan : The Time Just stood Still – video yang menghantui Natrah !
Puan Sri Fatini Yaacob adalah adalah bekas Wartawan majalah DBP yang mewancara Natrah di Nevada, Amerika Syarikat dan membuat penyelidikan sejarah ini (1988-1989). Beliau kini Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid yang diasaskan sebagai pemegang amanah Sejarah Natrah.










