‘Falsafah’ kerajaan rosakkan pembangkang - Utusan Malaysia

‘Falsafah’ kerajaan rosakkan pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

NAMA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi tumpuan minggu ini berhubung kedudukan enam ahli Parlimen parti tersebut yang telah diputuskan.

Selain itu, isu wang deposit untuk pemimpin dan ahli Bersatu yang ingin menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Oktober nanti turut menyebabkan parti berkenaan sekali lagi menjadi perhatian. Perkara ini sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan berhubung hal-hal yang terkait parti berkenaan.

Justeru wartawan Mingguan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan ASLINDA NASIR menemu ramah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, DATUK WAN SAIFUL WAN JAN bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu Jurufoto SYAKIR RADIN.

MINGGUAN Malaysia: Bagaimana dengan persediaan menghadapi pemilihan Bersatu Oktober nanti?
WAN SAIFUL: Setakat ini beberapa persediaan telah kita lakukan antaranya menerusi penganjuran konvensyen Bersatu semalam (Sabtu) dengan menghimpunkan pemimpin parti di semua peringkat dari pusat, negeri dan bahagian. Dalam konvensyen itu, kita beri maklumat peraturan persidangan cawangan dan bahagian dan kita juga melancarkan satu dokumen idealisme Bersatu

Dalam dokumen berkenaan, kita menggariskan prinsip penting yang menjadi panduan kepada perjuangan Bersatu untuk mempersiapkan diri dalam pemilihan. Ada dua benda kita buat. Pertama organisasi dan tatacara perjalanan persidangan.

Di samping itu, daripada segi fikrah pemikiran dan perjuangan yang perlu ada pada pemimpin pun telah kita persiapkan. Kita dokumenkan ideologi yang dipegang pemimpin Bersatu.

Terdapatnya cadangan mengenakan deposit antara RM100,000 sehingga RM500,000 bagi yang mahu bertanding dalam pemilihan parti nanti. Komen Datuk?

Itu cadangan yang dibawa dalam mesyuarat MPT dan kita minta Jawatankuasa Pengurusan Bersatu memperhalusinya. Sebenarnya, isu deposit ini ditimbulkan bagi memastikan kita ada calon serius untuk bertanding dan pada masa sama calon yang mahu tawarkan diri, perlu berkebolehan bantu parti.

Pada saya deposit itu satu perkara biasa dan masih di peringkat cadangan. Lagipun ia diibaratkan yuran penyertaan. Untuk jumlah pula, ada dicadangkan. Tetapi biarlah nanti ia diputuskan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan.

Namun, saya tidak pasti bila akan ada ketetapan. Apa pun, ia hanya akan diputuskan sebelum hari penamaan pendaftaraan calon. Duit itu kemudian akan diberi untuk perbelanjaan parti.

Adakah kemasukan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar boleh mendatangkan kesan kepada perpaduan parti terutama di Selangor?

Saya rasa benda ini tidak timbul. Sebaliknya, kemasukan Noh ke dalam parti mengukuhkan lagi Bersatu. Tambahan pula, Bersatu tidak bercakap mengenai individu. Kalau bercakap mengenai individu, ia akan jadi payah. Ini disebabkan banyak negeri kita ada lebih seorang tokoh besar.

Contohnya, di Johor. Keberadaan Presiden Bersatu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lemahkan parti di sana yang kini dipimpin Datuk Dr. Sahruddin Jamal. Adanya tokoh besar memperkukuhkan negeri sebagaimana Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Perak.

Jadi, apabila ada Noh dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) Selangor, ia akan memperkukuhkan lagi parti. Hubungan mereka pun tiada masalah. Saya sebagai Ketua Bahagian Bersatu di Bangi pun tiada rasa tergugat. Malah ia berita baik membantu kita.

Mohamed Azmin nama besar dalam PKR satu ketika dahulu tapi tidak mampu tarik mana-mana bekas pemimpin PKR ke dalam Bersatu. Komen Datuk?

Beliau ada kekuatan sendiri dan pengaruh sehingga kita berjaya memimpin kerajaan. Sekarang beliau memberi fokus agar kita lebih kuat di Selangor pula. Muka baharu ramai dan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti lain masuk dan duduk di bawah Mohamed Azmin.

Jadi, saya rasa beliau mainkan peranan baik dan semasa sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pun ramai tertarik untuk lihat perkembangan disebabkan kualiti perbahasan kita berbeza. Beliau berjaya lonjak prestasi di Selangor.

Adakah kedudukan jawatan nombor dua dalam Bersatu perlu diganti dengan orang lain sebagai langkah pengukuhan?

Hal ini kita perlu serahkan kepada kebijaksanaan ahli Bersatu untuk membuat pilihan. Sudah tentu kita di peringkat pimpinan ada pandangan masing-masing. Tetapi keputusan di akhir nanti adalah terletak pada ahli. Sebab itu, adanya proses pemilihan yang akan berlaku.

Pemilihan juga adalah proses demokrasi yang memerlukan perbincangan. Kita nak namakan calon sama ada individu A, B dan C. Maka sudah tentu ada pertimbangan dan proses yang dilalui baik untuk jawatan nombor dua, nombor tiga dan nombor empat atau mana-mana jawatan termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK), Ketua Bahagian dan sayap-sayap.

Ahli Bersatu perlu buat keputusan terbaik untuk parti. Untuk di peringkat pusat, kita sudah cuba mempersiapkan ahli kita sebaik mungkin bermula dengan penganjuran konvensyen semalam.
Saya yang juga sebagai Pengerusi Biro Latihan dan Pengkaderan Bersatu jadi saya kendalikan konvensyen tersebut.

Saya sudah beritahu dan maklumkan peraturan serta idealisme parti. Sekarang ahli-ahli buat buat keputusan terbaik untuk bawa Bersatu ke hadapan. Sekarang ini pun ramai menjangkakan Hamzah sebagai Timbalan Presiden parti. Pada saya ia bukan sesuatu yang pelik dengan cadangan itu. Begitu juga kalau ada cadangan agar Ahmad Faizal pertahankan jawatannya (Timbalan Presiden) sekarang.

Sebabnya, kedua-duanya berperanan dengan baik memimpin Bersatu. Mungkin bagi Ahmad Faizal, dalam keterbatasan beliau yang bukan sebagai ahli Parlimen dan kurang liputan padanya, maka kurang tumpuan pada kerja-kerja yang dibuat beliau.

Adakah Datuk melihat gandingan Muhyiddin dan Hamzah lebih ideal antara Presiden dan Timbalan bagi Pilihan Raya Umum Ke-16?

Gandingan itu juga perlu diputuskan oleh ahli. Saya nampak gandingan yang cantik daripada segi susunan sekarang.

Kalau peringkat Parlimen, Muhyiddin dan Hamzah kedua-duanya berfungsi baik. Begitu juga gandingan Muhyiddin dengan Ahmad Faizal turut berfungsi dalam hal-hal dalaman parti atau mungkin dengan negeri-negeri lain yang tiada apa-apa masalah.

Adakah kedudukan Ahmad Faizal yang bukan Ahli Parlimen menyebabkan beliau agak ‘terbelakang’ ?

Tidak adil kalau buat perbandingan ‘terbelakang’. Yang saya maksudkan daripada segi liputan dan tumpuan kepada pelaksanaan tugas serta tanggungjawab yang dilaksanakannya olehnya tidak sama. Sebab kita bercakap dalam Parlimen berbeza dengan kita bercakap dalam Majlis Mesyuarat Pimpinan Tertinggi.

Sebenarnya yang penting ahli parti nampak prestasi kerja Ahmad Faizal dan Hamzah. Sekarang ini pun kedua-dua pun belum buat pengumuman siapa mahu pertahankan atau nak tawarkan diri ke jawatan mana. Pada saya agak pramatang untuk membahaskan perkara ini.

Bersatu dilihat tidak mainkan fungsi pembangkang dan tidak agresif. Komen?

Kita kena terima hakikat kita parti baharu dan masih banyak perlu diperbaiki. Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai Pengerusi Biro Latihan dan Pengkaderan dalam memastikan parti kita berkualiti terutama dalam aspek Ahli Parlimen. Mereka perlu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin ketika dalam persidangan Dewan Rakyat sekarang. Ini kerana Dewan Rakyat boleh diibaratkan sebagai bukan satu ‘padang yang rata’ pada masa kini.

Zaman ketika Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Speaker, kerajaan sudah mendominasi dan buat ikut suka hati mereka. Zaman itu datang balik sekarang dan keadaan menjadi lebih buruk.

Kita boleh lihat Tan Sri Johari Abdul sebagai Speaker mengetepikan Perlembagaan Persekutuan, tafsir sesuka hati. Ini kerana motto yang digunakan beliau adalah ‘itu zaman dia sekarang zaman saya’.

Pada fikiran saya falsafah bahawa kerajaan ‘aku ikut suka hati aku’ akan merosakkan institusi dan mangsanya ialah pembangkang. Kita tidak dapat ruang dan liputan serta kita tidak dapat akses yang banyak termasuk maklumat mencukupi untuk berfungsi dengan lebih baik sebagai pembangkang. Saya terima hakikat banyak penambah baikkan yang perlu dibuat daripada dua sudut.

Satu peranan ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat dan satu lagi peranan ahli Parlimen dalam parti yang menang disebabkan ahli serta jawatankuasa semasa mereka jadi calon. Jadi, dua aspek ini antara benda yang perlu diperkukuh dalam kalangan ahli Parlimen Bersatu sendiri. – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN