HUJAHAN minggu lalu memperlihatkan betapa AI atau kecerdasan buatan diberi kelangsungan untuk menentu masa hadapan dunia sejagat, mahu tidak mahu. Malaysia turut terpalit. Dana, peralatan, sumber kepakaran dan sokongan itu dan ini terhidang, terbentang dalam satu lagi tuntutan teknologi yang tidak pernah-pernah terungkap dengan gahnya.
Sekadar bisik-bisikan sahaja, tiba-tiba berdentum dengan menggegarkan. Seolah-olah di persimpangan jalan, tetapi hanya satu sahaja yang terhias. Yang lain agak daif, tidak menarik. Bak kata anak muda tidak cool langsung! Jadi ke mana kita? AI pastinya, tiada pilihan lain?
Minggu lalu, berdekatan kampus UIAM di Gombak, berlangsungnya Majlis Haul Ke-17 dan Seminar Hawash – singkatan untuk Syeikh Haji Wan Muhammad Shaghir ar-Riyauwi al-Fathani – Tokoh dan Koleksinya. Mengikut para penganjur, yang diraikan adalah kenangan seorang tokoh yang jasanya tidak terhingga kepada dunia keilmuan dan pembukuan negara dan dunia alam Melayu serta nusantara.
Seiring Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di bangunan gah Persidangan Dagangan Dunia (WTC), koleksi Hawash dihidangkan di Dewan Akademik Pendidikan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) yang sederhana. Tetapi amat mengkagumkan hasil dari seorang ilmuan dan pendakwah tempatan berjiwa kental merangkumi bahan kajian, penulisan serta artifak, manuskrip dan bahan nadir yang terkumpul dan diselamatkan selama ini sebagai warisan anak bangsa.
Sukar ditandingi oleh para cendekiawan modern di gedung ilmu canggih. Apatah lagi telah dikatalogkan oleh mereka yang rela berbakti menyediakan sebahagian Koleksi Pustaka Khazanah Fathaniyah terasas pada 1995. Khas buat seorang guru murabbi yang memandang dengan mata hati menurut satu nukilan pengkaji yang cukup rapat dengan al-marhum Hawash.
MATA HATI
Penggunaan perkataan mata hati; sekali gus meletakkan AI pada tempat yang agak rendah lagi cetek kedudukannya. Tidak kiralah berapa juta diperuntukkan disediakan. Atau di mana ia dilancarkan, oleh siapa sekali pun. Kerana AI tidak pun bermata manusiawi, apatah lagi mata hati, malah tidak juga mempunyai hati, baik yang jasmani, jangan mimpilah yang hakiki.
Hak Ilahi. Bak kata pengkaji lagi: Guru yang mendidik dan membimbing menghidupkan roh dan jasad menjadikan insan sempurna. Insan sejahtera bagi kita. Bukan insan yang dipermodalkan dalam naratif songsang neoliberal semasa.
Sambungnya: Bimbingan membawa ke jalan yang lurus, benar dan diredai. Bukan semata-mata arahan algoritma teknologi tidak bersumberkan naluri kiasan Ilahi yang berpaut dihati-hati suci lagi murni. Tidak munafik.
Lantas tercatat kata-kata ilham perjuangan ciptaan guru, sering diulang-ulang untuk mendidik serta mencerdaskan berfikir tanpa AI: Sungguh indah di pantai Kerisik; Kerisik kerikil di pukul ombak; Menyebar Islam bukan sekadar berbisik; Mesti berani menghadapi tombak.
Kemudian: Bagai ombak dalam badai; Ditetak mantul ditekan timbul. Juga: Pandai tak boleh diikut; Bodoh tak boleh diajar. Lagi: Tidak guna kilat bagi dibuta; Tidak guna guruh bagi si pekak. Namun: Belakang kapak di asah lagikan tajam.
Justeru ada yang tertanya: Kenapa kita menolak cerita karamah para wali Allah? Sedangkan, mengikutnya, zaman sekarang cerita bercorak robot yang direka manusia moden seperti Ultraman, Doremon, Power Rangers, termasuk juga pendidikan seks yang diketahui kanak-kanak yang masih di bawah umur. Apakah kita tidak terfikirkan dampak negatifnya terhadap remaja Islam dan bangsa Melayu untuk masa-masa yang akan datang?
Oleh itu, disarankan kisah mukjizat para nabi dan karamah para wali Allah patut diperkenalkan, peroleh petunjuk dan keberkatan. Melebihi robot Transformer bayangan khayalan minda yang diterima ramai termasuk para agamawan tanpa banyak persoalan!
Ataupun sinis, sesuai dengan perubahan zaman, bererti pemikiran bertambah tajam menyusun gerakan, bagai katanya: Bergerak bererti hidup, diam bererti mati! Meskipun perjalanan hidupnya tanpa wang ringgit. Hanya berbekal cerita emak tentang para ulama. Seawal usia remajanya, tidak membuang masa, dimanfaatkan mendalami pelbagai ilmu. Berjalan kaki sejak umur 12 tahun, selepas bapanya meninggal, semata-mata untuk mencari bahan ilmu. Sambil menghafal, menulis dan membaca, bergerak pantas menjadi dan menyelamatkan khazanah karya alam Melayu.
KARAMAH
Berbeza dengan generasi AI yang tidak bergerak, melain jari-jemari dipermukaan peranti yang terhad berbanding alam maya yang hidup segar memukau mata jasmani dan hati, memuja Ilahi.
Jika tidak, takut-takut ditunggangi musuh dengan tujuan memusnahkannya. Misalnya sejak 1963 lagi, semasa konfrontasi Indonesia, khazanah tambah dipergiatkan supaya melengkapi.
Terkenang kini kepada pemusnahan Gaza yang masuk ke lapan bulan, kehilangan ribuan bahan khazanah merentasi ilmu turun temurun sebahagian dari genosida durjana. Sebelum itu, Iraq dan Bosnia dimansuhkan sebagai contoh utama terkini. Sejarah bersepah dengan kedurjanaan serupa. Berulang kali.
Pun begitu, dengan meyakini sesuatu kerja yang murni dan diredai pasti dipermudahkan melebihi AI kerana pertolongan Ilahi jua. Ujar Hawash: Apabila dua amalan; memperbanyakkan zikirullah dan selawat serta salam ke atas nabi, telah menjadi darah dan daging maka pertolongan Allah akan datang di luar dugaan akal manusia, semua boleh terjadi. Yang demikian amat mudah bagi-Nya.
Apabila diredai. Disinilah terkandasnya AI yang tidak berhati budi, buta hati. Tidak terkandung karamah padanya, malah boleh menyesatkan tanpa mata hati mendampingi diri. Asuhan Ilahi. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










