Jangan normalisasikan budaya buli

Jangan normalisasikan budaya buli

BANYAK lagi kes buli tidak dilaporkan dan didiamkan begitu saja atas pelbagai faktor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAYA buli yang mencakupi elemen ragging, menghina atau mengaibkan, memberikan hukuman yang keras, gurauan kasar dan aktiviti penderaan lain yang memberi kesan langsung kepada fizikal, mental dan emosi kepada orang lain sudah menjadi satu amalan lazim di institusi asrama dan pusat latihan di negara kita.

Amalan tidak sihat ini tidak wajar dinormalisasikan atas alasan-alasan klise seperti untuk merapatkan ukhwah senior-junior, untuk membentuk daya tahan mental dan fizikal mahupun sebagai tradisi membanggakan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Malah teguran dan peringatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar latihan keras dalam pasukan tentera yang bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa juga sewajarnya tidak membawa ke tahap buli atau menyeksa seseorang sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa perlu dijadikan iktibar yang signifikan oleh semua pihak.

Ironinya, buli berlaku di pelbagai institusi dan organisasi, termasuklah di tempat kerja apabila kakitangan senior membuli pekerja baharu. Malah baru-baru ini, segelintir artis turut mendedahkan pernah dibuli di lokasi penggambaran seperti diherdik, dimarah dan dilempar skrip.
Secara prinsipnya, kita tidak mahu aktiviti buli atas apa alasan sekalipun berlaku sehingga mendatangkan pelbagai kesan negatif dan kecederaan kepada mangsa termasuk mengorbankan nyawa.

Jangan biarkan apa yang berlaku kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menggemparkan negara sebelum ini berulang kembali. Walaupun ramai dikenakan hukuman atas perbuatan buli namun aktiviti ini terus berlaku, cuma ia kecoh apabila ada yang membuat laporan.

Percayalah, banyak lagi kes buli tidak dilaporkan dan didiamkan begitu saja atas pelbagai faktor. Oleh kerana budaya buli ini sudah berakar umbi secara sistematik di pelbagai peringkat dalam institusi pendidikan, latihan dan sektor pekerjaan maka tidak mungkin kita mampu menanganinya dalam satu hari atau satu malam sebaliknya perlu melihat secara menyeluruh supaya pada akhirnya kita dapat mewujudkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota masyarakat.

Kita menyokong penuh segala hukuman yang dikenakan, memuji tindakan penguatkuasaan serta menyokong semua langkah pembaikan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan untuk mengekang amalan buli ini berulang di institusi masing-masing.

Namun fokus utama perlu diberikan kepada usaha pencegahan khususnya inisiatif pendidikan kesedaran serta langkah jaga-jaga yang perlu diambil bagi menutup apa jua peluang yang ada untuk aktiviti ini berlaku.

Budaya tidak sihat ini berlaku angkara sikap dan latar belakang pelaku, ruang dan peluang yang wujud, kelemahan sistem dan prosedur pemantauan yang ada selain pengaruh amalan tradisi yang dibanggakan.

Jadi jika kita mahu tangani masalah buli, isu-isu pokok ini perlu diberi perhatian secara serius. Kita perlu terima hakikat betapa semua individu boleh bertindak menjadi pembuli jika ada masalah sikap seperti baran, tidak hormati orang lain, ego atau mudah tertekan. Jadi saringan dan pemantauan terhadap aspek psikososial dan kesihatan mental perlu dititikberatkan pada sepanjang masa.

Misalnya, semua institusi asrama perlu melaksanakan saringan kesihatan mental serta penilaian terhadap amalan nilai-nilai murni dan positif di persekitaran baharu selain perhubungan dengan kenalan baharu secara berkala bagi mengenalpasti tahap kecenderungan seseorang individu.

Malah, wajar juga untuk meneliti latar belakang setiap orang kerana mungkin ada sejarah pernah dibuli atau berasal daripada keluarga yang bermasalah. Hal ini penting kerana mereka cenderung untuk melepaskan geram kepada orang lain dengan berubah menjadi pembuli atau pendera.

Pihak pengurusan setiap institusi juga perlu meneliti apakah punca kejadian buli ini berlaku. Apa jua ruang dan peluang yang ada perlu ditutup rapat supaya tidak ada yang mengambil kesempatan. Dalam hal ini sistem pemantauan dan penguatkuasaan kawalan perlu cekap dan efisien.

Kalau di sekolah berasrama penuh atau institusi latihan lain bilangan warden yang secukupnya perlu disediakan dan pastikan warden menjalankan tugas pemantauan dengan berkesan. Manakala di organisasi pekerjaan pula pegawai penyelia perlu memastikan anak buah tidak dibuli oleh pekerja senior atau rakan setugas lain.

Pokok pangkalnya, kita perlu ada budaya dan sistem pemantauan yang berfungsi dengan berkesan selain mampu menghidu apa jua perbuatan buli. Hal ini penting kerana apabila meneliti kebanyakan kes buli yang dilaporkan mendapati antara faktor penyumbang utama ialah wujudnya kelemahan ketara dalam sistem pemantauan yang sedia ada.

Lantas, masing-masing menuding jari menyalahkan orang lain atau mula mencipta pelbagai alasan dan hanya mampu mengambil langkah pembetulan umpama sudah kecurian baru mengunci pintu. Namun, apa yang berlaku tidak boleh diperbetulkan terutamanya nyawa yang hilang tiada galang gantinya.
Selain itu, setiap institusi juga perlu mengambil langkah drastik untuk memberhentikan segera segala aktiviti yang ada unsur-unsur buli yang selama ini diterima dan dinormalisasikan sebagai tradisi dan amalan lazim.

TAMATKAN TRADISI
Membenarkan pelajar senior mengawal junior sepenuhnya tanpa sebarang kawalan yang sewajarnya selain membiarkan mereka melakukan apa sahaja ke atas junior adalah tidak lagi sesuai pada zaman ini.

Harus diingat langkah ini umpama memberi lesen besar kepada pelajar senior yang mula mengambil peluang untuk membalas dendam dengan melakukan apa yang mereka lalui ketika bergelar junior.

Justeru, kita tidak memerlukan lagi amalan tradisi tidak sihat ini walau dengan apa alasan sekalipun kerana perbuatan buli dan penderaan bermula dengan tradisi seperti ini yang telah dinormalisasikan sekian lama. Tegasnya, sudah tiba masanya untuk kita putuskan rantaian ini.

Di samping itu, setiap institusi juga perlu mewujudkan sistem laporan atau aduan yang telus dan berkesan bagi membolehkan mana-mana individu yang merasakan dirinya terdedah kepada unsur buli atau tahu ada berlaku kes buli boleh segera tampil membuat aduan sebelum perkara tidak diingini berlaku. Kerahsiaan setiap aduan serta keselamatan pengadu perlu diberi jaminan sewajarnya.

Pada masa sama, usaha ke arah meningkatkan aspek kesedaran dalam kalangan masyarakat melalui program pendidikan khususnya menerangkan gejala, ciri-ciri, serta kesan dan impak perbuatan buli juga perlu diperbanyakkan. Malah kempen anti buli dan budaya menghormati orang lain perlu diperkasakan.

Tuntasnya, bukan mudah untuk meletakkan titik noktah kepada aktiviti buli ini kerana berlaku di pelbagai lapisan dan di hampir semua sektor serta industri tanpa kenal usia dan jantina.

Namun, kita tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu berani bertindak dan menghentikan apa jua usaha ke arah menormalisasikan budaya buli. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN