KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Julai lalu bahawa umat Islam perlu terbuka untuk berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam bagi memastikan kedua-dua pihak dapat memahami dan menerima antara satu sama lain memang tepat.
Sebabnya, dalam kehidupan tanpa sempadan ini, umat Islam tidak boleh jadi seperti katak di bawah tempurung. Sebaliknya, kita sentiasa berinteraksi dan tidak boleh mengetepikan penglibatan bangsa dan agama lain dalam membincangkan apa juga perkara.
Begitulah juga sifatnya dakwah Nabi Muhammad SAW yang dilakukan di bumi Mekah. Islam yang pada awalnya disebarkan secara sembunyi-sembunyi, kemudiannya disebarkan secara terbuka kepada semua penduduk Mekah termasuk orang kafir Quraisy.
Dakwah Nabi SAW juga menempuh ranjau dan duri termasuk ancaman bunuh. Allah SWT merakamkan mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh Nabi SAW dan sahabatnya yang setia iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq semasa berlindung di dalam gua. (rujuk ayat 40 surah at-Taubah).
Begitu juga dakwah baginda ke Taif. Kedatangan Nabi SAW yang menempuh perjalanan sejauh kira-kira 100 km dengan berjalan kaki dari Mekah tidak disambut dengan baik. Bahkan Rasulullah SAW menerima ejekan, dibaling batu dan diusir.
Namun, Nabi Muhammad SAW tetap dengan ketenangan. Ketika berlindung di sebuah kebun kurma, baginda solat lalu berdoa kepada Allah SWT memohon pertolongan. Malaikat Jibril yang menyaksikan kejadian itu berkata: “Allah mengetahui apa yang terjadi padamu dan orang-orang ini. Allah telah memerintahkan malaikat-malaikat di gunung-gunung untuk mentaati perintahmu”.
Atas kezaliman yang dilakukan oleh penduduk Taif ke atas baginda, para malaikat menawarkan kepada Nabi SAW untuk menterbalikkan Gunung Akhsyabin dan menghempap mereka.
Namun, Nabi SAW melarang sambil berkata: “Walaupun mereka menolak ajaran Islam, aku berharap dengan kehendak Allah, keturunan mereka pada suatu masa nanti akan menyembah Allah dan beribadah kepada-Nya”. Nabi bahkan berdoa yang maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui”.
Demikianlah kehebatan insan kekasih Allah yang lahirnya ke atas muka bumi ini memberi rahmat ke atas sekalian alam.
Oleh itu, umat Islam kini mesti terbuka untuk berinteraksi dan berbincang dengan penganut lain-lain agama lebih-lebih lagi di negara kita Malaysia. Namun dalam kebanyakan masa dan ketika, kita berjaya mengekalkan keharmonian.
Pun begitu, perbincangan mengenai agama, budaya dan tamadun lain adalah perlu bagi membentuk persefahaman. Bagaimana mahu bertahan dan hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama serta pada masa sama mengelakkan berbincang dengan agama, budaya dan tamadun lain. Kemudian menuntut Barat untuk memahami kita.
Bagi mengatasi hal ini, umat Islam perlu menunjukkan akhlak sebenar sebagai Mukmin. Akhlak dan sahsiah sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi SAW mesti dijadikan amalan seharian kita. Orang muslim dan mukmin mesti berusaha mencontohi baginda yang mempunyai sifat-sifat siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fathanah (bijaksana).
Malulah kita sebagai orang Islam tetapi terpalit dengan pelbagai isu dan masalah. Teringat kepada kata-kata Syeikh Mohamad Abduh selepas dibawa bersiar-siar sekitar Eropah: “Aku melihat Islam (di Eropah) tetapi tidak melihat muslim, dan aku melihat muslim di (Mesir/negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam”.
Bagi mengatasi Islamofobia, selain berinteraksi dan berkongsi tentang Islam kepada bukan Islam, kita mesti mengamalkan dakwah bil hal. Iaitu boleh difahami sebagai dakwah melalui contoh teladan dan akhlak yang baik.
Pada hakikatnya dakwah bil hal adalah pelaksanaan dakwah bil qudwah (keteladanan) dan dakwah bil amal (perbuatan).
Dengan kata lain, dakwah bil hal adalah dakwah melalui penampilan kualiti peribadi dan aktiviti-aktiviti yang secara langsung menyentuh keperluan masyarakat.
Malangnya, umat Islam lebih dikenali dengan konotasi golongan yang tidak menepati masa. Sebab itu, apabila berjanji ada istilah masyhur disebut sebagai ‘janji Melayu’. Kalau janji temunya pukul 10 pagi, majoriti orang Islam datang 10.30 pagi atau lewat lagi.
Walhal, kita sudah diingatkan tentang kepentingan menjaga masa melalui surah al-Asr. Lihat pula masyarakat Jepun yang bukan Islam. Disiplin masyarakatnya berpegang kepada ungkapan masa itu emas. Setiap aktiviti dan masa dilalui penting dalam kehidupan mereka. Lewat bermakna ketinggalan.
Di Jepun, mereka akan menunggu 20 minit lebih awal jika ada mesyuarat atau majlis suai kenal. Di negara matahari terbit itu juga sudah kebiasaan penduduknya berkejar masa pada setiap pagi untuk menaiki kereta api laju ke tempat kerja.
DAKWAH BIL HAL
Dalam mendepani situasi Islamofobia ke atas umat Islam di United Kingdom (UK) kini, tiada jalan lain selain mengamalkan dakwah bil hal. Kini hampir 4 juta umat Islam di sana berada dalam ketakutan. Ia ekoran rusuhan besar-besar yang didalangi kumpulan haluan kanan dan anti Islam yang mengambil tindakan menyerang masjid dan pusat komuniti Islam di negara itu.
Rusuhan yang bermula sejak minggu lalu bertukar ganas apabila perusuh mengambil tindakan menyerang sebuah masjid di Southport, Liverpool dan menyerang anggota polis.
Al Jazeera melaporkan insiden itu berlaku beberapa jam selepas bandar tersebut mengadakan upacara memperingati mangsa bunuh dan cedera dalam serangan pisau di sebuah kelas tarian dan yoga kanak-kanak yang kononnya dilakukan oleh remaja berusia 17 tahun.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer menuduh syarikat media sosial menyemarakkan protes, yang didorong oleh dakwaan palsu yang tersebar dalam talian, berhubung suspek pembunuhan tiga kanak-kanak di Southport adalah seorang pencari suaka.
Yang kedua, orang mukmin pasti tidak akan terlibat dalam maksiat. Sebabnya, mereka yakin bahawa segala perbuatan baik dilakukan secara terang-terangan atau sembunyi, pasti dilihat dan diketahui oleh Allah.
Oleh itu, tidak timbul bab makan rasuah atau menganiaya orang lain dalam hidup bermasyarakat. Waima jika yang memberi rasuah itu orang bukan Islam, orang mukmin pasti tidak akan terliur menerimanya kerana teringatkan larangan keras Nabi SAW terhadap pemberi dan penerima rasuah yang tempatnya adalah neraka.
Demikian juga, tidak timbul soal mengular semasa kerja. Sebabnya, setiap saat masa bekerja kita sudah dibayar oleh majikan. Untuk itu, sebagai pekerja kita mesti menunaikan amanah. Jika masa bekerja dan dibayar upah itu adalah lapan jam sehari maka wajib bagi pekerja mematuhinya.
Justeru, jika ada hari dan ketika yang kita datang lewat atau terlebih masa keluar makan tengah hari, hendaklah diganti dengan masa yang sebanding. Antaranya, mungkin kita balik lewat daripada rakan yang lain agar kita melengkapkan tempoh bayaran upah sebagai pekerja.
Dengan akhlak dan sahsiah mukmin, insya-Allah Islamofobia akan pecah.-UTUSAN
MOHD.Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










