Karya seni AI dari sudut Islam, benar atau palsu?

Karya seni AI dari sudut Islam, benar atau palsu?

TERDAPAT pertanyaan penting yang perlu diajukan dari perkembangan AI dan tujuan akhir daripada hasil rekaan bantuan AI. Gambar pameran pelukis AI dari Azerbaijan, Elman Mansimov. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT Ibn Khaldun dalam karyanya Muqaddimah, pelbagai jenis kemahiran dan bidang ilmu pengetahuan adalah hasil daripada keupayaan aqliyyah (rasional) manusia daripada kemungkinan menjadi kenyataan.
Beliau menambah bahawa cara yang paling mudah untuk memupuk diri dengan ilmu dan sains ialah melalui penggunaan bahasa yang jelas dan tepat ketika berbincang atau berbahas atas masalah ilmiah.

Ilmu yang berkembang dalam minda manusia melalui cerapan deria, pengekalan ingatan, pengenalan corak, penggubahan gambaran dan pembentukan tasawwur datang daripada pengalaman yang membolehkan aqal (akal) membuat pembaharuan dan berusaha menuju kesempurnaan.

Bahkan, teknologi pengganggu-gugat atau pembaharuan yang dicirikan dengan penggantian pekerjaan-pekerjaan lama berlaku kerana teknologi adalah bentuk seni yang berlandaskan sains.
Selain kemahiran, sains dan teknologi juga adalah buah hasil daripada keupayaan aqliyyah. Kedua-dua mutu dan kehalusan sains dan teknologi adalah penanda aras membangunnya sebuah peradaban yang bergantung kepada terisinya keperluan asas manusia.

Seni Islam adalah bukti kegemilangan peradaban Islam, bermula dari seni bina Andalusia, astaka Maghribi dan pintu-pintu gerbang Muqarnas Bahri Mamluk yang dipenuhi dengan hiasan lengkungan sehinggalah kepada reka bentuk jubin mozek berunsurkan geometri, tumbuh-tumbuhan dan ukiran khat yang menghiasi bangunan-bangunan madrasah lama Timuriyyah di Dataran Registan dan makam Shah-i-Zinda di Samarkand, Uzbekistan.

Karya-karya tersebut tidak hanya dihasilkan oleh ahli-ahli pertukangan di masa lalu yang berusaha untuk menzahirkan gambaran syurga menurut al-Quran namun juga dibuat dengan peringatan yang mendalam dan utama dalam hati dan fikiran ahli-ahli pertukangan bahawa yang sebaik-baik pencipta ialah Allah (Surah al-Mu’minun).

Arah perkembangan peradaban boleh menentukan sama ada kemahiran menjadi lebih rapi atau tercemar. Seiring dengan kemerosotan peradaban masa kini, hal ini memberi tekanan terhadap kerja tangan dan seni dunia moden yang mana memenuhi keperluan tetapi masih menjadi cabaran yang besar.

Dalam buku Reflections of an English Muslim (2015), penulis dan pakar seni budaya Islam, Ahmed Paul Keeler, melakarkan perumpamaan seekor burung kenari dan seorang seniman.

Menurut Keeler, burung kenari akan menjadi korban pertama sekiranya dibawa ke kedalaman tertentu di mana terdapat gas beracun, justeru dengan segera memberi amaran awal kepada pekerja-pekerja lombong.

Seorang seniman mengalami kematian metaforis setiap kali cuba untuk mencerminkan dalam karyanya kekejaman, kerendahan, kekacauan, kekakuan, kedangkalan dan kekosongan jiwa dunia moden, yang Keeler namakan sebagai ‘amaran bagi masyarakat’ (warnings to society).

Sebagaimana burung kenari, seniman sangat peka terhadap perubahan dan boleh menjadi penunjuk kewujudan bahaya yang tersembunyi.

Dalam konteks hari ini, pengkarya seni baharu yang digelar prompter menggunakan alat-alat kecerdasan buatan (AI) terbaru seperti DALL.E 2, Jasper Art, dan Midjourney. Saya sekadar menyebutkan nama beberapa perisian AI, dengan mudah melangkaui tahun-tahun pendidikan yang biasa dijalani oleh pengkarya terdahulu untuk menghasilkannya dalam tempoh masa yang singkat. Sejumlah besar karya seni yang nilai gambarannya sangat seakan-akan hidup.

Namun, tanpa ketepatan bahasa dan ketersusunan ilmu pengetahuan untuk mendisiplinkan akal fikiran sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Khaldun, para prompter hanya menyebarkan kematian metaforis dalam bentuk baharu.

Sesungguhnya, prompting yang dibantu oleh AI akan menjadi muntahan semula kekejaman, kerendahan, kekacauan, kekakuan, kedangkalan dan kekosongan jiwa abad ini.

Daripada Aishah R.A. diriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Pelukis gambar akan dihukum di Hari Kebangkitan dan akan dikatakan kepada mereka, hidupkanlah apa yang telah kamu ciptakan” (Sahih al-Bukhari, Hadis 7557).

Ibn Hajar al-‘Asqalani menerangkan hadis tersebut dalam komentarnya Fath al-Bari bahawa ia adalah cabaran daripada Allah dan penghinaan-Nya kepada pelukis, perekacipta dan pembuat-bentuk yang berasa teramat bangga dengan ciptaan mereka yang mirip kehidupan sehingga menganggap daya cipta mereka setanding dengan daya cipta Sang Pencipta.

Justeru, terdapat pertanyaan penting yang perlu diajukan dari perkembangan AI dan tujuan akhir daripada hasil rekaan bantuan AI, antara lainnya: Adakah ciptaan-ciptaan seterusnya bakal menjadi lebih seakan-akan hidup sehingga boleh mengabui pandangan mata ramai orang, iaitu tindakan yang juga kebetulan merupakan makna lain bagi artificial?

Apakah ia dimaksudkan agar seseorang merasa bangga yang luar biasa atas kemampuannya untuk ‘mencipta’ sebagaimana Allah mencipta? Jika niat untuk menandingi daya cipta Tuhan tidak termasuk antara jawapan kepada persoalan yang diutarakan, lalu mengapa ia dirancang demikian?

Jika ia tidak ada tujuan yang bermanfaat (misalnya berniaga, belajar, atau menyampaikan pengajaran berguna), maka mencipta melalui AI boleh menjadi pekerjaan sia-sia yang hanya menambah kebingungan dan mengaburi garis antara kebenaran dan kepalsuan. – UTUSAN

DR. Muhammad Husni Mohd Amin ialah Felow Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN