Memahami nilai sebenar hari raya

Memahami nilai sebenar hari raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Bila sebut tentang raya, semua ingat hari raya.” Begitulah yang diungkapkan Jalil Hamid dalam lagunya berjudul Raya. Walhal, seperti sambungan liriknya, terdapat seribu satu kata berkait dengan raya selain hari raya.

Lagu tersebut bermain dengan istilah raya yang digunakan dalam berbagai-bagai konteks selain hari raya, seperti balai raya dan stesen Puduraya. Walaupun secara berjenaka, namun ia menggambarkan keadaan sebenarnya yang mana istilah raya begitu sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal. Sedangkan maksud sebenar perkataan raya ialah besar dan bukannya suatu sambutan.

Di dalam perucapan, adakalanya kita tidak perlukan bahasa sempurna disebabkan konteks yang umum difahami. Contohnya, laungan Assalamualaikum, kami nak raya. Bagi kanak-kanak yang berjalan dari pagar ke pagar, mereka bukan meminta suatu kebesaran, tetapi duit rayalah yang diminta.

Kita sering terlepas pandang akan makna sesuatu istilah disebabkan kebiasaan atau tabiat. Walaupun hal ini sebahagian daripada pengembangan bahasa, namun ia tetap menarik untuk kita perhatikan.

Sebenarnya, memahami makna sesuatu perkara sangat penting kepada kita. Contohnya, maksud sebenar hari raya bukan setakat sambutan apabila tibanya Syawal tetapi kesinambungan daripada ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan. Maka, Hari Raya Aidilfitri disambut bukan sahaja-sahaja untuk bersuka-ria, tetapi untuk meraikan kejayaan amalan ibadah sepanjang bulan puasa.

Saya sempat berbincang tentang perkara ini sesama penulis, Azimin Daud dari Dewan Bahasa dan Pustaka ketika menghadiri Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu pada bulan lepas. Beliau menceritakan tentang kepentingan amalan dua perkara, iaitu sedar ruang dan faham nilai.

Menyedari ruang bukanlah sekadar menjurus kepada konteks fizikal istilah tersebut iaitu untuk memerhati keadaan sekeliling, tetapi juga harus difahami dari segi abstraknya. Kesedaran dalam tingkah laku dan asbab tindakan diri dapat memainkan peranan yang besar dalam membetulkan pemahaman serta niat kita.

Kadangkala kita melakukan sesuatu perkara termasuk amal ibadah tanpa berfikir, seolah-olah menjadi tindakan automatik kerana terlalu biasa berbuat sedemikian. Tanpa elemen kesedaran ini, kita lebih senang lalai dan tidak merasa adanya keperluan untuk menghayati atau memahami sesuatu perkara secara terperinci. Oleh itu, bagaimanakah kita mahu Allah menerima amal ibadah sekiranya kita sendiri melakukan sesuatu ibadah dengan niat tidak lebih daripada sekadar menyempurnakan rutin harian sahaja?

Namun begitu, sedar ruang semata-mata juga tidak mencukupi, jika kita tiada unsur faham nilai. Ada masanya kita melakukan sesuatu perkara dengan penuh kesedaran namun langsung tidak memahaminya kerana sekadar menurut arahan. Perkara ini begitu jelas pada kanak-kanak ketika diajar untuk melakukan amalan-amalan baharu, termasuk solat. Saya sendiri suatu ketika dahulu langsung tidak memahami bacaan yang ditutur dalam solat lima waktu.

Oleh kerana itulah, amat penting bagi kita untuk mendalami makna dan memahami nilai apa yang ada di sekeliling kita. Sebagai contoh, kadangkala doa tertentu ditutur hanya kerana doa itulah yang tercatat dalam buku doa-doa pilihan. Ada masa masalah ini disebabkan doa tersebut ditulis dalam bahasa Arab, namun ada juga masa bacaan doa dalam bahasa ibunda juga tidak difaham nilainya.

Sebagai contoh, ramai yang hanya berdoa untuk dipanjangkan usia, tetapi tidak faham nilai doa tersebut. Usia yang panjang semata-mata tidak semestinya bermanfaat jika tidak disertai kesejahteraan, kesihatan yang baik dan suasana yang sesuai.

Jika kita faham nilainya, maka kita bukan sekadar mendoakan usia yang panjang, tetapi juga agar diberi kesejahteraan sepanjang hidup.

Walaupun bukan menjadi kewajipan untuk mendalami setiap perkara dengan terlalu teliti, namun sekurang-kurangnya kita mesti mempunyai kesedaran ruang dan kefahaman nilai tersebut.

Berbalik kepada hari raya, banyak sahaja perkara yang sepatutnya kita ambil peduli berkenaan apa yang selalu kita lakukan ketika sambutan mulia ini. Hal ini bukan sahaja berlaku dengan ucapan serapan Arab seperti Minal ‘aidin wal faizin atau petikan seperti Taqabbalallahu minna wa minkum yang kadangkala difaham atau disebut salah. Ada juga istilah Melayu yang diucapkan kerana menjadi sebahagian daripada amalan warisan atau trend, tanpa memberi perhatian kepada maksud yang sebenarnya.

Malah, ungkapan ‘kosong-kosong’ untuk saling memaafkan secara sepenuhnya pun kadangkala hanya disebut secara suka-suka, walhal masih terdetik perasaan marah dan dendam di hati. Begitu juga dengan pemberian duit raya yang kadangkala dianggap sebagai kemestian sehingga sesetengah kanak-kanak berlumba-lumba mengumpul duit raya sesama mereka.

Islam mengajar umatnya supaya bersedekah dan bersifat pemurah. Pada masa sama, Islam tidak mengajar umatnya untuk bersikap kebendaan sehingga meminta-minta duit raya, atau mengharapkan duit raya daripada semua.
Sambutan hari raya bukan lombong duit, apatah lagi perlumbaan bagi siapa dapat meraih paling banyak duit raya. Kita juga perlu menghindari perasaan riak daripada menayang berapa banyak duit raya yang dikumpul.

 

MAKSUD sebenar hari raya bukan setakat sambutan apabila tibanya Syawal tetapi kesinambungan daripada ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

BAIKI DIRI
Kita harus sentiasa berusaha memperbaiki diri serta memperbetulkan yang biasa, bukan sekadar membuta tuli mengikut kelaziman. Dengan mengamalkan dua perkara ini iaitu sedar ruang dan faham nilai, insya-Allah, banyak yang dapat kita tambah baik dalam diri kita. Kita juga dapat gugurkan tabiat dan amalan lewah sekiranya kita sedar dan faham bahawa kelakuan tersebut tidak membawa sebarang faedah.

Semoga dengan persediaan ini dapat kita mendidik diri untuk menjadi insan yang lebih baik di hari-hari yang mendatang.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan saya memohon maaf atas sebarang kesilapan dan kecacatan dalam penulisan dan tingkah laku saya selama ini.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN