Lihat lantikan Thaksin dari sudut positif

Lihat lantikan Thaksin dari sudut positif

LANTIKAN Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi Anwar Ibrahim akan membantu mengukuhkan hubungan Malaysia-Thailand dan sebagai Pengerusi ASEAN. – FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERDAPAT pelbagai reaksi terhadap pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat tidak rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Ada yang berpendapat lantikan ini adalah langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak wajar.

Memang benar lantikan Thaksin bersifat inovatif. Ia sebaliknya bukan sesuatu yang negatif tetapi perlu dipuji kerana lantikan ini mencerminkan keberanian Perdana Menteri untuk menggunakan pengalaman dan jaringan luas seorang negarawan serantau.

Thaksin bukan sekadar bekas Perdana Menteri, tetapi seorang tokoh yang pernah mengukir kejayaan ekonomi di Thailand dan menjalin hubungan strategik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), China dan negara-negara ASEAN lain.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memerlukan perspektif luar biasa dalam menangani cabaran kompleks rantau ini, termasuk konflik di Myanmar, isu ekonomi dan pembangunan teknologi.

Lantikan ini adalah satu langkah proaktif untuk memastikan Malaysia memanfaatkan pengalaman tokoh serantau yang mempunyai rekod cemerlang.

Malah ada yang berpandangan Malaysia mempunyai ramai pakar dan diplomat berpengalaman yang mampu memberi nasihat kepada Perdana Menteri tanpa perlu melantik tokoh luar seperti Thaksin.

Kehadiran pakar tempatan tidak dinafikan dan peranan mereka tetap penting dalam melaksanakan strategi domestik.

Namun, peranan Thaksin adalah sebagai penasihat tidak rasmi yang melengkapi usaha Malaysia, terutamanya dalam menangani isu serantau yang memerlukan hubungan rentas negara dan pendekatan diplomasi tinggi.

Thaksin mempunyai jaringan hubungan luas yang membolehkan beliau menjadi jambatan antara ASEAN dengan kuasa besar seperti China dan AS. Ini adalah kelebihan yang tidak dimiliki oleh kebanyakan tokoh tempatan.

Ada juga pandangan yang menyatakan lantikan beliau dan menggambarkan kelemahan Perdana Menteri dalam mendapatkan nasihat.

Namun begitu, lantikan ini sebenarnya menunjukkan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam mengutamakan kepentingan rantau dan negara.

Perdana Menteri memahami cabaran ASEAN tidak boleh ditangani secara bersendirian. Memanfaatkan kepakaran tokoh luar menunjukkan keupayaan beliau untuk merancang strategi inklusif, bukan kelemahan.

Seterusnya ada juga yang mengkritik pengumuman lantikan Thaksin pada sidang media ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra ke Malaysia baru-baru ini dengan menyifatkannya sebagai tidak sesuai.

Sebenarnya tiada salahnya pengumuman ini dibuat pada sidang akhbar kerana ia adalah langkah berani dan telus yang menunjukkan keterbukaan Perdana Menteri dalam menjelaskan langkah strategik yang diambil kepada rakyat.

Pengumuman ini juga menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa Malaysia serius dalam kepimpinannya sebagai Pengerusi ASEAN.

Antara kelebihan Thaksin seperti yang dinyatakan sebelum ini ialah beliau mempunyai hubungan yang kukuh dengan kuasa besar dunia seperti AS, China dan negara-negara ASEAN lain.

Sebagai bekas pemimpin Thailand, beliau telah membina rangkaian hubungan yang luas dengan pemimpin politik, ekonomi dan organisasi antarabangsa.

Melalui Thaksin, Malaysia dan ASEAN dijangka akan dapat memanfaatkan hubungan baik beliau dengan AS dan China untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan dan keselamatan.

Kehadiran Thaksin sebagai penasihat juga akan dapat mempercepatkan perbincangan kritikal antara ASEAN dengan kuasa besar, khususnya dalam isu serantau seperti Laut China Selatan dan perdagangan global.

Dengan sokongan tokoh berpengaruh seperti Thaksin, ASEAN dapat mempamerkan imej yang lebih kukuh dan kredibel di pentas dunia sekali gus dapat memperbaiki persepsi global terhadap ASEAN.

Thaksin juga telah menunjukkan kebolehannya dalam meredakan konflik dan berinteraksi dengan pihak berkepentingan yang berbeza semasa menjadi Perdana Menteri Thailand. Pengalaman ini memberikan kelebihan unik dalam menangani konflik kompleks seperti di Myanmar.
Oleh itu, Thaksin boleh memainkan peranan sebagai pengantara yang dipercayai antara junta tentera Myanmar, etnik minoriti dan komuniti antarabangsa.

Kepakaran beliau dalam menangani isu serantau dijangka akan dapat membantu ASEAN mencari jalan penyelesaian yang lebih mampan dan berkesan selari dengan Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Thaksin juga dikenali sebagai seorang reformis ekonomi yang berjaya membangunkan Thailand semasa pentadbirannya. Inisiatif beliau seperti ‘Thaksinomics’ berfokus pada pengukuhan ekonomi domestik dan penyertaan dalam pasaran global.

Dengan pengalaman Thaksin, ASEAN boleh merangka strategi ekonomi kolektif yang lebih mantap untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan antara negara anggota.

Beliau juga boleh membantu ASEAN meneroka penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau untuk mendorong pertumbuhan ekonomi dan daya saing global.

Selain itu, lantikan Thaksin ini juga akan membantu mengukuhkan hubungan Malaysia-Thailand. Penglibatan beliau boleh membantu memperkukuh kepercayaan antara kedua-dua negara.

Hubungan baik Thaksin dengan kepimpinan Thailand sekarang dapat membantu Malaysia dan Thailand bekerjasama dalam isu ekonomi, keselamatan dan sosial.

Keseriusan Perdana Menteri dalam hal ini terbukti bila beliau terus sahaja memulakan perbincangan dengan Thaksin di Langkawi berkaitan persediaan untuk Malaysia mempengerusikan ASEAN.

Sama seperti yang dijelaskan di sini, itulah juga yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, “Perbualan kami tertumpu pada keutamaan serantau yang kritikal, menghidupkan semula ekonomi, memanfaatkan teknologi baharu, memupuk keamanan di selatan Thailand dan menangani krisis Myanmar.”

Perdana Menteri turut berkata, rangkaian hubungan Thaksin yang tiada tandingan di seluruh rantau ini digabungkan dengan kepakaran unik beliau menjanjikan peluang yang tidak ternilai bagi Malaysia dan ASEAN untuk menangani cabaran dengan lebih yakin dan berkesan.

Perdana Menteri juga menyebut beliau dan Thaksin turut membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia kukuh antara Malaysia dan Thailand.

ASET PENTING
Lantikan Thaksin adalah langkah strategik yang membawa manfaat besar kepada Malaysia dan ASEAN.

Pengalaman luas beliau, rangkaian hubungan diplomasi antarabangsa serta kemahiran dalam menangani isu serantau menjadikan beliau aset penting untuk memastikan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berjaya.

Kehadiran Thaksin dalam peranan penasihat menunjukkan bahawa ASEAN bersedia untuk menghadapi cabaran geopolitik dengan sokongan individu yang mempunyai kepimpinan berkualiti dan pengalaman praktikal.

Ia memperlihatkan kesediaan ASEAN untuk melibatkan tokoh-tokoh berpengaruh yang membawa nilai tambah kepada organisasi serantau.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Laila Suriya Ahmad Apandi ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN