IDEA kebebasan media adalah untuk mewujudkan ekosistem selamat bagi pengamal media melakukan tugas-tugas asal mereka. Seharusnya kebebasan media menuntut iltizam politik tinggi daripada kerajaan yang memerintah di dalam sesebuah negara.
Kesan mendapatkan bahan berita yang jujur, tulen dan berintegriti akan menjadi penyambung kepada dunia luar. Lihat sahaja keadaan di Gaza. Dahulunya bahan berita yang adil susah diperoleh. Dunia luar satu ketika dahulu dihidangkan dengan bahan berita yang tidak seimbang serta tidak adil. Ini menyebabkan dunia tidak mengetahui keadaan sebenar di Gaza.
Namun, segalanya berubah dengan pelbagai penularan bahan berita yang menunjukkan kezaliman terhadap penduduk Gaza. Akses berita yang tulen dan berintegriti menyebabkan masyarakat sedunia dapat bersatu dalam menzahirkan ketidakpuasan hati mereka kepada kekejaman negara haram Israel.
Kebebasan media sebegini diperlukan untuk menjadi penghubung dan jurucakap masyarakat marhaen kepada pihak berkuasa.
Lantaran itu apabila kerajaan menerusi Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 ini pada 12 Disember 2024, ia adalah satu langkah ke arah merealisasikan majlis media di negara ini.
Perbincangan berkenaan RUU Majlis Media ini sebenarnya bermula sejak beberapa tahun yang lalu. Ideanya adalah mewujudkan sebuah majlis untuk mengawal selia industri media. Integriti dalam kalangan pengamal media secara idealnya hanya diboleh tentukan oleh pengamal-pengamal media.
Sifir ini tidaklah sukar untuk difahami kerana hanya pengamal media sedia maklum apa yang diperlukan untuk memastikan mereka boleh menjalankan tugas dengan berkesan sebagaimana yang diharapkan masyarakat.
Kerajaan sebaliknya hanya boleh membantu dalam memudahcara dan mengintegrasikan elemen kawal selia dalam persekitaran media. Menurut Nie Ching, bacaan kedua RUU Majlis Media dijangka akan dilakukan pada Februari ini.
RUU ini sekiranya berjaya diluluskan di Parlimen semestinya mempunyai impak kepada masyarakat secara massa. Masyarakat mengharapkan integriti pengamal media selepas daripada pewartaan RUU ini akan berada di tahap terbaik dalam menyalurkan maklumat dan analisa yang berguna.
Terdapat 23 fasal dalam RUU ini dengan pecahan kepada enam bahagian. Bahagian-bahagian tersebut adalah permulaan, Majlis Media Malaysia, lembaga majlis, mekanisme ketidakpuasan hati dan prosiding tatatertib, kewangan serta bahagian am.
Dalam bahagian tafsiran iaitu seksyen 2, industri media ditakrifkan sebagai agensi media, pertubuhan akhbar, penyiar yang merangkumi stesen radio atau televisyen, pengamal media bebas, media asing iatu syarikat media yang dikawal oleh pertubuhan media asing yang mempunyai pengamal media di Malaysia, penerbit media, syarikat media dan persatuan media. Maknanya melalui tafsiran ini, industri media mempunyai definisi yang luas.
Menerusi RUU Majlis Media, majlis mempunyai kuasa untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan, arahan, pekeliling, standard dan notis kepada ahli majlis. Mana-mana ahli majlis yang gagal mematuhi arahan-arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Namun begitu, RUU ini tidak memperuntukkan kesan kegagalan mana-mana pengamal media yang tidak menjadi ahli kepada majlis media ini. Ini mungkin akan mengurangkan kawalan majlis media terhadap individu yang bukan ahli kepada majlis media dalam soal pematuhan kepada garis panduan dan peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh pihak majlis.
Ini adalah berbeza dengan pengamal perubatan misalnya yang mempunyai kewajipan untuk berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Akta Perubatan 1971 (Akta 50). Malah di bawah seksyen 33 Akta 550 mereka yang tidak berdaftar tetapi mengamal perubatan boleh dihukum denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Begitu juga dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) yang mewajibkan pengamal perubatan tradisional untuk berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplimentari sebagaimana yang dinyatakan di Bahagian 4, Akta 775 ini.
Oleh yang demikian, perlu wujud satu perundangan yang mewajibkan mana-mana pengamal media termasuklah media baharu untuk berdaftar dengan Majlis Media Malaysia bagi membolehkan kumpulan ini tertakluk kepada garis-garis panduan atau peraturan- peraturan yang dikenakan oleh majlis media sebagaimana Seksyen 22, RUU Majlis Media ini. Ini juga akan menjadikan majlis media mempunyai lebih pengaruh dan autoriti dalam mengawal serta mengenakan apa-apa standard kewartawanan yang lebih efisien sekali gus berintegriti.
SERAGAM
Semangat asal Majlis Media Malaysia sebagai payung rasmi untuk menyeragamkan etika dan melindungi industri media.
Oleh yang demikian, penghakupayaan yang lebih jelas diperlukan untuk memastikan semangat asal penubuhan majlis ini benar-benar memberikan kesan kepada masyarakat secara massa.
Tuntasnya, penggubalan RUU Majlis Media sememangnya ditunggu oleh pengamal dan penggiat industri media. Namun kewujudan majlis ini diharapkan suara-suara pengamal media boleh disatukan untuk menjadi semak dan imbang kebebasan dan integriti maklumat.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










