TARIKH 31 Ogos ini Malaysia akan merayakan kemerdekaannya. Di samping meraikan kemerdekaan dari penjajahan, kita juga perlu menilai kembali kekuatan dan cabaran yang dihadapi oleh ummah di era moden ini.
Kebangkitan Islam dalam konteks Malaysia memerlukan pemimpin yang bijaksana dan boleh melaksanakan kerja dengan penuh bertanggungjawab di samping sokongan dari pelbagai golongan dalam masyarakat.
Berikut adalah lapan golongan penting yang menjadi pendukung ummah, masing-masing memainkan peranan yang kritikal dalam usaha memartabatkan Islam di negara tercinta ini.
Kebijaksanaan Para Pemimpin
Sesebuah ummah ditunjangi oleh para pemimpin yang bijaksana. Dalam Islam, kebijaksanaan bukan hanya terletak pada kecerdikan dan kepandaian, tetapi juga pada ketaqwaan kepada Allah.
Pemimpin yang bijaksana adalah mereka yang pandai menyelesaikan masalah dan mengusahakan sesuatu yang baharu, berhujah dengan menyelidik terlebih dahulu kesahihannya, jujur, amanah, berilmu, berkomunikasi dengan baik, jelas dan berhikmah dan pada masa yang sama mendapat petunjuk daripada Allah.
Firman Allah: “Bertaqwalah kamu kepada Allah maka Allah akan mengajar kamu” (Al-Baqarah: 282).
Pemimpin yang bertaqwa akan dipimpin oleh Allah, menjadikan mereka sukar diramal oleh musuh-musuh Islam dan mampu membawa umat menuju kejayaan.
Rasulullah bersabda: “Takutlah kamu akan firasat orang-orang yang beriman kerana sesungguhnya dia melihat dengan cahaya (pimpinan) Allah.” (Hadis Riwayat Tirmizi).
Namun, kebijaksanaan dalam Islam berbeza dengan kebijaksanaan di Barat, di mana mereka memisahkan agama dari pendidikan dan kehidupan. Pemimpin yang bijaksana dalam konteks Islam harus memimpin dengan integriti, bertindak adil, dan berpegang teguh kepada nilai-nilai agama.
Ilmu Para Ulama
Ummah didokong oleh keilmuan para ulama yang sentiasa menasihati dan menyampaikan ajaran agama. Ulama bukan sahaja pakar dalam ilmu agama, tetapi juga dalam pelbagai disiplin ilmu lain seperti sains, perubatan, dan matematik, seperti yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina dan al-Khawarizmi.
Golongan ulama memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat, memberikan panduan kepada pemimpin, dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat. Mereka adalah pemikir yang sentiasa mengkaji, meneliti, dan mencari solusi berasaskan ilmu yang mendalam.
Peluh Para Amilin (Pekerja)
Amilin atau pekerja adalah tulang belakang yang menggerakkan fardhu kifayah dan pelbagai bidang kehidupan dalam Islam. Mereka adalah golongan yang bekerja keras dalam membangunkan tamadun Islam dan memastikan tiada bidang yang terbiar.
Golongan amilin ini sentiasa bekerjasama, berusaha tanpa jemu, dan bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat mereka. Usaha mereka yang tanpa henti ini membantu membina tamadun Islam yang tinggi dan dihormati.
Darah Para Syuhada
Para syuhada atau mujahid yang mempertahankan Islam dengan berani adalah benteng kukuh dalam ummah. Golongan ini adalah mereka yang bersedia mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan agama dari serangan musuh.
Pengorbanan para syuhada memastikan Islam tetap dihormati dan tidak dipandang rendah oleh musuh-musuhnya. Mereka adalah perisai yang melindungi umat dari ancaman dan cabaran yang ingin menghancurkan Islam.
Doa Para Solihin
Golongan solihin adalah golongan yang mungkin tidak nampak peranannya secara jelas, namun sumbangan mereka amat besar. Doa mereka adalah senjata yang kuat dalam membangunkan ummah.
Golongan ini terdiri daripada tuan guru, ahli tarekat, dan ahli sufi yang mempunyai hubungan rapat dengan Allah. Doa mereka memberikan kekuatan spiritual yang diperlukan dalam menghadapi cabaran dan mencapai kejayaan.
Kehebatan Para Pendakwah
Para pendakwah adalah golongan yang sentiasa berada di tengah masyarakat untuk mendidik dan menyebarkan ajaran Islam. Mereka adalah pahlawan yang membawa mesej Islam ke seluruh pelosok dunia, termasuklah dalam mengislamkan nusantara.
Kehebatan para pendakwah terletak pada keberanian dan kebijaksanaan mereka dalam menyebarkan ajaran Islam serta mengembangkan pengaruhnya. Usaha mereka memastikan Islam sentiasa mempunyai pelapis dan tidak putus generasi yang memperjuangkan agama.
Harta Para Dermawan
Para dermawan memainkan peranan penting dalam memajukan ummah melalui zakat, infaq dan sedekah. Harta mereka digunakan untuk membangunkan masjid, madrasah dan memenuhi Baitul Mal untuk membela umat Islam.
Mereka adalah nadi penggerak masyarakat yang mengorbankan harta untuk kepentingan agama. Sumbangan mereka membolehkan aktiviti dakwah dan pembangunan Islam dapat diteruskan.
Rahim Wanita Solehah
Wanita solehah mempunyai peranan yang amat penting dalam membangunkan ummah. Dari rahim mereka, lahir generasi hebat yang akan meneruskan perjuangan Islam.
Wanita solehah mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam yang kuat, membentuk mereka menjadi pemimpin masa depan yang bertaqwa. Pepatah “tangan yang menghayun buaian akan dapat menggoncang dunia” menggambarkan betapa besarnya pengaruh wanita dalam masyarakat.
Dalam suasana meraikan kemerdekaan Malaysia, adalah penting untuk kita mengingatkan diri kita tentang peranan kritikal golongan-golongan ini dalam membangunkan ummah dan tanah air yang tercinta.
Apabila semua golongan ini dapat bersatu, ummah dan tanah air ini akan menjadi kuat dan mampu menghadapi cabaran zaman moden ini. Sebaliknya, jika salah satu golongan ini longgar, tidak berilmu dan tidak kompeten, maka akan goyahlah kekuatan ummah dan sekali gus negara ini.
Oleh itu, usaha untuk membentuk dan menyatukan golongan-golongan ini perlu dibuat secara terancang dan bersungguh-sungguh. Jika semua golongan ini dapat memainkan peranan masing-masing dengan efektif, maka kebangkitan Islam yang sebenar dapat direalisasikan, seiring dengan semangat kemerdekaan yang kita raikan. – UTUSAN
NURULAINI Zamhury adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Kampus Sungai Petani, Kedah.










