Pemimpin usah pandai bercakap sahaja, tunjuk hasil kepada rakyat

Pemimpin usah pandai bercakap sahaja, tunjuk hasil kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI pemimpin negara dan masyarakat memerlukan beberapa kriteria unggul yang dapat menjamin keupayaan, ketahanan dan kewibawaan kepemimpinannya dalam mengemudi negara. Secara asasnya dalam Islam pemimpin itu mestilah bersifat kuat fizikal (sihat tubuh badan), mental (cerdas pemikirannya) dan rohaninya (tinggi akhlak atau moral). Ia mestilah bersifat amanah pada agama, bangsa dan tanah air serta memiliki nilai-nilai integriti yang tinggi dalam menyempurnakan segala amanah yang dipikulnya itu. Dalam kehidupannya, pemimpin itu mesti menunjukkan sikap bersederhana tanpa keterlaluan mempamerkan nilai hidup bermewah-mewah dan bermegah-megah.

Seorang sarjana zaman Kerajaan Majapahit bernama Prapanca dalam karya agungnya yang berjudul Nagarakritagama menyebut ada 18 nilai unggul yang perlu ada dalam kepemimpinan seseorang pemimpin itu (Shaharir Mohamad Zain, 2010). Antaranya ialah pemimpin itu mesti berjiwa tenang, sabar, bijaksana dan tidak lekas menggelabah. Ia mesti mampu mengutarakan pendapat, bijak berbicara dengan penuh adab serta mampu membangkitkan semangat rakyat.

Menurut Prapanca lagi, pemimpin mesti bersifat rendah hati dan tidak sombong supaya memudahkannya untuk berlapang dada dan sedia menerima pendapat orang lain. Pemimpin yang berwibawa itu juga mesti bijak berdiplomasi dan bijak mengatur strategi dalam siasahnya serta bijak menentukan prioriti (keutamaan) dalam pengurusan dan pentadbirannya.

Selain itu, perkara yang tidak kurang pentingnya ialah pemimpin itu mestilah mendapat kepercayaan (disukai dan dikasihi) rakyat dan menjaga kepercayaan rakyat itu sebagai satu tanggungjawab dan kehormatan. Dalam konteks integriti, pemimpin itu mesti berani membela dan menegakkan kebenaran dan keadilan dengan tegas, jujur, bersih dan berwibawa, bukannya bersifat retorik semata-mata atau ‘memilih bulu’.

Pemimpin yang bijak juga boleh mengambil pedoman dan faedah dari falsafah politik Al-Farabi yang sangat menekankan aspek kebijaksanaan (wisdom) dalam mengurus siasah (politik) dan pentadbiran. Al-Farabi meletakkan gagasan pemimpin sebagai guru (mu’allim) dan pembimbing (mursyid) kepada pengikut dan rakyatnya yang mana pemimpin itu mesti menunjukkan moral serta nilai-nilai akhlak insaniah yang terpuji.

Demikian juga pemimpin kita harus mengambil pedoman dan faedah dari ilmuwan tersohor Alam Melayu, Raja Ali Haji (1808-1887) dalam karyanya Thamarat al-Muhimmah dan Muqaddinah fi Intizam wa Za’if al-Malik berkaitan ilmu ketatanegaraan dan ilmu politik. Beliau telah memberi panduan kepada raja dan pemimpin agar bertindak dengan ilmu dan kebijaksanaan.

Persoalannya, adakah barisan kepemimpinan kita hari ini benar-benar memiliki nilai-nilai atau ciri-ciri kepimpinan tersebut? Mungkin kita boleh katakan sukar untuk pemimpin kita mencapai kepimpinan yang terlalu unggul seperti mana ciri-ciri yang ada pada Khalifah Umar Abdul Aziz.

Namun, apa yang kita harapkan sekurang-kurangnya barisan kepemimpinan kerajaan yang ada hari ini dapat menonjolkan kualiti-kualiti kepimpinan yang diharapkan oleh rakyat yang mahukan kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan hidupnya terbela.

Pembaca boleh menyetujui atau tidak menyetujui jika ada pandangan yang mengatakan bahawa kualiti kepimpinan kita hari ini jauh dari corak kepemimpinan yang berkualiti sehingga banyak menimbulkan kontroversi dan rakyat hilang kepercayaan dan harapan kepada mereka, terutamanya dalam memelihara amanah bangsa, agama dan tanah air.

Pemimpin yang tidak memiliki ciri-ciri kepemimpinan yang baik atau unggul akan gagal dalam mencorak kepemimpinan, pengurusan dan pentadbiran negara. Justeru, pemimpin yang bermasalah ini agak sukar untuk terus bertahan dalam memimpin rakyat dan negara. Mungkin ia hanya dapat bergantung kepada “penjilat-penjilat” atau “pembodek-pembodek” yang gilakan jawatan dan wang ringgit.

Tidak ada ertinya sekiranya pemimpin itu hanya dilihat hebat berpidato, beretorik dan menabur janji tetapi hasil kepemimpinanya tidak menunjukkan keselarian dengan apa yang diucapkannya. Sikap tidak baik ini boleh menyebabkan kepemimpinannya hilang hala tuju dan menjadikan pengurusan dan pentadbirannya gagal disebabkan dasar-dasar yang bercelaru dan menjadi tidak terarah lagi. Negara boleh kehilangan identiti akibat kerosakan yang dilakukan.

Mana-mana pemimpin yang tidak lagi diterima, dipercayai dan dihormati rakyat disebabkan lemah daya kepemimpinannya hanya menunggu saat untuk jatuh atau dijatuhkan. Kebergantungan kepada “pembodek-pembodek”’ atau “pengampu-pengampu” yang berkepentingan tidak akan dapat menjadikannya mulia, serta tidak dapat menyedarkan kesilapan dan kelemahannya.

Raja Ali Haji telah lama mengingatkan agar pemimpin usah tenggelam dalam pujian-pijian orang sekelilingnya sedangkan ia terpisah dari realiti lapangan kehidupan rakyat. Justeru, pemimpin hendaklah meneliti setiap keresahan dan suara rakyat serta tidak memperlekehkan keluh kesah mereka itu. Sukar bagi seseorang pemimpin itu untuk memulihkan kembali imej dan kekuatan pimpinannya jika nilai kepimpinan dan integritinya dipersoal oleh rakyat.

Namun, sekiranya ia cepat menyedari kesilapan dan segera melakukan tajdid dan islah dalam kepemimpinannya maka obor kepemimpinannya mampu menyinar kembali dan akan terus menyala dalam kepemimpinan politik tanah air.

Kepemimpinan yang unggul itu akan dapat meletakkan pemimpin itu benar-benar berupaya memimpin ke arah kesejahteraan hidup ummah (rakyat). Sekiranya ia gagal dan menyalahguna kuasa maka ia sebenarnya telah membawa kerosakan atau menjadi pemusnah yang merosakkan bangsa dan tanah airnya. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN