Tradisi kesarjanaan pegun, bisu?

Tradisi kesarjanaan pegun, bisu?

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seminggu dua lepas timbul satu isu mengaitkan sebuah universiti tempatan berkaitan larangan staf mengeluarkan komentar kepada umum yang dianggap boleh menggugah kesarjanaan dan autonomi institusi pengajian tinggi.

Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkongsi ciapan di platform X berhubung keluhan warga akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.

Menerusi perkongsiannya di aplikasi X, Maszlee turut berkongsi surat pekeliling baharu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftar UKM kepada seluruh warga akademik dan kakitangannya.

UKM dalam kenyataan balasnya menerusi Pejabat Komunikasi Korporat pantas menafikan adanya unsur menghalang kebebasan bersuara seluruh warganya dalam memberi kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

Menurut kenyataan tersebut, UKM meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara bangsa.

Kata kenyataan itu lagi, UKM mengamalkan etika dan kematangan mengemukakan pandangan dan hujah yang harus menerusi tatacara berkomunikasi yang baik, menegur dan mengkritik secara berhemah iaitu setiap pandangan perlu disokong dengan fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran.

Sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, UKM sentiasa konsisten dalam menggalakkan warganya untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai Universiti Watan.

Kata UKM lagi, kenyataan awam yang berbentuk konstruktif amat digalakkan sebagai wadah ilmu dan disiplin keilmuan. Demikian panjang lebar penafian UKM tersebut.

Rentetan isu tersebut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tampil memperjelaskannya di Dewan Rakyat.

Beliau memperjelaskan semasa menjawab kepada soalan asal bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengenai langkah kementerian bagi memastikan insiden seperti di UKM, yang melarang kakitangannya membuat kenyataan awam, tidak berulang.

Beliau menyebut mengenai perlunya Akta Badan Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 atau Akta 605 disemak semula .

Akta 605 menetapkan peraturan dan tatacara disiplin bagi pekerja yang berkhidmat dalam badan berkanun serta memberi kuasa kepada ketua organisasi untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pekerja yang melanggar peraturan.

Akta tersebut melibatkan prosedur berkaitan dengan surcaj, iaitu seseorang boleh dikenakan penalti atau ganti rugi akibat tindakan atau kelalaian yang menyebabkan kerugian kepada badan berkanun tersebut.
Akta tersebut bertujuan untuk memastikan kecekapan, integriti, dan akauntabiliti dalam badan berkanun di Malaysia.
Zambry berkata, universiti tidak boleh dilihat badan kerajaan lain dan mesti dikecualikan daripada kekangan akta berkenaan.

Saya juga tertarik dengan apa yang disebut Zambry di Dewan Rakyat iaitu mengeluarkan berhubung kenyataan merapu dan tanpa fakta .

“Saya memahami (kecenderungan) institusi pengajian tinggi meluahkan sesuatu untuk dilontarkan tetapi bagimana pengurusan UA mengambil perhatian kerana mereka terikat oleh Jabatan

Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai badan berkanun,” ujar Zambry.

Zambry berkata, beliau sering kali mengingatkan universiti bahawa mereka mewakili satu macronism dan selepas isu tersebut berbangkit, beliau bermesyuarat dengan pimpinan UA bagi melihat kekangan dunia akademik dan halangan terbesar adalah Akta 605

Apa pun sudut pandangnya, semua pihak dituntut bertindak bijak dalam membuat sebarang keputusan berkaitan UA ini. Membisukan UA bukan sahaja mengekang tradisi kesarjanaan tetapi apa akan jadi kepada usaha menggilap bakat kepemimpinan di UA sekiranya tindak tanduk dipegunkan dan suara dibisukan. Lama sebelum ini sudah diwujudkan Speakers Corner di UA kerana ada desakan mahasiwa perlu dibenarkan mengemukakan pendapat dan pendirian mereka terhadap sesuatu isu.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mengingatkan semua pegawai awam supaya tidak membuat pernyataan awam termasuk menerusi media sosial melainkan diberi kuasa atau mandat oleh pihak kementerian atau jabatan.

Menurut hantaran Facebook JPA, Shamsul Azri mengingatkan perkara berkenaan menerusi Mesyuarat Pengurusan Jabatan Perdana Menteri Tahun 2024.
Bermakna, sudah banyak mekanisme mengunci mulut penjawat awam, itu belum lagi termasuk beberapa akta lain seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia. Apa pula akan jadi sekiranya pelesenan media sosial dikuatkuasakan tahun depan.
Sementara itu seorang tokoh pendidik yag juga bekas naib canselor UA Prof. Tan Sri Dr. Nordin Kardi mengucapkan tahniah kepada UKM yang mengambil langkah kehadapan dan mendahului universiti lain.
Beliau berkongsi kepada saya, autonomi universiti dan kebebasan bersuara membolehkan ahli akademik dan mahasiswa meneroka pelbagai perspektif, bertanya soalan mencabar dan membangunkan penyelesaian inovatif tanpa rasa takut akan penapisan atau kesan yang segera menerima reaksi memberi nilai buruk-baik.
Kebebasan intelek kata beliau penting bagi memajukan dunia ilmu dan kemajuan pemikiran masyarakat.

