IKHTIAR Malaysia dalam bekerjasama dengan China untuk mengangkat tarian singa ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Pertubuhan Sains, Pendidikan dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta untuk keahlian Malaysia dalam Perikatan Warisan Dunia Asia, adalah sama sekali tidak wajar. Ini kerana tarian singa bukan sesekali warisan yang berasal dari Malaysia khasnya dan juga tidak pun dari nusantara amnya.
Dalam hal ini, ia berasal dari China yang kita sendiri akui. Namun Malaysia, khususnya etnik Cinanya, masih mahu juga memulakan usaha ini kerana merasakan Malaysialah negara di luar China yang paling giat mempromosikan tarian singa.
Tarian singa didakwa pada hari ini sebagai tidak lagi terhad kepada perayaan Tahun Baharu Cina sahaja. Kini ia banyak dipersembah pada sepanjang tahun. Antaranya sewaktu pembukaan perniagaan baharu, majlis perkahwinan, upacara mendiami rumah baharu, sehingga meraikan hari jadi dan lain-lain lagi oleh banyak pihak.
Dengan ini, tarian singa kini didapati bukan lagi amalan budaya Cina semata-mata. Ia sudah menjadi budaya sepunya di Malaysia yang sudah ikut diraikan oleh semua etnisiti. Sama pentingnya ekoran persembahannya juga disertai secara aktif oleh etnik bukan Cina, termasuklah Melayu.
Dengan ini, tarian singa sudah dianggap, malah telah diterima sebagai budaya sepunya rakyat Malaysia. Oleh itu, tidak ada salahnya untuk Malaysia mencalonkannya sebagai warisan tidak ketara dunia yang terbaharu di UNESCO.
Sehubungan pencalonan ini, China yang memiliki warisan ini sepenuhnya semenjak azali lagi tidak pernah pun berusaha ke arah itu. Ini mungkin kerana China sangat memahami syarat pemilihan warisan sedemikian yang amat menekankan sisi kepupusannya.
Dalam pada ini, tarian singa di mana-mana jua tidak pun berada dalam keadaan mudarat sebegitu sehingga ada keperluan mendesak untuk dibela melalui usaha pelestariannya oleh UNESCO. Sehubungan, ia didapati bukan sahaja terus mekar, malah rancak diperkembang di seluruh dunia. Dengan ini, tarian singa tidak pun berada pada tahap kepupusan yang harus dipastikan kelangsungannya di muka bumi ini.
Sebenarnya usaha Malaysia dalam mahu melestarikan tarian singa ibarat lebih sudu dari kuah, iaitu pihak lain yang berlebih-lebih serta melampau-lampau daripada pihak yang patut lagi wajar. Sebagai hanya komuniti Cina di luar China, usaha etnik Cina Malaysia boleh dilihat sebagai mengada-ada, yakni menunjuk-nunjuk dan pada tempat yang salah lagi. Ini kerana hal ini tidak pun mahu dilakukan komuniti Cina lain yang tidak ingin bermegah-megah pada perkara yang bukan pun ciptaan asal mereka, melainkan warisan yang diturunkan sahaja. Di manakah maruah Malaysia dalam soal harga diri begini?
Seperkara sangat penting dalam soal Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO dan Perikatan Warisan Budaya Asia serta lain-lain seumpama ini ialah apa-apa yang mahu diangkat oleh Malaysia wajib berupa hanya entiti yang salasilahnya adalah dari tanah watan ini sahaja. Dengan ini, sebarang apa daripada etnik bukan Melayu, misalnya Cina yang berasal daripada China dengan masih kuat mengamalkan warisan budaya Cina, kekadang yang totok lagi, bukan sahaja tidak wajar mewakili Malaysia. Malah ia tidak layak pun diajukan, apatah lagi dipertimbang untuk diangkat seterusnya ke mana-mana tahap, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun rantau, apatah lagi dunia.
HANYA LAYAN ENTITI MELAYU-ISLAM
Sebagai negara Melayu-Islam, Malaysia hanya perlu melayan entiti yang betul-betul bersifat etnisiti Melayu dan ajaran Islam sebagai identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat. Walaupun dalam kerangka Melayu-Islam ini, Malaysia semenjak penubuhannya selalu bersifat akomodatif, malah sangat berakomodasi terhadap etnik bukan Melayu dalam semua perkara.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas walaupun dalam kehidupan nasional mereka. Antaranya dengan membenarkan persekolahan dalam bahasa ibunda. Apatah lagi yang domestik sifatnya, yakni sesama ahli keluarga dan dalam komuniti sendiri, iaitu antara yang seetnik untuk misalnya berbahasa etnik sepenuhnya.
Bagi etnik Cina Malaysia, tidak ada keperluan apa-apa jua untuk mereka mahu memastikan keutuhan warisan budaya Cina di negara ini. Antaranya dengan menangani sebarang perjanjian dengan China, baik untuk tempoh terdekat mahupun jangka masa panjang. Ini kerana warisan budaya Cina di Malaysia bukan sahaja sudah amat utuh, juga sama totoknya dengan yang di China dalam banyak perkara.
Sebenarnya etnik Cina Malaysia tiada apa-apa yang signifikan untuk diangkat dalam kerangka negara Melayu-Islam Malaysia. Ini kerana mereka enggan berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu seperti yang diperlukan. Sebaliknya mereka masih mahu terus melestari warisan budaya Cina sepenuhnya, termasuklah yang totok walaupun di tanah watan etnik lain. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila mereka menolak unsur Melayu-Islam dalam sistem nasional di Malaysia. Antaranya ialah pada isu derma sekolah dari syarikat minuman keras.
Biarlah China sendiri yang mengangkat tarian singa mereka. Begitu juga dengan tarian naga yang mahu ikut diusulkan etnik Cina Malaysia. Sepatutnya China menolak pelawaan Malaysia untuk bergabung dalam hal pencalonan ke UNESCO.
Sebagai kuasa besar, China mampu melakukannya sendiri tanpa adanya tunggangan dari mana-mana pihak luar. Dalam hal ini, China tidak terdesak seperti etnik Cina Malaysia untuk melestarikan warisannya yang masih kuat diamalkan bukan sahaja di tanah asalnya sendiri, juga di seantero dunia.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










