Generasi Z anjakan landskap baharu perkhidmatan awam

Generasi Z anjakan landskap baharu perkhidmatan awam

GENERASI yang meneruskan legasi perkhidmatan awam adalah generasi X, generasi Y atau millennials dan paling baharu adalah generasi Z. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMANAT Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Hari Pekerja 2024 sememangnya telah mengukir senyuman seluruh jentera perkhidmatan awam dek usaha reformasi yang ingin direalisasikan oleh beliau dalam menjamin mutu dan keberhasilan kerja yang lebih baik melalui kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Penantian warga penjawat awam akhirnya terungkai apabila beliau telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam dijangka melebihi 13 peratus mengikut kumpulan tertentu yang akan berkuat kuasa pada 1 Disember 2024 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Semasa sesi Townhall Perdana Menteri bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) pada 25 April yang lalu, dalam menyentuh perkembangan terkini SSPA, beliau juga telah menyampaikan mesej yang jelas kepada seluruh penjawat awam bahawa individu yang malas dan prestasi lemah tidak harus diberikan kenaikan pangkat meskipun telah lama berkhidmat.

Peringatan ini secara tidak langsung menzahirkan hasrat beliau bahawa umur dan tempoh perkhidmatan seorang penjawat awam pada hari ini bukanlah kriteria utama untuk kenaikan pangkat yang lebih tinggi serta menerima pelbagai ganjaran daripada kerajaan.
Dalam ekosistem perkhidmatan awam kini, wujud pelbagai generasi umur yang silih berganti saban tahun. Perbezaan generasi dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu perkara yang harus dilihat menerusi kaca mata perkongsian pandangan, bukanlah persaingan pengalaman meskipun kekuatan dan kelemahan sememangnya wujud.

Sekiranya kepelbagaian ini tidak diraikan sebaiknya, akan wujud jurang generasi yang akan menatijahkan impak negatif terhadap perkhidmatan awam. Pastinya peralihan dari satu generasi ke generasi yang baharu dipengaruhi oleh pelbagai faktor justeru mewujudkan perbezaan karakter dan nilai individu dalam sesebuah generasi.

Majoriti generasi Baby Boomers yang lahir sebelum 1964 telah mencapai umur persaraan wajib dalam perkhidmatan. Kini, generasi yang meneruskan legasi perkhidmatan awam adalah generasi X, generasi Y atau millennials dan paling baharu adalah generasi Z yang lahir bermula pada 1997 hingga 2012 berdasarkan tafsiran Beresford Research.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), generasi Z meletakkan posisi mereka melebihi 26 peratus populasi rakyat Malaysia dan kini generasi ini juga sedang mengorak langkah memasuki dunia pekerjaan baik di sektor awam mahupun swasta. Memahami keunikan sesebuah generasi dilihat penting agar perjalanan organisasi dapat dipacu secara dinamik dan harmoni.

Selaras dengan era digitalisasi hari ini, tidak dinafikan kewujudan generasi Z dalam sektor awam merupakan salah satu pemangkin ke arah pendigitalan perkhidmatan awam. Generasi ini dilihat lebih celik teknologi yang membesar seiring dengan kewujudan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), keupayaan pembelajaran mesin (Machine Learning), pengkomputeran awan (Cloud Computing) dan sebagainya.

Menurut kajian Dell Technologies, 80 peratus daripada 15,105 responden pelbagai negara yang terdiri daripada generasi Z telah menzahirkan semangat yang tinggi untuk bekerja dengan persekitaran yang menyokong perkembangan teknologi terkini. Motivasi tinggi dan peluang yang ditawarkan oleh generasi Z harus dimanfaatkan agar usaha digitalisasi perkhidmatan awam dapat bergerak lebih tangkas.

Kewujudan pelbagai platform media sosial semestinya sentiasa menjadi ruang hangat apabila berlakunya pelbagai salah laku dan ketirisan melibatkan penjawat awam.

Namun, arus deras dibawa media sosial pada hari ini seharusnya dijadikan ruang terbaik oleh perkhidmatan awam dalam mempromosi dasar, program dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Ini merupakan satu anjakan proses kerja yang baharu dan memerlukan kesediaan penjawat awam untuk mendatangi rakyat dengan pendekatan terkini. Generasi Z diyakini berpotensi menjadi pemacu utama kerana mereka dibesarkan seiring kewujudan internet dan perkembangan digital terutamanya media sosial. Dengan promosi yang baik serta kaedah maklum balas yang kreatif melalui media sosial dan digital, pastinya mesej-mesej penting dapat disampaikan dengan lebih jelas kepada rakyat.

Menurut kajian Celik Kewangan 2023 oleh RinggitPlus, 48 peratus generasi Z di Malaysia telah memulakan usaha pelaburan sejak awal demi menjamin simpanan masa hadapan yang lebih baik. Situasi ini pastinya sehaluan dengan usaha kerajaan apabila pada awal tahun lalu diumumkan bahawa skim pencen perkhidmatan awam akan dinilai semula bagi penjawat awam lantikan baharu.

Pelbagai alternatif cadangan telah dibahaskan untuk mencari solusi terbaik dalam memastikan bebanan pembayaran pencen dapat dikurangkan. Terkini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan Akaun 3 iaitu Akaun Fleksibel yang membenarkan pengeluaran jangka masa pendek dan kecemasan di samping mengekalkan akaun persaraan untuk kegunaan hari tua.

Pelaksanaan ini memberikan pilihan kepada penjawat awam terutama kepada generasi Z untuk mengambil kira caruman KWSP sebagai pilihan utama seterusnya dapat membuka lembaran baharu bagi sistem persaraan perkhidmatan awam pada masa akan datang.

Penjawat awam sebagai jentera utama kerajaan dilihat harus melipatgandakan peranan dan usaha mengikut tanggungjawab yang telah diamanahkan selaras dengan semangat islah yang sering dilaungkan oleh Perdana Menteri. Anjakan dari cara bekerja yang lapuk harus disegarkan dengan pendekatan terkini sesuai dengan peredaran zaman.

Sinergi antara penjawat awam senior dengan mereka yang lebih muda seperti generasi Z harus diperkasakan agar kualiti perkhidmatan awam sentiasa berpaksikan rakyat dan kalis cabaran masa hadapan.

Persekitaran kehidupan yang mungkin mempengaruhi cara berfikir dan gaya bertindak generasi Z seharusnya diraikan dengan bimbingan dan bukan kecaman kerana mereka ini adalah pewaris yang bakal meneruskan legasi kepimpinan negara. – UTUSAN

MUHAMMAD Ikram Abdul Halim ialah perunding latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN