“UNTUK menjaga martabat iman maka ulama-ulama pun memberi ingatan bahawasanya orang yang tidak patut menerima zakat kerana dia ada kemampuan, lalu diterimanya zakat itu, adalah haram hukumnya.” – Buya Hamka
Perkara pelik yang ajaib berlaku bulan lalu. Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang mempunyai pemilikan aset bernilai jutaan ringgit di serata negara, malah dunia, didapati tidak pernah membayar zakat kepada kerajaan negeri-negeri tempat mereka beroperasi.
Sebagai perniagaan yang kononnya berasaskan ekonomi Muslim, aneh syarikat tiada langsung rasa kewajipan untuk sama-sama membangunkan institusi zakat dalam negara bagi dimanfaatkan sesama Muslim.
Lebih sadis lagi apabila Ketua Polis Negara mendedahkan hasil siasatan bersepadu yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati syarikat itu tidak pernah membayar cukai berkaitan. Bagaimana sebuah syarikat dengan jumlah pegangan ekuiti dalam pasaran yang besar mampu terus beroperasi tanpa perlu menuruti peraturan dalam sistem ekonomi negara?
Perkara yang serupa pelik berlaku minggu lalu. Tular berita kononnya ada arahan oleh kerajaan untuk mengecualikan pembayaran cukai tertunggak dan denda yang sebelum ini dikenakan terhadap Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Terkebil-kebil lagi rakyat membaca berita yang menyebut jumlah yang ingin dikecualikan adalah sekitar RM83 juta.
Walaupun Kementerian Kewangan menyatakan masih belum ada keputusan muktamad dalam pengecualian ini, namun kemungkinan pengecualian berlaku, masih ada.
Insiden culas membayar cukai bukan kejadian terpencil sebaliknya sudah kerap dilaporkan. Awal tahun ini, isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Khalid memohon semakan kehakiman dalam percubaan membatalkan penilaian pihak berkuasa berkaitan berhutang lebih RM313 juta kepada LHDN.
Tahun lalu Mahkamah Persekutuan mengarahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin agar masing-masing menjelaskan cukai yang tidak dibayar sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
Jun tahun ini, siasatan bersepadu di antara LHDN, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkarkan kegiatan sindiket penyeludupan terbesar di Pelabuhan Klang. Siasatan awal mendapati sindiket tersebut memiliki lebih 10 syarikat penghantaran yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu. Jumlah cukai yang berjaya mereka elak bagi tempoh 10 tahun adalah sebanyak RM3.5 billion.
TIADA PULA PERUNTUKAN UNTUK PENDIDIKAN, RAKYAT MARHAEN
Sebagai perbandingan, jumlah peruntukan negara bagi menambah baik kemudahan makmal komputer di sekolah-sekolah seluruh negara sebanyak RM100 juta bagi tahun ini atau dalam perbandingan lain, Belanjawan Sabah 2024 memperuntukkan RM101 juta untuk biasiswa dan dermasiswa buat manfaat 1,500 orang pelajar institusi pengajian tinggi. Jumlah RM83 juta kelihatan kecil di atas kertas tetapi hakikatnya di lapangan mampu merubah nasib dan kehidupan ribuan rakyat.
Dalam hal pungutan cukai atau zakat yang bertujuan disalurkan untuk kegunaan rakyat, janganlah pihak-pihak berkuasa berhakim kepada beruk. Jumlah cukai jutaan ringgit yang enggan dibayar syarikat besar tidak boleh dianggap remeh dalam pada ratusan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman di serata negara berterusan daif dan serba-serbi memerlukan.
Apabila rakyat memohon bantuan atau merayu agar diberikan infrastruktur yang baik, laju kerajaan membalas tiada bajet. Sedangkan cukai korporat yang menjadi punca kewangan negara tidak dipantau dengan lebih ketat.
Sehingga kini masih belum ada ura-ura kerajaan akan menuntut pembayaran cukai daripada GISBH bagi keuntungan yang diperoleh sepanjang syarikat ini beroperasi di dalam negara.
Saya amat berharap kesemua aset milik syarikat ini yang telah disita dan dibekukan akan dinilai semula agar mana-mana jumlah yang sepatutnya diperuntukkan untuk cukai dan zakat dapat dilangsaikan terlebih dahulu.
Barulah ada keadilan dalam sistem ekonomi yang sekarang ini dilihat sangat garang terhadap rakyat marhaen tetapi langsung tidak bertaring terhadap golongan kapitalis kaparat.
Kalau kapitalis kaparat, berpuluh tahun mengumpul keuntungan bernilai puluhan juta dianggap seperti celah gigi. Sedangkan kalau rakyat marhaen yang saban bulan cukup-cukup makan, baru beli kereta buatan tempatan bulan ini, bulan depan sudah ada surat audit daripada LHDN.
Sebagai rakyat Malaysia yang bersemangat patriotik dan nasionalis, pembayaran cukai adalah tanggungjawab sivik yang harus digendong bersama. Bagi pengelat cukai, tindakan mereka bukan sahaja merupakan jenayah kewangan yang mengganggu-gugat kelancaran ekonomi negara tetapi sebenarnya pengkhianatan yang jelas kepada bumi Malaysia.
Pengkhianat negara seperti mereka tidak segan menjadi lintah darat yang menghisap hasil bumi Malaysia dan mengaut keuntungan yang dikumpulkan sepanjang berniaga.
Apakah pulangan yang mereka berikan jika hasil dibolot sepenuhnya tanpa rasa tanggungjawab untuk menyumbang kepada pembinaan negara? Tiada. Sikap mereka ini sebetulnya tidak ubah seperti parasit.
Sudah tiba masa negara melihat pengkhianatan dalam bentuk penipuan cukai sebagai jenayah yang lebih berat. Masyarakat Malaysia juga perlu didedahkan dengan mengelak daripada membayar cukai bukan hanya mereka bersikap tidak bertanggungjawab tetapi juga perbuatan yang menghina negara.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










