Matrikulasi nikmat yang sebenar-benarnya buat pelajar

Matrikulasi nikmat yang sebenar-benarnya buat pelajar

ANWAR Ibrahim ketika Program Temu Anwar Bicara Pendidikan Madani di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas, Pulau Pinang, pada Ogos tahun lalu. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan program matrikulasi mengejutkan pelbagai pihak. Dalam ucapan beliau di Putrajaya tempoh hari menyatakan mana-mana anak bangsa yang berjaya memperoleh 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberikan jaminan tempat ke program matrikulasi tanpa mengira kaum ataupun wilayah.

Pengumuman ini dibuat, ekoran keluhan daripada anak-anak bangsa bukan bumiputera yang gagal memasuki kolej matrikulasi, sedangkan saban tahun, ramai anak dari golongan ini berjaya meraih keputusan cemerlang terpaksa bersaing untuk tempat yang terhad.

Pengumuman ini merupakan satu berita yang amat menggembirakan. Ramai anak-anak kita bertungkus-lumus selama dua tahun, semata-mata mahu memasuki kolej matrikulasi. Kolej matrikulasi menjadi batu loncatan bagi mereka ke menara gading. Bagi pelajar ini, jaminan Perdana Menteri tersebut merupakan nikmat yang sebenar-benarnya.

Bak peribahasa Melayu, ‘Jika kerbau dipegang pada talinya, jika manusia dipegang pada janjinya’. Itulah kata-kata tepat yang menggambarkan tindakan Anwar. Beliau memegang kepada kata-kata beliau yang sering dilaung-laungkan, “Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Kadazan anak saya, anak Iban anak saya.”

Ramai pihak menganggap tindakan beliau ini cukup berani. Tidak pernah ada pemimpin negara yang mengambil keputusan drastik sebegini. Lebih-lebih lagi ia melibatkan satu keputusan yang cukup besar. Malahan pelaksanaannya yang serta merta, iaitu pada tahun ini juga membuatkan ramai berasa kaget.

Kita juga perlu tahu bahawa keputusan ini bukanlah diambil oleh beliau sendiri. Sebaliknya, adalah satu persetujuan secara kolektif. Jemaah menteri yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik bersetuju dan berpakat demi kepentingan bersama.

Senario ini membawa kita balik ke zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu rancangan ke arah kemerdekaan dimulakan. Ketika itu, semua pemimpin pelbagai kaum bersatu hati untuk satu matlamat, yang akhirnya berjaya dicapai.

Tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri ini jelas berdasarkan prinsip keadilan dan kesaksamaan sosial. Ia sangat bertepatan dengan prinsip yang didukung kerajaan madani. Semua anak bangsa adalah anak Malaysia. Melalui enam ‘tiang seri’, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Diharap sebuah masyarakat ideal dengan nilai-nilai sejagat seperti progresif, berakhlak mulia, bertanggungjawab, bertoleransi, ikhlas dan jati diri yang tinggi dapat dilahirkan. Langkah beliau sudah semestinya akan mengorak langkah ke arah melahirkan warganegara yang cukup cemerlang, seiring dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan ini juga tepat pada masanya kerana pada hari ini, kita memerlukan reformasi dalam pendidikan dengan memberikan layanan yang adil kepada semua anak bangsa Malaysia. Kita tidak mahu berlaku fenomena brain drain atau hijrah cendekiawan dalam kalangan generasi muda kita, yang melihat negara-negara luar sebagai prospek pendidikan lanjutan. Ini hanya membawa kesan negatif kepada pembangunan negara di kemudian hari.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa kuota anak-anak bumiputera ke kolej matrikulasi tidak akan sekali-kali tergugat.

PERLEMBAGAAN
Beliau menekankan akan hal ini kerana tidak mahu mana-mana pihak menggunakan isu ini untuk menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat. Sememangnya sudah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Dalam Perkara 153 (2) dan Perkara 153 (3) dinyatakan tentang perizaban kuota, terutamanya dalam biasiswa pendidikan. Apabila ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia iaitu undang-undang tertinggi negara kita, maka itulah yang didukung. Jadi, soal anak-anak bumiputera akan terpinggir tidaklah menjadi isu di sini. Pihak kerajaan tetap menjaga kepentingan semua kaum, baik bumiputera mahupun bukan bumiputera.

Malah sebelum ini juga, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggunakan klausa Perlembagaan Persekutuan semasa melaksanakan penambahan bilangan pelajar dalam program matrikulasi awam.

Pada tahun 2019, kerajaan PH menambah jumlah pelajar daripada 25,000 kepada 40,000, dengan kuota 90 peratus pelajar bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera.

Untuk memastikan hasrat kerajaan madani dilaksanakan dengan telus dan berhemah, agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi perlu peka dan memainkan penting terutama dalam perancangan dan pelaksanaan kemasukan pelajar ke program matrikulasi dengan lebih baik.

Jaminan yang diberikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir terhadap perkara berkaitan pelajar cemerlang selepas pengumuman Perdana Menteri turut memperlihatkan kerajaan cakna ke arah kemenjadian anak-anak bangsa.

Sebagai kesimpulannya, pendidikan adalah asas kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pendidikan yang sempurna akan melahirkan masyarakat Malaysia berilmu dan berdaya saing.-UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ipoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN