Bahana, lagi bahaya bila buat ‘tak kisah’ - Utusan Malaysia

Bahana, lagi bahaya bila buat ‘tak kisah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehidupan hari ini amat menuntut kreativiti, kesungguhan dan keberanian untuk menjayakannya.
Banyak isu dan perkara melintas depan mata yang harus diperbetulkan.

Dalam kilas balik atau menjawab tuduhan dan tohmahan pihak tertentu, apa lagi terhadap kerajaan, ia cukup dengan menggunakan ayat dan perkataan spontan sahaja. Santai, tetapi mengandungi fakta digarap tahap tinggi. Menusuk terus ke jiwa. Bukan setakat tuju ke kepala.

Jika dimulai jawapan dengan angka, statistik dan peratusan, meraban juga untuk diproses otak. Biasanya kerana angka boleh digunakan sebagai penguat hujah, bukannya mendominasi topik penjelasan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kepada pihak yang masih cenderung berwenang-wenang rasisme dan cauvinistiknya, beringatlah! kita ini bukanlah Britain atau Amerika Syarikat. Bila tiba soal menjaga penduduk, negara-negara berkenaan tiada masalah kerana rata-rata mereka semuanya mat saleh.

Tetapi di tanah air ini, kita dihuni pelbagai kaum terutama sekali dalam menjaga Islam, agama dan budayanya. Ia bersimpul mati dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebab itu pengisian merdeka yang baru berlalu Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September tempoh hari, bukanlah mudah. Tugas ini mesti dilakukan dengan azam, isian dan kaedah tersendiri.

Diakui pejuang kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu rata-rata hampir tiada. Kalau adapun mereka tidak upaya berinteraksi lagi lantaran dimamah usia lanjut. Jadi, yang ada hanya generasi baharu yang belum terlengkap lagi dengan asam garam merdeka.

Dalam hal ini, institusi pendidikan harus berperanan utama. Perlu dilatih guru dan profesor jati diri, genapkan pengajar budaya dan warisan, adat, olahan bahasa dan budaya tinggi sebagai pengaliran ilmu. Setidak-tidaknya mesti diwujudkan sukatan pelajaran jatidiri, budaya, warisan, arena bahasa ilmu dan hal-ehwal perpaduan kaum yang utuh.

Dalam arena politik, merdeka sepatutnya membawa kita kepada cara berjuang yang matang. Sindiran vokal mengenai ‘siapa yang lebih Melayu’ di peringkat pimpinan sedang jadi cerminan hodoh bangsa sendiri.

Lihatlah, ada segelintir ‘badut politik’ masih ‘cekap’ bermain ‘sarkas’ tohmahan dan fitnah. Kalau didengar sekali, boleh menggoncang pendirian kita. Namun apabila disemak dan diteliti sedalam-dalamnya dengan akal fikiran, terjawablah segala autanya.

TERTAWA BESAR
Kadang-kala kita boleh tertawa besar, ada kalanya tertawa kecil mendengar atau membaca ungkapan dan celoteh ‘spesies’ mereka ini dalam menegakkan hujah.

Cuma di Malaysia, pemainnya berpolitik sepanjang masa – boleh disamakan dengan keadaan di penanggah semasa kenduri. Ada bertindak sebagai kayu api, tungku dan batu api. Ini semua diketahui belaka oleh setiap ahli politik. Yang tergolong sebagai batu api tadi peranan mereka ialah membakar yang dalam amalan sebenar menghasilkan adu domba dan cucuk radak.

Pemimpin atau mereka yang jurang fakulti pemikirannya agak dangkal dan tidak meluas akan mudah dikuasai oleh golongan batu api ini dan akhirnya menjadi mangsa olahan sendiri.

Seperkara lain yang cukup penting lagi adalah bahasa Melayu, budaya kebangsaan dan perpaduan yang perlu dititikberatkan. Yang kita cukup risau bahasa Melayu kelak terus merempat hanya sebagai bahasa komunikasi bawahan. Anak bangsa sudah melupakan bagaimana bertutur secara baik dalam bahasa ibundanya. Biasa didapati ayat percakapan bahasa Melayu direncah dengan ungkapan Inggeris. “Nanti call…ya” dan “Kejap lagi…lunch”. Anak kepada ayah, isteri kepada suami lantas menjadikan masyarakat disula sembilu globalisasi yang buruk padahnya kepada jatidiri. Di media sosial apatah lagi cacamarba tunggang langgang bahasa Melayunya.

Bagaimana pula rakyat Malaysia kaum lain yang terus mendakap bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka sendiri? Program bahasa mereka berjalan baik, akhbar mereka laku dan meluas edarannya.

Buat apa penat-penat belajar bahasa Melayu sedangkan sebahagian besar orang Melayu tidak lagi berbahasa ibunda mereka? Kalau pun bertutur dalam bahasa Melayu, buku nahunya sudah seperti buku nahu Inggeris. Lebih baik cakap bahasa Inggeris terus.

Di sisi lain, sekolah tahfiz muncul seperti cendawan lepas hujan. Tapi apakah proses terjemahan ilmu hafalan kepada cara hidup kita? Cara dan kaedah praktikalnya masih mencerminkan kaedah luaran, tidak dalaman. Berpaling ke sekolah kebangsaan pula, ia semakin ditinggalkan kaum lain.

Yang kita bimbang lagi jika ada kalangan menteri tidak ingat lagi sumpah jawatan. Jika benar, ia cukup mendukacitakan.

Dilafazkan wallahi, wabillahi, wattallahi sewaktu terima jawatan. Maka harus hormatlah lafaz yang bukan kecil perkataan itu. Jangan tolak ketepi sahaja apa yang telah disumpahkan.

POLITIK WAJAH
Dan eloklah hari ini kita tidak lagi dimomokkan dengan ‘politik wajah’. Molek begitu perjalanannya supaya jangan nanti silap haribulan kita menerima ‘politik wajah berduri’. Hanya semata-mata popular apa dimuatnaik dalam podcast, Instagram, WhatsApp atau Facebook, populariti diraih sekejap. Seeloknya kecenderungan menteri dan timbalannya terarah kepada pencapaian KPI (petunjuk prestasi utama). Kerana akhirnya ‘ekonomi perut’ atau sara hidup jugalah realiti pilihan rakyat.

Sebaiknya juga elok operasi seseorang menteri itu tidak disekat. Biarkan dia dengan keterbukaannya, idea-ideanya. Asal sahaja berani berdepan kritikan, bahkan bersedia pula membaiki mana yang terlebih dan terkurang. Usah lari dari perjuangan asas tentang nilai serta hak-hak asasi untuk memperbaiki keadaan.

Sudah tiba masanya anggota Kabinet turut menerima layanan seperti diterima penjawat awam. Penting ini dijadikan amalan wajib demi teladan, menghormati perlembagaan persekutuan dan tuntutan rule of law – satu-satunya istilah yang kerap disalah erti oleh masyarakat.
Generasi kini dan mendatang jangan lagi dikeliru.

Bahana jika apa yang diungkapkan segalanya tadi akhirnya kita buat ‘tak kisah’. Selamba, langsung tidak ambil peduli – yang bahayanya barangkali muncul kurang 10 tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini