SEBULAN dua ini hati sebahagian besar rakyat Kedah atau lebih tepat lagi pemain ke-12 Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC) iaitu penyokong setia gundah gulana, khuatir dan resah melihat perkembangan pasukan.
Mana tidaknya, meskipun persiapan menghadapi musim 2024/2025 dilihat seakan tidak terganggu kerana kemasukan pemain-pemain baharu tempatan serta import berjalan seperti biasa, tetapi hakikatnya ketika itu skuad Hijau Kuning masih dihantui masalah musim lalu.
Penyokong bimbang isu tunggakan gaji yang dihadapi pemain dan kakitangan musim 2023 akan menyebabkan pasukan tersingkir daripada Liga Super tahun ini. Faktor yang dikatakan berpunca daripada isu penajaan itu menyebabkan nasib pasukan terumbang-ambing ketika itu.
Kedah bukan tidak pernah turun pangkat sebelum ini. Mereka pernah tidak beraksi dalam liga utama, tetapi jika kali ini terpaksa bermain dalam liga bawahan ia mungkin mencalarkan imej negeri kerana faktor itu disebabkan oleh isu di luar padang.
Apatah lagi dengan pemotongan tiga mata serta denda RM50,000 yang dikenakan sebelum sepak mula Liga Malaysia akibat masalah tunggakan gaji. Ia dianggap permulaan kurang baik kepada Sang Kenari walaupun berpeluang menang perlawanan pertama kelak.
Mereka juga terpalit dengan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) disebabkan tuntutan salah seorang bekas pemain import sebelum ini, Tchethce Kipre namun isu itu berjaya diselesaikan dengan baik.
Sejarah, kejayaan dan legasi bola sepak Kedah amat dibanggakan oleh segenap lapisan rakyat Kedah. Reputasinya tetap dianggap baik meskipun sudah beberapa tahun tidak menjulang piala.
Kejayaan ‘double treble’ dicapai pada 2007 dan 2008 hasil bimbingan jurulatih legenda, Allahyarham Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menyapu bersih enam piala dalam tempoh dua tahun berturut-turut masih tidak pernah pudar atau padam dalam ingatan para penyokong.
Sebut sahaja bola sepak, memang sinonim dengan Kedah kerana di negeri Jelapang Padi ini bola sepak dianggap satu bentuk hiburan kepada rakyat. Ramai ‘ubi muda’ turut dilahirkan sehingga menjadi rebutan pasukan gergasi lain.
Penyokong Kedah ibarat oksigen kepada pasukan. Mereka sering memberi sokongan kuat dengan turun ke Stadium Darul Aman walaupun persembahan diberikan pemain ada kalanya naik turun, tidak konsisten terutamanya pada penghujung liga musim lalu kerana masalah tunggakan gaji.
Maka ramai yang tidak dapat membayangkan sekiranya Kedah tidak beraksi dalam Liga Super musim ini, kerana bagi mereka pasukan itu tetap menjadi pilihan untuk memberi saingan sengit kepada nama-nama besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tambahan pula, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam sendiri mengakui bahawa pasukan Kedah sebagai aset penting dalam Liga Malaysia.
Menjadi keutamaan kepada semua pemegang taruh KDA FC memastikan skuad Hijau Kuning tidak hilang daripada peta Liga Malaysia walaupun terpaksa berdepan kekangan kewangan yang meruncing untuk menguruskan kelab.
KEWANGAN
Era penswastaan bukan perkara mudah kepada Kedah dan mungkin juga beberapa pasukan lain dalam Liga Malaysia untuk mengekalkan kestabilan dan keutuhan kewangan kerana ia menjadi aspek paling mencabar untuk bersaing dalam liga yang amat kompetitif.
KDA memerlukan dana kewangan yang kukuh, stabil dan terjamin walaupun menghormati pendirian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa kerajaan negeri tidak akan membantu untuk menyelesaikan tunggakan gaji.
Maka, pihak pengurusan juga sudah mengakui mereka mengambil iktibar dengan apa yang berlaku terhadap kelab musim lalu sehinggakan baru-baru ini mengumumkan untuk mengurangkan peruntukan sebanyak 35 peratus berbanding musim lalu.
Langkah itu bagi memastikan kelestarian kewangan kelab. Perkara itu turut disambut kesemua pemain sedia ada, baharu dan pemain import yang ditawarkan gaji lebih rendah berbanding apa yang dinikmati musim lalu atau bersama pasukan mereka sebelum ini.
Persetujuan itu dianggap kejayaan pertama Kedah dalam menghadapi saingan tahun ini kerana tidak mudah untuk mengajak pemain yang bergaji lebih besar pada musim sebelumnya beraksi bersama pasukan yang penyertaannya terpaksa ditentukan sehingga saat-saat terakhir.
Pemilik pasukan, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar turut terharu dengan kepercayaan pemain dan kakitangan terutama pemain dan staf baharu yang diikat musim ini. Beliau menjanjikan kepercayaan itu akan dibalas dengan usaha keras pengurusan untuk memastikan aspek kebajikan sebagai tunjang utama.
Malah, pemain ke-12 juga terus percaya dengan kemampuan pasukan musim ini apatah lagi pasukan kekal dengan sentuhan magis ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain bersama-sama rakan seangkatan ‘double treble’ yang pernah membantu pasukan lebih 10 tahun lalu.
Kepada pasukan bola sepak Kedah Darul Aman, teruslah menghiburkan rakyat Kedah. Berjuanglah sejiwa murni, pulun Kedah pulun!-UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Kedah.










