Nikmat apa lagi mahu didustakan? - Utusan Malaysia

Nikmat apa lagi mahu didustakan?

aznan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA kali pertama dalam sejarah perkhidmatan awam negara berlaku kenaikan gaji hingga 42 peratus? Walaupun kenaikan sebanyak itu bukannya melibatkan semua gred, tetapi ia memberi kelegaan kepada kakitangan dalam kumpulan pelaksana yang gaji mereka ketika ini berada di bawah paras kemiskinan.

Dengan pelarasan ini iaitu sebahagian daripada Reformasi Perkhidmatan Awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, mereka yang berada di barisan hadapan mendapatkan manfaat utama.

Berdasarkan contoh yang diberikan, Pembantu Hidupan Liar Gred G11 misalnya yang kini gajinya RM1,795 akan naik kepada RM2,327 pada Januari 2026, Itu pun masih di bawah Nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia yang meningkat kepada RM2,589 berbanding RM2,208 yang dicatatkan pada 2019.

Jururawat Gred U29 yang kini gaji pokok dan elaun (tidak termasuk elaun khusus) RM2,457 naik kepada RM2,994.74. Askar prebet Gred ZA1 naik dari RM2,379 kepada RM2,857.63 mulai Januari 2026 dan konstabel polis Gred YA1 pula kenaikannya dari RM2,256 kepada RM2,726.02.

Bagi guru atau istilahnya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41(T5) gaji mereka naik dari RM3,838 kepada RM4,559.24. Berdasarkan kepada angka kenaikan ini ramai yang bergurau bahawa ramai akan memilih untuk menjadi guru selepas ini kerana gajinya lebih besar daripada seorang jurutera. Jurutera yang baru menamatkan pengajian yang berkhidmat di sektor swasta gaji permulaan ketika ini sekitar RM3,000.

Jika berdasarkan situasi ekonomi ketika ini, bukan mudah untuk kerajaan melakukan reformasi ini termasuk menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada Sistem Saraan

Perkhidmatan Awam (SSPA). Pelbagai faktor diambil kira oleh kerajaan termasuk melaksanakan pertimbangan yang teliti dan berhemah demi memastikan 1.6 juta kakitangan awam – yang merupakan pelaksana dasar kerajaan – mendapat imbuhan yang setimpal sesuai dengan perkembangan semasa.

Implikasi kewangan tambahan yang perlu ditanggung oleh kerajaan bukan sedikit. Ia melibatkan perbelanjaan baharu sebanyak RM10 bilion setahun.

Bagaimanapun dengan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini, ia sedikit sebanyak memberi ruang kepada kerajaan untuk mengatur perbelanjaan secara berhemah dan mengembalikannya kepada mereka yang lebih berhak.

Pelarasan gaji ini boleh dikatakan memberi manfaat kepada semua peringkat. Untuk kumpulan pelaksana dan umpulan Pengurusan dan Profesional pelarasan gajinya sebanyak 15 peratus dan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus untuk pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.

Bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, pelarasan gaji adalah sebanyak lapan peratus pada Fasa 1 dan tujuh peratus pada Fasa 2. Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pelarasan gaji adalah empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2. Dan penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember 2024.

Justeru, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus.

Sudah tentu setiap manfaat yang diterima mesti datang bersama dengan komitmen untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang. Ini termasuk keperluan meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam di samping mening

katkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan. Yang paling utama adalah meningkatkan daya saing negara dalam usaha mencapai sasaran berada di tangga ke-12 teratas dunia bagi Indeks Daya Saing Global dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pelarasan ini juga menuntut kakitangan kerajaan lebih komited kepada tugas mereka kepada rakyat. Selepas ini kita harapkan tidak lagi kelihatan individu-individu dengan tanda nama kerajaan masih melepak di cafe-cafe pada waktu yang tidak sepatutnya atau merayau-rayau ke pusat beli belah ketika waktu kerja.

Anwar ketika membentangkan SSPA ini menekan supaya aspek tata kelola pelaksanaan aktiviti, projek, dan program kerajaan perlu diberi penekanan. Ia tidak boleh dibuat secara main-main atau sambil lewa.

Sebab itu, tidak akan ada kenaikan pangkat bagi mana-mana Ketua Jabatan yang “tutup mata” akan kewujudan salah laku dan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam di bawah seliaannya. Tidak ada kompromi dalam hal ini.

Kakitangan awam perlu ingat, SSPA ini, bukan sekadar pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati oleh penjawat awam sehaja. Ia adalah satu sistem saraan yang berteraskan prestasi. Siapa yang cemerlang, akan dapat ganjaran, siapa gagal mempamerkan prestasi yang baik, akan dikenakan tindakan.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan layanan yang sama kepada semua terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan. Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan Ketua Jabatan tidak akan diberikan ganjaran.

“Secara prinsipnya, kita mahu hanya yang benar-benar layak sahaja diberikan ganjaran seperti yang dijanjikan.

“Selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan,” tegas Anwar.

Kini terpulang kepada 1.6 juta penerima manfaat untuk membuktikan bahawa wang RM10 bilion setahun yang digunakan untuk membalas pengorbanan mereka itu adalah berbaloi. Mereka perlu membuktikan bahawa mereka adalah penjawat awam bertaraf dunia yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira apa situasinya.

Berdasarkan kepada senarai pelarasan yang dibentangkan itu nikmat apa lagi yang mahu didustakan oleh para penjawat ini? Berbanding para pekerja di sektor swasta, manfaat yang diterima oleh mereka jauh lebih baik. Ketika rakan sejawat mereka di sektor swasta masih bergelut untuk mendapat gaji minimum dan kedudukan mereka sangat bergantung kepada prestasi syarikat, kakitangan awam kini menikmati faedah yang boleh dikatakan yang terbaik dengan tempoh lebih 60 tahun negara merdeka. Jadi, janganlah dustakan nikmat yang diterima ini.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×