BARU-BARU ini, saya sangat bertuah kerana terserempak dan berpeluang berbual dengan artis seni terkenal negara. Beliau bukanlah pelakon mahupun penyanyi tetapi seorang penggiat seni lukis yang sangat dikenali ramai, Anuar Rashid.
Nama beliau tercatat di galeri laman web Khazanah Nasional Berhad. Kehebatan beliau dalam seni lukis diakui oleh bekas Pengarah Balai Seni Lukis Negara yang merupakan pelukis tersohor di Malaysia dan dinobatkan sebagai Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal.
Syed Ahmad pernah menggelarkan Anuar suatu ketika dahulu sebagai sensasi baharu persada seni Malaysia. Sebagai artis seni lukis, Anuar juga terkenal di luar negara setelah merantau bertahun-tahun lamanya untuk menimba pengalaman sebelum kembali ke tanah air. Kejayaan beliau membuktikan anak Malaysia juga mampu berjaya dalam apa jua lapangan di persada antarabangsa.
Dalam dunia perniagaan, Malaysia juga memiliki begitu banyak konglomerat sejak mencapai kemerdekaan 67 tahun yang lalu. Salah satu konglomerat terkenal, tidak lain tidak bukan Petroliam Nasional Berhad (Petronas). Tiada siapa dapat menyangkal bahawa Petronas adalah syarikat milik tempatan yang begitu banyak membantu negara dan rakyat Malaysia.
Meskipun ‘berumur’ 50 tahun sejak ditubuhkan pada 1974, namun kematangan dan ketenangan Petronas sebagai entiti perniagaan terunggul di Malaysia telah, sedang dan memberi impak besar kepada keseluruhan rakyat di negara ini.
Masakan tidak, sumbangan Petronas begitu besar, mungkin mencecah trilion ringgit. Dengan jumlah sebegitu banyak, adakah sesiapa tergamak menyatakan Petronas tidak memberi apa-apa impak kepada Malaysia dan rakyat di negara ini?
Ketika Malaysia berada dalam krisis ekonomi 1997 dan 1998, Petronas masih menyumbang kepada negara. Malah, ketika seluruh dunia mengalami krisis ekonomi dan kesihatan terburuk dalam sejarah dunia moden apabila dilanda pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu, Petronas masih menyumbang kepada negara melalui pembayaran dividen bernilai puluhan billion ringgit.
Malah, Petronas juga telah, sedang dan akan membantu anak-anak Malaysia untuk menyambung pengajian sama ada di dalam dan luar negara dengan tajaan biasiswa. Tidakkah ini menggambarkan betapa sumbangan Petronas begitu banyak sekali?
Jadi, kita boleh bercakap begitu banyak tentang sumbangan Petronas termasuklah Anugerah Merdeka.
APA JADI DALAM TEMPOH 50 TAHUN AKAN DATANG?
Namun, di sebalik pelbagai sumbangan ini, tentu sekali negara dan seluruh rakyat ingin melihat apakah hala tuju Petronas dalam tempoh 50 tahun akan datang?
Dengan keadaan dunia yang semakin tidak menentu, suasana perniagaan di dunia juga bergerak pantas dengan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), adakah Petronas akan lebih banyak membuat pelaburan-pelaburan baharu di luar negara? Lebih tepat lagi, berapakah peratusan perniagaan luar negara Petronas daripada keseluruhan perniagaan?
Petronas akan menjadi peneraju konglomerat Malaysia yang memberi tumpuan kepada perniagaan luar negara jika pelaburan dibuat secara besar-besaran. Manakala, syarikat-syarikat lain yang lebih kecil bolehlah mengukuhkan kedudukan masing-masing di negara ini sebelum bergerak secara besar-besaran di peringkat global.
Malaysia memerlukan satu contoh syarikat yang benar-benar menjadi peneraju global bukan setakat menjadi jaguh kampung tetapi menguasai perniagaan di persada antarabangsa. Dengan menceburi perniagaan di peringkat global, lebih banyak lagi peluang-peluang perniagaan bakal diceburi dan direbut oleh Petronas.
Sememangnya, pasaran Malaysia agak kecil berbanding pasaran global. Dengan memasuki pasaran global secara besar-besaran, Petronas akan mampu melipatgandakan keuntungan sedia ada yang mana keuntungan ini juga akan dikembalikan kepada negara dan rakyat Malaysia.
Tiada siapa meraguinya kerana Petronas mampu melakukannya hanya dalam tempoh 50 tahun ini. Dengan bersandarkan pelbagai pengalaman dan kepakaran, pasti sahaja mampu meyakinkan sesiapa sahaja bahawa syarikat ini berkebolehan menguasai pasaran global setaraf dengan syarikat minyak dan gas antarabangsa di dunia.
Namun, di sebalik sisi positif ini, sudah tentulah terdapat sisi negatifnya yang tersendiri. Jika Petronas menceburi bidang perniagaan secara besar-besaran di peringkat global, maka usahawan-usahawan tempatan akan kurang mendapat kontrak perniagaan daripada syarikat syarikat minyak dan gas multinasional tersebut. Jika ini berlaku, akan memberi kesan kepada perniagaan usahawan-usahawan tempatan.
Walhal, Petronas juga perlu menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada usahawan-usahawan tempatan terutamanya dalam kalangan syarikat-syarikat tempatan yang sedang mengukuhkan asas perniagaan masing-masing. Inilah antara perkara pokok yang perlu difikirkan dan dilaksanakan oleh golongan profesional yang selama ini bertanggungjawab mencorak hala tuju Petronas.
Sebagaimana Anuar yang mencipta namanya tersendiri di luar negara dalam bidang seni lukis, Petronas juga perlu mencipta lebih banyak lagi kejayaan bertaraf antarabangsa. Tidak mustahil jika mempunyai strategi mantap, Petronas akan mencipta nama sebagai salah sebuah daripada 10 syarikat terbesar di dunia dari segi aset, pendapatan dan keuntungan bersih.
Namun, apa pun strategi untuk menjadikan Petronas sebagai syarikat konglomerat yang sangat disegani dan terunggul di peringkat dunia, syarikat itu juga perlu menyeimbangkannya dengan membantu usahawan-usahawan tempatan Malaysia. Situasi menang-menang sebegini akan memantapkan lagi industri perniagaan dan ekonomi negara.
50 tahun mendatang, Petronas pasti mampu merealisasikannya. Syabas dan tahniah Petronas, syarikat kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Selamat menyambut ulang tahun ke 50 Petronas. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Rohami Shafie ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).










