Pada November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji, “Soal pendidikan, untuk guru besar, pengetua dan guru-guru, saya mahu tekankan yang mana bermula Januari 2024, selain menyelesaikan hal asas berkaitan prasarana sekolah, tumpuan kita ialah tingkat dan angkat mutu pendidikan”.
Malah, Dr. Anuar Ahmad daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjulang janji ini sebagai ‘Deklarasi Bangi’ bersempena dengan lokasi Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi.
Sebagai warga Bangi, kembang rabu saya sebentar. Namun hanya sebentar sebelum diingatkan realiti semasa. Selepas lebih setahun janji-janji dalam ‘Deklarasi Bangi’ ditabur, mana pergi mutu pendidikan kita?
Bagaimana kita menilai mutu pendidikan yang baik? Sudah tentu dinilai daripada keberhasilan murid-murid yang dilahirkan daripada sistem pendidikan negara. Yang ditagih daripada anak-anak adalah kebolehan mereka untuk membina daya saing agar membentuk jati diri yang kuat.
Sebaliknya, semakin ramai guru-guru yang membangkitkan kebimbangan ketara apabila saban bulan, melalui ujian atau peperiksaan, prestasi murid dilihat semakin merudum. Malah semakin ramai murid di Malaysia yang makin biadap pula. Soalan ujian bukan saja dibiarkan kosong tanpa jawapan tetapi turut diselitkan dengan gurau senda yang tidak kena tempat atau lebih buruk lagi, ada yang meletakkan caci-maki dalam kertas jawapan.
Mahu dikatakan guru-guru tidak memberikan komitmen, sudah berhabis nyawa para pendidik meninggalkan kehidupan peribadi mereka untuk mendidik anak bangsa. Ambil sahaja contoh dalam kisah pengorbanan Cikgu Din yang berulang-alik di antara Kanowit di Sibu, Sarawak dan Kota Bahru, Kelantan semata-mata untuk berbagi masa antara menunaikan tanggungjawab sebagai guru serta amanah sebagai suami menjaga isteri sakit kanser.
Jika bukan salah guru, adakah kita cukup zalim untuk menyalahkan anak-anak di bangku persekolahan kerana tidak mampu menaikkan mutu pendidikan negara? Cukup kejamkah kita sebagai orang dewasa yang memerhati untuk meletakkan beban sebesar laut Kalzum di pundak murid-murid ini?
Atau, pada akhirnya, sudah bersediakah kita untuk menyalahkan sistem pendidikan negara yang tidak manusiawi? Sebagai contoh, dalam pada 5,377 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkesan dengan banjir besar di seluruh negara, Kementerian Pendidikan (KPM) menyangkal sebarang cadangan penangguhan peperiksaan itu. Bahkan ditanya semula kepada pencadang, “Adakah munasabah untuk menangguhkan SPM hanya untuk satu peratus calon yang terkesan?”
Saya merasa pelik yang bukan sedikit. Ini bukan kali pertama Malaysia menghadapi bencana banjir hujung tahun. Malah saban tahun juga begitu aturan alam. Kenapa menteri, timbalan menteri, pengarah, timbalan pengarah dan seluruh kakitangan di KPM yang bijak pandai tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku jika tarikh SPM ditetapkan pada hujung tahun?
Jika sudah ada jangkaan awal tentang kesan penetapan tarikh pada hujung tahun, timbul pula persoalan lain, adakah sistem pendidikan negara sudah luntur nilai kemanusiaan dan kita langsung menganggap masa depan serta nilai hidup 5,377 calon SPM sebagai hanya permainan nombor semata-mata? Persoalan ini tidak dapat dijawab dengan membelek ‘Deklarasi Bangi’ sahaja. Janji dan komitmen apa sebenarnya yang ditabur dulu?
September lalu, KPM mengumumkan penyertaan 122,062 orang pelajar tahun satu dalam program Intervensi Literasi dan Numerasi. Disahkan bahawa daripada jumlah peserta yang menyertai program, sebanyak 62,928 orang murid dikesan langsung tidak mampu membaca, menulis dan mengira (3M). Saya bersangka baik, pada umur tujuh tahun, mereka mempunyai perjalanan jauh dan masa yang panjang untuk mengenal dunia dan memahirkan diri dalam 3M. Maka, tidaklah terlalu membimbangkan.
Namun, apabila ada pendedahan guru sekolah menengah yang mengatakan pelajar di tingkatan tiga masih tidak tahu membaca dengan baik dan gagal dalam sifir dua, sudah tiba masa keseluruhan rakyat Malaysia, terutama ibu bapa yang bergantung kepada sekolah kebangsaan untuk mempersoalkan ke mana pergi komitmen negara dalam peningkatan mutu pendidikan di Malaysia.
BUKAN CIPTA ROBOT
Membina kemandirian dan jati diri manusia bukan semudah mencipta robot dan kecerdasan buatan (AI). Tidak semudah menilai manusia sebagai nombor dan angka dalam laporan tahunan sahaja.
Untuk mendidik anak bangsa melihat hakikat daripada yang nyata, mutu pendidikan tidak boleh berterusan merudum sebegini.
Hakikatnya, sudah meruncing masa kini untuk kita mengkhuatiri bagaimana masyarakat di hari hadapan akan mengekalkan kelangsungan diri mereka nanti.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