“Apabila universiti beroperasi secara bebas dan hak bersuara diraikan, mereka boleh menegakkan standard integriti akademik yang tinggi, memastikan penyelidikan, pengajaran dan wacana awam kekal tidak berat sebelah dan berasaskan bukti saintifik.

“Universiti berfungsi sebagai mikrokosmos masyarakat iaitu pelajar dan ahli akademik boleh terlibat dalam dialog terbuka, membahaskan isu sosial dan meneroka ideologi atau aliran ilmu yang berbeza, termasuk kepelbagaian ideologi politik dan aliran atau mazhab keagamaan.

“Persekitaran ini memupuk warga yang berpengetahuan, terlibat menyumbang secara bermakna kepada masyarakat demokratik dan menjadi pemimpin evolusi budaya.

“Universiti bukan pengeluar preskripsi solusi mutlak tetapi menawarkan pelbagai solusi alternatif untuk dihalusi, “ ujar Nordin lagi.

Bagi pensyarah Fakulti Syariah dan Undang – Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow, beliau berpendapat sudah sampai masanya semua UA mengambil satu pendekatan baharu bagi menjamin kebebasan akademik yang meliputi aspek kebebasan bersuara dan luahan pendapat dalam kalangan ahli akademik dan pelajar mereka.

“Antara pendekatan yang boleh diberi pertimbangan adalah dengan membebaskan diri mereka sepenuhnya daripada kerajaan,“ ujarnya.

Dalam pada itu, saya juga perlu memberi tabik hormat kepada Zambry yang cepat memberi maklum balas dengan isu ini yang mampu mengendurkan keluh-kesah warga akademik dengan memberi jaminan menyemak semula Akta 605 itu.

Zambry berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan kepada UA supaya sebarang arahan yang diterima tidak ditafsir secara sehala, yang boleh dilaksanakan di semua peringkat.

“Jika ada kekeliruan dalam tafsiran (arahan) yang dikeluarkan, maka hendaklah terlebih dahulu dimaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk diperjelaskan,” ujarnya lagi.

Menjawab soalan tambahan Saifuddin mengenai UA tidak boleh dilihat seperti sebuah jabatan kerajaan lain, selain perlu menggunakan konsep penilaian, berbanding ukuran, Zambry bersetuju bahawa dunia pendidikan tidak boleh terlalu kaku.

“Sebagai contoh, mengenai masa kehadiran pensyarah di universiti kerana mereka tidak boleh dilihat hanya dalam konteks perkhidmatan awam. Ini antara perkara yang kita lakukan (kaji) supaya mengembalikan semula roh universiti yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu perbahasan tersebut turut memetik judul sebuah buku Excellence Without a Soul: How a Great University Forgot Education karya Harry R. Lewis . Lewis merupakan seorang profesor bidang komputer di Universiti Harvard dan merupakan tokoh yang sangat berpengaruh dalam bidang pendidikan dan teknologi. Buku tersebut membahas tentang cabaran dalam pendidikan tinggi, terutama di universiti-universiti Amerika Syarikat yang menurutnya terlalu fokus pada prestasi akademik dan penelitian daripada mendidik perwatakan dan nilai-nilai. Lewis juga pernah menyandang sebagai Dekan Mahasiswa di Harvard College dari tahun 1995 hingga 2003. Buku tersebut mengkritik arah pendidikan universiti terutama di Amerika Syarikat khususnya Harvard.

Lewis menyoroti bagaimana universiti yang dahulunya bertujuan untuk membentuk keperibadian dan tanggung jawab sosial mahasiswa kini lebih menekankan kepada pencapaian akademik, profesionalisme, dan reputasi tanpa memperhatikan pembentukan moral mahasiswanya. Lewis mendakwa universiti telah melencong daripada arah tujuannya membentuk keperibadian yang utuh.

Kata buku itu, universiti perlu kembali kepada intinya iaitu mendidik “jiwa,” bukan hanya kemampuan teknik atau akademik. Harap begitulah semua UA supaya berperanan begitu supaya tradisi kesarjanannya kekal bukan dipegunkan dengan segala macam peraturan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN