MUKADIMAH
TINGGAL kurang seminggu lagi sebelum tibanya kemuncak haji dan seluruh umat Islam yang melaksanakan ibadat Rukun Kelima akan berkumpul di Arafah.
Untuk umat Islam yang belum berkesempatan, peluang tetap terbuka untuk meraih seberapa banyak pahala.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Ketua Pakar Rujuk Tabung Haji, PROFESOR MADYA DATUK DR. ANHAR OPIR bagi mendapatkan penjelasan terperinci berkaitan isu-isu haji.
MEMAHAMI KEPENTINGAN IBADAT HAJI
Ibadat haji bukan semata-mata mahu memastikan cukup rukun, sebaliknya mahu lebih daripada itu. Dengan penghayatan untuk merasakan ukhuwah dalam diri, semangat saudara sesama Islam dan mengambil seberapa banyak fadhilat yang Allah sediakan kepada jemaah haji di Tanah Suci ini.
Kita sebenarnya boleh berebut dengan perkara yang minimum contohnya dalam membantu orang lain, melaksanakan perkara sunat, memberi makan kepada orang lain dan memberi salam. Begitu juga dengan ibadat seperti tawaf. Perlu diingat ia bukan semata-mata tawaf, tetapi tawaf yang tidak menyakiti hati orang. Sebagai contoh, kita siku orang ketika hendak kucup hajar aswad.
Atau mungkin mahu mengejar fadhilat solat di belakang Makam Ibrahim dan pada masa sama dengan mulutnya kita tidak jaga, kita sepak barang orang lain, kita tolak orang lain. Kalau tidak ada ilmu, nescaya penghayatan tidak sama seperti yang dikehendaki oleh agama.
KAITAN IBADAT HAJI DALAM MENANGANI ADAB DAN MASALAH SOSIAL
Ia memberi kesan dan faedah yang baik agar kita menjadi orang yang beradab dan berakhlak khususnya pada zaman media sosial ini. Contohnya, berkaitan dengan pantang larang yang kita tidak boleh buat ketika berihram.
Sebenarnya, ini akan membantu seseorang menjadi lebih berakhlak. Maknanya ketika berihram dia akan ingat tidak boleh memburu binatang, tidak boleh mencabut bulu, pakai pakaian berjahit bagi lelaki dan lain-lain lagi.
Maknanya hidup kita ini ada sempadan. Sebagai seorang Muslim, daripada pantang larang ihram itulah mendidik kita supaya sedar bahawa hidup ini ada perkara yang dibolehkan dan ada perkara yang tidak boleh.
HUKUM SENGAJA MENUNDA IBADAH HAJI WALAUPUN MAMPU
Perlu kita faham asas yang paling penting tentang kemampuan. Hanya kepada mereka yang mampu sahaja dikategorikan sebagai orang yang wajib menunaikan ibadat haji.
Yang kita maksudnya wajib ialah segera mendaftar. Ini antara jalan yang membolehkan kita pergi melaksanakan haji. Cuma, kalau kita tetap menunda dan buat tak tahu, kita perlu lihat adakah dia takut akan kehilangan kemampuan itu dengan sebab kesihatan atau kewangan ?
Kesimpulannya, kita sunat untuk menyegerakan untuk menunaikan ibadat haji apabila mampu.
HUKUM MENINGGAL SEBELUM ATAU SELEPAS BERNIAT IHRAM
Seseorang yang sudah berihram kemudian meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan ibadat manasik haji ataupun meninggal dunia sebelum sempat berihram. Ini terdapat perbezaan.
Cuma untuk memudahkan kita faham begini. Jika seseorang yang sudah berihram haji kemudian meninggal dunia. Bagi orang begini, Rasulullah pernah menyebut kepada seorang lelaki yang jatuh dari tunggangannya lalu patah tengkuk dan meninggal dunia.
Lalu, Nabi pun menyebut, mandikan dia dengan air dan jangan ditutup muka serta jangan dipakaikan bau wangian dan dikafankan dengan kain ihram. Sesungguhnya Allah akan bangkitkannya nanti di hari akhirat dalam keadaan bertalbiah.
Beberapa perkara kita boleh ambil dari hadis ini. Pertama, tetap wajib dimandikan tetapi dikafankan dengan dua kainnya, ini menunjukkan berbeza dengan orang yang meninggal biasa.
Ini satu keistimewaan kepada mereka yang berihram. Hadis ini juga tidak menyuruh untuk membuat badal haji yang memberi pemahaman kepada kita bahawa orang yang meninggal dunia selepas daripada ihramnya dan sebelum menyelesaikan manasik haji sudah dikira sebagai mendapat pahala haji, tidak perlu dibadalkan.
Berbeza dengan orang yang belum berihram dan belum melakukan manasik haji, dia dapat pahala kerana mempunyai niat yang baik. Tetapi tidak sama kerana orang sebegini perlu dibadalkan hajinya.
BERPUASA PADA HARI ARAFAH
Berkaitan hukum berpuasa pada 9 Zulhijjah, para ulama sepakat digalakkan berpuasa pada hari Arafah bagi selain daripada jemaah haji. Para ulama tidak sepakat dalam menyatakan hukum berpuasa bagi mereka yang menunaikan haji.
Bagi mazhab Hanafi dan Maliki makruh bagi orang yang mengerjakan haji berpuasa pada 9 Zulhijjah. Manakala bagi mazhab Syafi’i dan Hambali harus bagi orang yang mengerjakan haji berpuasa.
Bagaimanapun, harus dengan syarat orang Mekah dan wuquf waktu malam
Lebih utama tidak berpuasa bagi jemaah haji kerana Nabi Muhammad SAW tidak berpuasa. Tidak berpuasa lebih kuat dan membantu dalam berdoa dan beribadah.
AGENSI PELANCONGAN YANG MENJANJIKAN VISA MENUNAIKAN HAJI
Daripada segi undang-undang, kita terikat dengan pemerintah dan perlu dipatuhi kerana tiada peraturan yang ditetapkan pihak kerajaan melainkan untuk maslahat kepada umat Islam.
Kita perlu akur dan taat untuk pastikan mereka yang nak melaksanakan ibadah haji mesti mendapatkan visa haji bukan visa selain daripada itu.
Mengikut segi hukum, kalau ingkar, dia dikira tidak taat kepada pemerintah, ini dikira buat maksiat. Cuma hajinya jika cukup rukun dan syarat, kita boleh katakan hajinya sah. Cuma dia berdosa kerana tidak taat kepada pemerintah dan dia perlu tanggung jika berlaku apa-apa tidak diingini kerana melanggar peraturan negara. – UTUSAN










