TINDAK balas etnik Cina terhadap larangan derma kepada sekolah oleh syarikat minuman keras amat mengecewakan.
Ia memperlihatkan mutu kewarganegaraan yang begitu rendah, malah hampir tiada langsung setelah melalui proses pembentukan negara bangsa selama sekitar tujuh dekad.
Sehubungan ini, proses itu memang gagal setelah melihat hasilnya yang bukan sahaja kejahilan tentang negara yang didiami. Juga semangat kebangsaan dan perasaan keterikatan kepada negara ini yang begitu longgar sehingga boleh dipersoal dari banyak sisi.
Dengan ini, integrasi sebagai kaedah penyatuan yang kita guna pakai untuk mencapai perpaduan erat lagi utuh itu gagal.
Sehubungan ini, integrasi yang sebenarnya jauh lebih ringan daripada asimilasi yang lagi berat tuntutannya tidak pun berhasil, walaupun pada kadar amat sederhana.
Kegagalan ini antaranya disebabkan oleh keengganan etnik bukan Melayu, antaranya Cina untuk berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu untuk menjadi sebahagian daripada komuniti nasional yang lebih fungsional dalam memahami Islam dan lain-lain untuk perpaduan negara khasnya.
Antara keengganannya ialah dalam bersekali mendukung aspirasi nasional yang sama-sama dilakar oleh Melayu-Cina-India pada Kontrak Sosial, iaitu Perjanjian Etnik 1955.
Sehubungan ini, setelah diberikan kewargenagaraan oleh etnik Melayu, etnik bukan Melayu bersetuju untuk menerima agama Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa etnik Melayu dan kekuasaan raja Melayu.
Dengan ini, sepatutnya isu derma ini tidak timbul pun setelah etnik bukan Melayu, khususnya Cina, memahami warisan etnik lain, lebih-lebih lagi Melayu selaku penduduk asal, majoriti lagi dominan. Oleh itu, tidak harus wujud dalih bahawa penerimaan dana sebegitu adalah hak mereka yang tidak boleh sesekali disekat sesiapa pun.
Selain angkuh sekali, etnik Cina didapati amat bebal dalam menyedari bahawa mereka menetap di bumi Melayu yang Islam bukan sahaja agama anutan etnik Melayu. Ia juga agama rasmi negara waima dipanggil agama Persekutuan.
Dengan ini, segala kesusilaan awam di segenap pelosok negara ini wajib mematuhi ketetapan daripada ajaran Islam.
Oleh itu, amat jahil untuk etnik Cina menyelar etnik Melayu sebagai memiliki sikap moraliti superior yang mahu dipaksa-paksakan kepada mereka dalam isu derma begini dan juga lain-lain.
Sebaliknya ia akidah yang tidak boleh sesekali diingkari oleh umat Islam. Sewajarnya semua ini sudah difahami dengan baik sekali setelah bersama-sama sebagai satu kewarganegaraan untuk sekian lama sesudah tertubuhnya negara ini pada 1957 dahulu.
Apabila perkara ini terjadi, tidak dapat dinafikan lagi bahawa selama ini integrasi di negara ini yang diuar-uarkan sebagai amat baik itu, ibarat indah khabar dari rupa. Ia tidak terjadi pun pada kadar yang sederhana, apatah lagi tinggi dan sepenuhnya.
Oleh itu, sudah tiba masanya satu audit ikhlas dilakukan untuk mengukur tahap kebersamaan Melayu-Cina-India dari segi kerukunan yang sebenar-benarnya, walaupun ia didakwa sebagai mencatatkan bacaan tertinggi untuk tahun ini.
Seperkara penting dalam menangani isu derma ini, tiada keperluan langsung untuk cuba mengajar dan berbicara tentang soal moral kepada etnik Cina.
Ini kerana mereka memiliki set nilai yang didapati bertentangan sekali dengan yang dipegang oleh etnik Melayu berdasarkan ajaran Islam.
Selain ini, perbezaan budaya juga amat besar sehinggakan tidak ada gunanya perbahasan diteruskan atas landasan amalan masing-masing.
Bagi etnik Cina, mereka tidak langsung melihat apa-apa jua kesalahan untuk dibantu oleh mana-mana pihak dalam apa-apa jua cara, asalkan pendidikan aliran Cina dapat terus maju.
Dalam hal ini, dana lumayan daripada syarikat minuman keras yang selalu mencatat keuntungan besar bukan sahaja amat sangat membantu mereka. Malah pada pandangan mereka ia juga tiada sebarang dampak buruk dari segi pendidikan dan kesihatan yang didakwa boleh memudaratkan murid Cina.
Satu-satunya hujah yang amat tidak disenangi dan tidak mampu dipatahkan dengan mudah oleh etnik Cina ialah negara ini ada tuannya, iaitu etnik Melayu dan agama mereka, yakni Islam adalah agama negara.
Sehubungan ini, kedudukan Islam sebegitu yang disokong kuat pada perundangan teragung negara ini, sebenarnya sama-sama dipersetujui etnik Cina sendiri untuk diangkat ke tahap itu.
Dengan ini, etnik Cina hendaklah mula berintegrasi semula ke dalam struktur sosiobudaya Melayu dan secara penuh ikhlas pada kali ini. Untuk ini, segala unsur budaya Melayu hanya perlu digabungkan dengan yang sedia ada pada warisan Cina. Dalam pada itu, ia wujud sebelah-menyebelah untuk diguna pakai apabila perlu sahaja.
BUKAN BERSIFAT PERKAUMAN
Dalam isu derma ini, ajaran Islam yang mengharamkan minuman keras dalam apa-apa jua bentuk yang ada kaitan dengannya, wajib diterima oleh etnik Cina dengan hati terbuka dalam konteks di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Sebenarnya larangan ini tidak sesekali bersifat perkauman atau keagamaan seperti yang didakwa mereka. Sebaliknya ia soal urus tadbir sebuah pemerintahan Melayu-Islam.
Dengan ini, sebarang derma sama ada secara langsung kepada sekolah atau apa-apa jua penyamaran menerusi pelbagai pihak lain, adalah sama sekali tidak dibenarkan.
Ini sangat penting untuk memastikan urus tadbir negara bukan sahaja hendaklah selalu bersifat Melayu-Islam, juga harus kelihatan Melayu-Islam pada setiap masa.
Oleh itu, derma kepada sekolah oleh sesiapa sahaja wajib dipastikan hanya daripada sumber yang tidak memudaratkan pada ajaran Islam sebagai agama paling utama lagi penting di negara ini.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










