Cegah budaya fanatisme sebelum toreh imej sukan negara

Cegah budaya fanatisme sebelum toreh imej sukan negara

INSIDEN yang menimpa pemain bola sepak kebangsaan perlu dipandang serius kerana melibatkan anggota badan selain menggugat keharmonian dalam sukan tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA dikejutkan dengan serangan terhadap Faisal Halim iaitu pemain bola sepak kebangsaan yang disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Damansara. Sebelum insiden ini, dilaporkan seorang lagi pemain bola sepak, Akhyar Rashid cedera selepas menjadi mangsa samun di Terengganu.

Selang beberapa hari selepas serangan Faisal, cermin kereta Syafiq Rahim pula dipecahkan individu yang tidak dikenali di Johor Bahru.

Tiga kes berturut-turut pada Mei lalu tidak hanya mendapat liputan dalam negara tetapi juga sebahagian media antarabangsa.

Motif jenayah ini tidak diketahui dan sama ada ia saling berkait atau kebetulan.Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kejadian ini melibatkan modus operandi yang sama iaitu dua orang akan mengikuti mangsa sebelum serangan dilakukan. Oleh yang demikian, sukar untuk masyarakat mentakwilkan sama ada kejadian ini disebabkan perasaan fanatik yang menebal dalam pasukan bola sepak sehinggakan sanggup mencederakan pemain ataupun hanya satu kejadian jenayah yang kebetulan berlaku.

Menjadi tanggungjawab PDRM untuk merungkai insiden ini. Lebih-lebih lagi serangan terhadap Faisal melibatkan kecederaan anggota badan yang teruk dan serius.

Kita mungkin dengar peristiwa fanatisme yang membawa kepada serangan pasukan atau penyokong pasukan lawan. Baik permainan kelab ataupun negara di arena antarabangsa. Malah di Eropah terdapat fenomena hooliganism dalam kalangan penyokong hingga selalu membuat kecoh dan bergaduh. Namun insiden yang menimpa pemain-pemain ini adalah berbeza.

Kejadian serangan terhadap pemain bola sepak yang serius pernah berlaku melibatkan, Cody Fisher pada 2022. Ketika insiden tersebut, Cody yang berumur 23 tahun diserang menggunakan senjata yang diseludup masuk dalam kelab malam di Birmigham. Mahkamah mendapati serangan yang berlaku adalah satu rancangan tersusun yang disebabkan satu kejadian pada dua malam terdahulu.

Cody akhirnya ditikam di dada dan kaki.

Dalam kes ini, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara minimum 26 tahun terhadap Remy Gordon dan selama minimum 25 tahun terhadap Kami Carpenter yang didapati bersalah membunuh Cody. Selain itu pihak polis menutup kelab malam, The Crane iaitu tempat pembunuhan kerana dikatakan berisiko tinggi kepada masyarakat ekoran penyalahgunaan dadah serta kawalan keselamatan yang lemah selepas kejadian itu. Jenayah yang menimpa Cody dikatakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan oleh mana-mana pihak ketika itu.

Insiden yang menyerang atlet juga dilaporkan terjadi kepada atlet-atlet di luar negara. Misalnya seorang pemain bola keranjang NBS iaitu Paul Pierce pernah ditikam berkali-kali pada 2000 di sebuah kelab di Boston.

Pada 2015 pula, atlet Steedman Bailey ditembak dua kali di kepala namun mujur terselamat daripada maut.

Kejadian-kejadian serangan melibatkan atlet tempatan cukup asing di negara ini sehinggalah insiden yang berlaku kepada tiga pemain bola sepak kebangsaan itu.

Walau bagaimanapun, masyarakat tidak boleh berspekulasi dan perlu menyerahkan kepada PDRM untuk membuat siasatan di bawah peruntukan perundangan seperti Kanun Keseksaan (Akta 574). Ini adalah untuk mengetahui punca, pelaku dan dalang di sebalik serangan ini.

Hakikatnya perbuatan yang mengakibatkan kecederaan pada anggota badan adalah jenayah atau kesalahan yang serius.

Misalnya bagi kesalahan-kesalahan seperti dengan sengaja melibatkan cedera dan cedera parah, melalui Seksyen 321 dan 322 Akta 574 mengakibatkan seseorang itu boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Akta 574. Bagi kecederaan parah pula boleh dihukum di bawah Seksyen 325 Akta 574.

Seterusnya bagi kesalahan yang menyebabkan cedera menggunakan senjata boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Akta 574. Manakala bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Akta 574.

Hukuman bagi mendatangkan kecederaan atau kecederaan parah pada tubuh badan amat berat kerana boleh dipenjara, denda ataupun sebat.

KEADILAN
Kendatipun, punca sebenar yang menimpa mangsa perlu diketahui untuk tujuan pemantauan. Sama ada ia mempunyai elemen gangsterisme dan terancang ataupun hanyalah kejadian jenayah yang rambang yang kebetulannya mangsa adalah pemain bola sepak kebangsaan.

Sekiranya ia mempunyai elemen gangsterisme dan jenayah terancang yang melibatkan komuniti bola sepak, maka seluruh penyokong bola sepak perlu menolak secara total perilaku ini.

Tuntasnya, siapapun mangsa dalam kes yang melibatkan kecederaan ia adalah wajar mendapat pengadilan yang sewajarnya. Pelaku perlu diheret ke mahkamah untuk menjawab pertuduhan dan memberikan keadilan kepada mangsa.

Kes yang menimpa pemain bola sepak ini masih lagi kejadian yang terpencil namun ia perlu dicegah sebelum menjadi barah menoreh imej sukan negara.-UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×