UMNO akan senasib sabun cap kapak? - Utusan Malaysia

UMNO akan senasib sabun cap kapak?

sabun cap kapak yang satu ketika dahulu menjadi keperluan setiap isi rumah kini hanya boleh ditemukan jika kita cari di internet dan di platform e-dagang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi rakyat Malaysia yang berusia 45 tahun dan ke atas sudah tentu mereka cukup kenal dengan sabun cap kapak. Sabun empat segi berwarna hijau yang cukup popular dalam penduduk tanpa mengira darjat dan martabat.

Ini adalah sabun pilihan seisi rumah kerana ia pelbagai guna selain tidak ada pilihan lain dalam industri sabun ketika itu.

Sabun cap kapak adalah produk yang perlu ada di setiap rumah. Bukan sahaja setiap rumah, ia ada di mana. Dalam bilik air, di dapur dan di halaman rumah mesti akan ada sebuku, separuh atau sesuku sabun cap kapak.

Bagi orang kampung, sebuku sabun cap kapak akan dipotong empat. Satu perempat digunakan untuk cuci pinggan di dapur. Baki yang lain akan diletakkan di bilik air dan di tempat-tempat yang memerlukan cucian.

Yang di dapur akan digunakan untuk mencuci segala peralatan dapur. Dari pinggan mangkuk hinggalah ke periuk belanga. Yang di bilik air pula untuk sabun badan, cuci muka malah dijadikan shampo untuk cuci rambut dan kepala. Bagi yang di luar rumah ia digunakan untuk cuci basikal dan motosikal.

Cukup banyak kegunaan dan kelebihan sabun cap kapak. Rupanya langsung tidak menarik, Bersaiz segi empat, warna hijau dan keras kematu. Apabila kena air buih tidak sebanyak sabun sekarang menjadikannya cukup tahan lama. Sabun ini tidak wangi. Baunya ala-ala sahaja. Tetapi ia cukup popular menjadi produk pilihan setiap isi rumah kerana ia boleh digunakan untuk mencuci apa sahaja.

Namun, di sebalik segala populariti, kepelbagaian kegunaan, sumbangan yang besar kepada keperluan cucian untuk seisi rumah, kini sabun cap kapak sudah tidak diperlukan. Ia sudah lenyap dari setiap rumah. Fungsi sabun cap kapak sudah diambil alih oleh pelbagai produk dan jenama lain.

Kalau cari di platform e-dagang masih boleh ketemukan produk sabun cap kapak ini. Tetapi ia bukan pilihan. Orang beli pun sebab untuk bernostalgia. Bukannya untuk digunakan sebagai produk cucian utama seperti zaman dahulu.

Kenapa produk yang begitu banyak kegunaan, yang begitu banyak berjasa boleh hilang dan tenggelam ditelan zaman? Jawapannya mungkin disebabkan ia gagal berubah.

Ketika pelbagai produk cucian lain tampil dengan pelbagai inovasi, sabun cap kapak tetap dengan rupanya yang asal. Tanpa ada perubahan dari segi penampilan produk mahupun kegunaan. Hasilnya, ia kini hanya tinggal nostalgia dalam kalangan orang lama.

Analogi yang sama digunakan oleh seorang pemimpin kanan politik terhadap UMNO yang kini semakin dipinggirkan oleh pengundi.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), selepas kira-kira 60 tahun menjadi parti yang dominan, parti yang menunjangi pentadbiran negara, UMNO kini dilihat semakin terpinggir dan gagal memenangi hati pengundi muda.

Biarpun para pemimpinnya menafikan perkara itu, tetapi angka pencapaian dalam pilihan raya menunjukkan sebaliknya.

Apabila bercakap tentang UMNO, semua orang tahu jasanya kepada agama, bangsa dan negara. Bagaimana gerakan Melayu yang kemudiannya ditunjangi UMNO menentang Malayan Union yang cuba menyingkirkan raja-raja membawa kepada kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.

Ramai orang tahun bagaimana UMNO berperanan menyatupadukan parti-parti pelbagai kaum di bawah Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) yang menjadi asas kepada perpaduan kaum dan dan agama di negara kita hingga kini.

Sejak dari merdeka hingga sekarang UMNO menjadi tunjang dalam mengemudi pembangunan negara yang kemakmurannya dirasai oleh semua kaum. Dari zaman Tunku Abdul Rahman hingga kepada Najib Razak, UMNO melalui peranannya dalam pentadbiran negara menunjangi segala bentuk kemajuan dan pembangunan.

Begitu juga dalam memartabatkan kaum bumiputera dalam ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Semua sebahagian besarnya adalah peranan UMNO.

Jika ditanya kepada kebanyakan orang, semua mengakuinya, tidak ada yang menafikannya. Tetapi kenapa jenama UMNO itu kini dilihat sudah tidak relevan dalam politik dan pentadbiran negara?

Kenapa UMNO dahulu yang menjadi tunjang dalam menggagaskan apa juga bentuk wawasan negara kini kewujudannya seolah-olah hanya untuk bernostalgia, sama seperti sabun cap kapak.

Fakta yang paling hampir untuk melihat penolakan rakyat terhadap UMNO dan gagasan yang ditunjangi parti itu ialah Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri tahun lalu.

Penolakan terhadap UMNO dan BN cukup dahsyat apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang mereka tandingi. Iaitu sekitar 17.5 peratus yang memberi gambaran akan masa depan suram parti yang sebelum ini menjadi tempat kebergantungan orang Melayu dan Islam.

UMNO kalah di semua kerusi di Kedah dan Terengganu dengan hanya menang satu kerusi di Kelantan, dua di Selangor, 14 di Negeri Sembilan dan dua di Pulau Pinang.

Kalau lihat ke belakang sikit lagi iaitu, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sokongan terhadap UMNO jadi semakin teruk dan jika ini berterusan tidak ada siapa dapat meramalkan apa akan jadi pada parti itu pada pilhan raya umum akan datang sekitar tiga tahun lagi.

Sama seperti sabun cap kapak. Pada satu ketika UMNO adalah jenama untuk setiap isi rumah. Setiap keluarga, setiap kampung, mukim, daerah hingga negeri ia pasti akan didominasi oleh UMNO.

Jenama yang orang kata, jika letak selipar jadi calon sekali pun pasti akan menang. Tetapi dari jenama yang menjadi pilihan, UMNO kini semakin ditolak oleh pengundi. Semakin hilang pengaruh dan kian hilang kekuatan untuk memerintah.

Ramainya yang berpendapat puncanya ialah UMNO gagal untuk berubah. Selepas penolakan demi penolakan ia masih tampil dengan naratif dan berlegar sekitar pemimpin yang sama.

Sama seperti sabun cap kapak, ramai yang masih ingat dan bernostalgia mengenainya, tetapi tidak menjadi pilihan kerana tidak sesuai dengan keperluan semasa.

Begitu juga dengan UMNO, ramai yang masih sayang, suka dan rindu akan zaman pemerintahannya, tetapi tetap ditolak kerana ia gagal berubah mengikut kehendak semasa pengundi dan ahli akar umbi.

Jika tidak diambil iktibar, UMNO akan senasib dengan sabun cap kapak yang hanya boleh ditemukan jika kita ‘google’ di internet.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN