Bantu pelajar keputusan 6A, 7A masuk universiti

Bantu pelajar keputusan 6A, 7A masuk universiti

C. SIVARRAAJH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ISU pendidikan kembali menjadi tumpuan selepas kerajaan membuka program matrikulasi kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A bagi mengurangkan ketegangan dalam sistem pendidikan negara.

Namun, timbul persoalan apabila tidak ramai dalam kalangan pelajar India yang mengambil 10 mata pelajaran dalam peperiksaan utama itu, rata-ratanya dalam tujuh atau lapan subjek sahaja. Adakah ini bermakna pelajar cemerlang dari kaum ini tidak layak mendapat tempat di matrikulasi?

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan OMAR ZIN serta dibantu jurufoto AFIQ RAZALI menemuramah bekas Naib Ketua Pemuda MIC, DATUK C. SIVARRAAJH bagi mengupas isu pendidikan dalam kalangan pelajar India.
Dalam masa sama, isu kekuatan serta kebolehan MIC dalam arena politik turut dibincangkan.

 

MATRIKULASI DAN PELAJAR INDIA
SAYA lihat pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal berkaitan matrikulasi ini begitu baik. Namun ada beberapa perlu yang perlu disentuh apabila bercakap soal matrikulasi terutama kepada kaum India.

Sebagai contoh kalau ada ketetapan syarat 10A . Perlu diingat, pelajar India ada lebih kurang 200 ke 300 orang yang mendapat semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Yang lainnya 8A atau 7A. Ini kerana mereka yang dapat 10A datang daripada mereka yang mengambil jurusan Bahasa Tamil atau Kesusasteraan Tamil.

Saya bimbang pengumuman Anwar dijadikan polisi untuk pengambilan nanti. Katakan ada pelajar ambil lapan subjek dan mendapat semua A, kecuali Pendidikan Moral. Adakah pelajar itu bukan pelajar cemerlang? Kita tidak boleh underestimate (pandang rendah) dia.

Pengumuman ini ada kesan untuk kuota 10 peratus bukan bumiputera. Maknanya kita perlu bersaing dengan orang Cina.

Daripada statistik pelajar Cina yang dapat 10A secara purata ialah 3,600 setahun. Tempat matrikulasi katakanlah maksimum 40,000. Jadi 4,000 untuk bukan bumiputera. Kalau 3,600 tempat diberi (untuk pelajar Cina) tanpa penilaian sebab dapat 10A, maka yang tinggal hanyalah 400 sahaja (untuk pelajar India dan lain-lain bangsa). Macam mana mahu bahagi kuota itu nanti?

Pada saya, 10A cemerlang dan mempunyai banyak peluang. Yang harus kita bantu ialah mereka yang dapat 6A atau 7A supaya boleh dapat lanjutkan ke universiti.

LAHIRKAN SEBERAPA RAMAI GRADUAN
Kita ada banyak jalan untuk berjaya dalam pendidikan. Masyarakat India contohnya boleh pilih sama ada mahu ke matrikulasi atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Saya ada statistik untuk jurusan perubatan dari STPM seluruh Malaysia hanya berjumlah 13 orang sahaja pelajar India. Jadi kebanyakan yang masuk adalah daripada asasi dan matrikulasi. Jadi adakah kita mahu pelajar ambil STPM? Bidang pergigian pula purata seorang sahaja untuk tiga tahun. Jadi, macam mana kita mahu galakkan?

Jadi itu masalahnya, jangan ingat semua senang. Bukan semestinya dia (perlu) dapat (bidang) perubatan tetapi setidak-tidaknya dia boleh bergraduasi dan itu yang perlu kita perjuangkan. Paling penting kita melahirkan seberapa banyak para graduan sebab pendidikan ini yang boleh keluarkan kita daripada kemiskinan.

MIC PADA MASA SEKARANG
MIC berpotensi untuk meraih sokongan India dan masih relevan. Kalau dahulu, masyarakat India majoritinya memberi sokongan kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0. Kemudian mereka ingat ada perubahan tetapi sebaliknya tiada (perubahan).

Selepas PH 1.0, masyarakat India kurang gembira. Kalau MIC gunakan ia sebagai peluang, saya percaya kita boleh dapatkan sokongan semula. Bagaimanapun MIC perlu bersuara dan menjadi lebih lantang.

Kalau buat semua ini, MIC boleh dapat sokongan masyarakat India sekurang-kurang 40 peratus dengan mudah. Sebabnya struktur MIC dan akar umbi kuat. Cuma mereka kadang-kadang kurang percaya terhadap sesetengah pemimpin.

SIAPA LAYAK PIMPIN MIC?
Saya tidak pasti tetapi perlu ada seorang pemimpin yang mampu memberi keyakinan kepada pengundi muda. MIC perlukan pemimpin yang berpendidikan, mampu bercakap dengan baik dan perlu fasih bahasa Melayu juga.

Pemimpin yang tiada kemahiran komunikasi boleh dianggap pemimpin gagal kerana dia tidak mampu sampaikan kehendak rakyat. Jadi ini semua kriteria yang saya nyatakan perlu ada.

PRESTASI KERAJAAN PADA MASA KINI
Perlu diingat kita tidak mampu puaskan hati semua orang. Pada fikiran saya, Anwar mahu perbetulkan dahulu isu fundamental (asas). Sebagai contoh isu korupsi dan karenah birokrasi.

Lagipun dalam tempoh dua tahun ini, untuk selesaikan semua masalah adalah tidak munasabah dan tidak mempunyai masa yang cukup. Mungkin perlu beri peluang antara lima ke 10 tahun. Lagipun one single man tidak boleh selesaikan semua masalah. Kita sudah ada asas cuma pemimpin perlu mengenal pasti (isu) dan selesaikan sebaik mungkin.

Contohnya pertanian. Kita ada tanah dan sumber lain tetapi apabila bercakap soal keterjaminan makanan, kita masih di takuk lama. Sudah sampai masanya kita fokus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN