Media sosial umpan pedofilia, normalisasi seks kanak-kanak

Media sosial umpan pedofilia, normalisasi seks kanak-kanak

USAH biar masa depan kanak-kanak gelap dek perbuatan keji serta jijik pihak yang sepatutnya melindungi, menyayangi dan membimbing mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA isu melibatkan kanak-kanak menjadi sorotan berita utama sama ada arus perdana mahupun media sosial berkaitan antunan dan amang seksual.

Sekiranya tidak dibendung, jenayah ini mampu menjadi barah dalam masyarakat yang akan merosakkan institusi kekeluargaan dan struktur sosial.

Pertama, pemimpin Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) membuat pengakuan terbuka menerusi sebuah rakaman video bahawa wujudnya beberapa kes liwat membabitkan individu dalam organisasi berkenaan.

Ini rentetan daripada laporan siasatan dikemukakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada 13 September bahawa 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan daripada 20 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan melalui Op Global.

Seramai 13 penghuni berkenaan dipercayai menjadi mangsa liwat. Selain itu, hasil siasatan juga mendapati mangsa diajar melakukan perbuatan meliwat yang turut melibatkan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, GISBH juga didakwa mengeksploitasi kanak-kanak serta remaja untuk tujuan perniagaan dan meminta sedekah.

Kedua, isu ‘Abang Bas’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 15 (a) (iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792). Pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia empat tahun dalam sebuah bas sekolah serta amang seksual bukan fizikal memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual. Sebelum ini, beliau ditahan selepas memuat naik rakaman video di aplikasi TikTok memaparkan seorang murid sekolah rendah penumpang basnya dirujuk sebagai ‘crush’ dan kesayangan. Peliknya, ada yang menyokong tindakan ‘Abang Bas’ tersebut hingga ke tahap mengutip derma bagi membayar ikat jaminnya.

Ketiga, seorang wanita membuat parodi lakonan berkaitan watak suami isteri melibatkan anak lelakinya yang masih di bawah umur. Meskipun wanita itu menyatakan aksi mereka hanya sekadar kandungan media sosial dan lubuk mencari rezeki, namun rata-rata warganet merasakan tindakan ibu tunggal itu adalah tidak wajar sementelahan melibatkan anak lelaki sendiri terpaksa berlakon sebagai suaminya.

Isu ini mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Dr. Mohd Suki Othman, beliau menyatakan niat dan matlamat tidak menghalalkan cara kerana dikhuatiri boleh menggalakkan perbuatan sumbang mahram.

Amat membimbangkan sekiranya isu antunan dan amang seksual ini tidak ditangani sedari awal, ia boleh menjerumuskan lagi kepada masalah lain seperti penderaan emosi, fizikal dan seksual. Ketiga-tiga kes di atas menjustifikasikan tindakan mereka menyatakan ia berlaku dalam kalangan ahli keluarga sendiri sahaja. Sama ada orang terdekat mahupun orang luar, ia tidak sepatutnya menjadi sebab perkara itu dihalalkan.

Saya ingin membawa pembaca kepada kes-kes yang pernah berlaku dalam negara. Ingatkah anda kepada kes-kes Nurin Jazlin, Sharlinie dan Nurul Huda? Insiden menyayat hati ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua bahawa kanak-kanak mudah menjadi sasaran golongan pedofilia dan pelaku dewasa. Ini disebabkan fizikal mereka yang kecil, senang dimanipulasi dan sifat kebergantungan kepada orang dewasa atau penjaga. Orang dewasa yang sepatutnya mengajar dan membimbing tentang erti kehidupan telah menutup kamus riwayat mereka selama-lamanya.

Pada 2015, seorang pelajar genius Matematik menuntut di Kolej Imperial London dihukum lima tahun penjara kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video pornografi kanak-kanak. Pada 2016, guru bahasa Inggeris dan jurugambar Richard Huckle dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah di London atas 71 pertuduhan penderaan seks kanak-kanak di Malaysia.

Pada 2018, Malaysia mencatatkan bacaan alamat protokol internet (IP) tertinggi memuat naik dan memuat turun pornografi kanak-kanak di Asia Tenggara. Pada 2021, Alladin Lanim ditangkap dengan ribuan bahan pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbitnya dan dihukum penjara 48 tahun enam bulan dan 15 sebatan. Tidakkah ini semua membuktikan kes pedofilia semakin membimbangkan di negara kita tahun demi tahun?

Akta 792 mengenakan hukuman penjara tidak melebihi tempoh lima tahun dan sebatan bagi kesalahan pengantunan kanak-kanak (Seksyen 12). Bagi bagi kesalahan amang seksual fizikal, hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan (Seksyen 14) manakala bagi kesalahan amang seksual bukan fizikal, hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 (Seksyen 15).

Zaman teknologi dan media sosial kini juga mampu menjadi umpan pedofilia menjerat kanak-kanak sebagai mangsa. Penggunaan pelbagai aplikasi tanpa kawalan dan pemerhatian ibu bapa atau penjaga boleh mendorong kanak-kanak kepada perkara tidak diingini. Modus operandi penjenayah yang dahulunya mencari kanak-kanak secara fizikal di jalanan sudah bertukar kepada secara maya dalam talian. Oleh yang demikian, segala pergerakan, aktiviti dan lingkungan rakan kanak-kanak perlu dipantau sebaik-baiknya.

MASA DEPAN YANG KELAM
Rukun Ihsan yang terkandung dalam falsafah Malaysia Madani juga perlu ditekuni dan dirasai makna peduli dan belas kasihan terhadap keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat secara keseluruhannya terutama kelompok minoriti. Ini termasuklah kanak-kanak yang merupakan aset dan masa depan negara.

Kes-kes seperti dinyatakan boleh berlaku lagi. Kesan psikologi mendalam dan trauma berpanjangan boleh menyebabkan penyakit mental seperti kemurungan dan keresahan melampau.

Ini turut menjejaskan kualiti hidup kanak-kanak itu apabila menginjak dewasa kelak.Lebih parah, sekiranya kanak-kanak merasakan perkara yang berlaku terhadapnya semasa kecil adalah sesuatu normal dan mungkin melakukannya ke atas orang lain pula.

Segelintir masyarakat pula janganlah menjadi pemboleh kepada perbuatan tidak bermoral terhadap kanak-kanak. Kanak-kanak ibarat kanvas putih yang harus dicorakkan dengan palet warna-warni kehidupan.

Usah biarkan masa depan mereka gelap dek perbuatan keji lagi jijik pihak yang sepatutnya melindungi, menyayangi dan membimbing mereka.-UTUSAN

DR. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-undang, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN