JIWA besar satu ungkapan yang mudah disebut tetapi tidak mudah untuk dizahirkan dengan perbuatan, lebih-lebih lagi kepada seorang yang mempunyai kedudukan tertinggi. Itulah yang boleh digambarkan perihal kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima undangan dan menghadiri Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 di Masjid Alwi, Kangar, Perlis.
Perkampungan Sunnah adalah satu program yang dikaitkan secara langsung dengan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Tanpa mengaitkan hubungan peribadi beliau dengan Perdana Menteri, bagi mereka yang mengikuti tulisantulisan dan ucapan Dr. Mohd. Asri, pasti maklum bahawa beliau adalah seorang yang amat kritis dan sangat vokal dalam menyatakan pandangan dan pendapatnya dalam berbagai perkara termasuk khususnya dalam hal ehwal agama dan politik.
Tidak terkecuali dari kritikan yang ada ketikanya agak keras dan khusus ditujukan kepada Anwar sendiri. Mustahil Anwar tidak menyedari semua itu. Namun di sebalik pandangan berbeza, kritikan dan sanggahan, Anwar dilihat tidak menyimpan apa-apa perasaan negatif kepada Dr. Mohd. Asri sebaliknya menerima pelawaan beliau menghadiri program Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 di Masjid Alwi, Kangar, Perlis baru-baru ini.
Ini jiwa besar, sifat negarawan dan sikap keterangkuman luar biasa yang ditunjukkan oleh beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.
Dalam berbuat begitu, Anwar juga mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang bukan sahaja menghadiri, malah menyampaikan ucaptama di hadapan para ulama, pemikir, pemimpin dan ribuan rakyat tempatan dalam program tersebut.
Sesuai dengan tema Program Perkampungan Sunnah iaitu Jihad Memartabatkan Dakwah, Mempertahankan Ummah, matan utama ucapan Anwar ialah mengenai konsep jihad bagi membawa perubahan, baik dalam mahupun di luar negara.
Menyingkap jihad warga Palestin yang dizalimi rejim Zionis Israel dengan dukungan negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat (AS), Anwar menyatakan kekecewaan beliau ke atas kelesuan suara pimpinan negara Islam untuk menuntut kezaliman ini dihentikan.
Beliau yang baru pulang dari menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, memperkatakan mengenai jihad beliau bersuara di hadapan kuasa besar, termasuk Presiden AS, Joe Biden dan Canselor Jerman, Olaf Scholz, mewakili dunia Islam.
Dalam negara, Anwar menegaskan bahawa Malaysia ini perlu diletak dalam landasan yang betul, mesti sedia membawa perubahan dan reformasi, baik dalam kefahaman, pemikiran, sikap dan kesediaan kita dalam meletakkan asas yang lebih kukuh kepada negara.
Menelusuri sejarah khalifah dan pejuang lampau, Anwar percaya perubahan dan reformasi yang kukuh dan berkekalan hanya boleh dicapai sekiranya kita bermula dengan membina kekuatan dalaman dengan memperbaiki tatakelola dan menangani rasuah dalam negara.
Beliau berkata, ramai yang hanya bicara soal warak dan zuhudnya Khalifah Umar Abdul Aziz tetapi dalam negara, jihad Khalifah Umar itu kerana tidak bertolak ansur dalam tata kelola, kerana benci dan menolak rasuah dan kerakusan, bermula dari diri sendiri dahulu.
Begitu juga kisah keagungan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi yang banyak tertumpu pada kejayaannya berperang menawan Baitulmuqaddis, namun ditinggalkan kehebatannya mengatur tatakelola serta mengimarahkan masjid sebagai gedung ilmu dan menyuburkan wacana yang segar.
Jadi, tegas Anwar, jangan kita rasa lemah dan bosan bila bicarakan soal tata kelola dan rasuah kerana inilah yang menyebabkan negara kita yang mungkin naik ke martabat yang lebih tinggi mula merudum kerana semua merasa lemah untuk menghadapi kebobrokan.
Dalam konteks ini, Anwar menjelaskan beliau hadir ke program ini kerana beliau mendukung semangat memberikan ruang dan pencerahan kepada rakyat yang perlu dibiasakan dengan kefahaman supaya tidak pantas menghukum akibat didorong kedangkalan ilmu.
Dinyatakan bahawa dunia Islam suatu ketika dulu menjadi agung kerana wacana yang meluas apabila Khalifah membenarkan perbahasan sihat oleh ulamak. Kita juga harus bawa semangat sedemikian kerana bagaimana ada islah kalau tidak ada perbahasan, tegas Anwar.
Atas kesedaran inilah maka sebaik menjadi Perdana Menteri, Anwar meminta diterbitkan terjemahan kitab Sheikh Taha Jabir Alalwani bertajuk Etika Berbeza Pendapat dalam Islam supaya mentaliti fiqh yang pantas menghukum dapat dijauhkan dan wacana segar dan berakhlak dapat disuburkan.
Pada akhirnya, Anwar menegaskan, hanya budaya ilmu yang subur mampu memastikan kita dapat menguasai pengetahuan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital sekali gus memastikan negara ini berjaya dalam jihad berdepan tantangan mendatang.
Itulah ucaptama Anwar yang tidaklah panjang meleret-leret, hanya 34 minit, tetapi bagi sesiapa yang mendengarnya akan cukup terkesan dan amat berpuas hati dengan kehebatan pidato, kekuatan ilmu yang dipamer, artikulasi dan kemantapan hujah yang dikemukakan dan keluasan bidang yang disentuh.
Ucapan ini malah mendorong Dr. Mohd. Asri memberi pengiktirafan besar dengan menulis: “Ucapan Anwar sangat luar biasa.
Saya tidak fikir mana-mana pemimpin negara sebelum ini yang boleh bercakap seperti itu. Kami sangat berterima kasih kepada kehadiran dan keterbukaan beliau. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Zaid Ahmad ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).










