Hari ini lebih ramai sokong PKR - Utusan Malaysia

Hari ini lebih ramai sokong PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

BELIAU antara nama yang agak lama dalam PKR dengan pengalaman menjawat beberapa jawatan sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan negeri.

Walaupun pernah terpalit kontroversi, beliau tenang dan masih kekal bersama-sama parti sehingga kini. Apatah lagi dengan tempohnya yang bersama parti lebih 10 tahun.

Mingguan Malaysia menemu ramah ELIZABETH WONG KEAT PING bagi mendapatkan pandangan beliau terhadap PKR yang sudah pun mencecah usia 25 tahun

 

KERAJAAN PERPADUAN MASIH BARU
MINGGUAN MALAYSIA: Sebagai ‘orang lama’ dalam PKR. Bagaimana saudari melihat parti selepas 25 tahun ditubuhkan?
ELIZABETH WONG: Kerajaan pada ketika ini bukanlah kerajaan PKR semata-mata tetapi Kerajaan Perpaduan yang masih baru dibentuk.

Kedua, ramai antara menteri tidak pernah pun memegang jawatan atau exco. Jadi, pada saya sebagai rakyat dan pemimpin, harapan dalam masa yang sama diletakkan tinggi kepada kerajaan.

Maka perlu sabar sedikit kerana banyak isu perlu diselesaikan. Saya masih ingat semasa menjadi exco untuk penggal pertama. Memang sangat susah. Harapan rakyat tinggi. Tetapi, lama kelamaan selepas selesa dengan penjawat awam, struktur kerajaan dan sistem, ia berjalan lancar. Lagipun, kerajaan sekarang ada tanggungjawab besar.

Selepas dua tahun Kerajaan Perpaduan dibentuk, bagaimana prestasi pentadbiran setakat ini?
Memang mana-mana kerajaan pun, ada banyak perkara perlu ditambah baik dan kita tidak sepatutnya cepat rasa lega dengan apa yang ada.

Bagi kritikan itu perlu dan pada masa sama cuba bantu barisan kepimpinan. Jangan lupa di sebalik kritikan, tangan kanan kita hulurkan untuk membantu mereka.

PKR dulu dan sekarang ada perbezaan?

Kalau 25 tahun lalu, keadaan masa itu sangat genting. Kita parti baharu dan pimpinan pun dalam penjara. Lagipun, kita parti pembangkang tidak banyak sukarelawan dan sumber kewangan.
Tetapi hari ini kita antara paling besar dan ada lebih sejuta ahli.

Kita juga ada beberapa kerajaan di negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Kita ada pengalaman dan tanggungjawab sangat besar.

Hari ini lebih ramai penduduk Malaysia selesa sokong parti kita berbanding 25 tahun dahulu.

SENTIMEN KAUM DAN AGAMA

Bagaimana PKR perlu menangkis serangan daripada parti yang menggunakan sentimen agama dan kaum pada PRU16?

Ini bukan hanya berlaku sekarang tetapi dulu pun ada. Ia jadi isu yang selalu dimainkan. Saya tidak terkecuali sebagai minoriti. Kadang-kadang saya rasa risau dengan masa depan negara ini.

Mengapa perlu dibangkit isu sebegini. Pada saya penduduk Malaysia matang. Kalau tengok reaksi pun rakyat memang mereka tidak setuju.

Janganlah kita banding atau baca di media sosial. Lagipun generasi baharu sekarang juga matang, selesa dan boleh bercampur dengan masyarakat kaum lain.

Malah, anak muda juga selesa nak pakai baju kurung, baju Cina. Ini

perkembangan bagus. Tapi kita tidak boleh berpuas hati pada tahap ini. Kita perlu usaha agar jalinan kaum terus diperkukuhkan lagi.

PERPADUAN DAN HAK WANITA
Bagaimana dengan isu perpaduan dan hak wanita di bawah Kerajaan Perpaduan?

Tentang isu perpaduan kerajaan hari ini cuba sedaya upaya mahu padamkan api perkauman yang cuba dihidupkan mana-mana pihak.

Tetapi kita kena melihat kenapa ada kumpulan kecil yang masih rasa isu perpaduan sebagai saham untuk meraih sokongan masyarakat? Kerajaan tidak sepatutnya biarkan dan perlu cari asas kenapa ia masih dimainkan.

Tentang isu hak asasi pula, ia masih ada jalan panjang untuk ditempuhi. Saya mempunyai latar belakang sebagai aktivis kemanusiaan. Jadi, memang kritikan saya mungkin lebih lantang daripada orang biasa dan sangat berharap kerajaan ambil berat isu ini secara serius.

RAKYAT UNGKIT REFORMASI
Banyak rakyat mengungkit tentang pelaksanaan agenda reformasi yang masih tertangguh. Komen saudari?

Saya masih ingat pengalaman saya semasa jadi Exco Kerajaan Selangor pada tahun 2008. Untuk dua ke tiga tahun memang susah. Kita perlu memenangi hati penjawat awam juga.
Semasa saya jadi exco memang banyak isu dalam Selangor apatah lagi Malaysia. Kita perlu beri masa kepada Kerajaan Pusat untuk mencari kedudukan mereka dalam kerajaan. Selepas mereka rasa lebih selesa.

Saya rasa mungkin kadar pelaksanaan reformasi lebih lancar dan cepat. Dalam masa sama, sebagai aktivis politik kita perlu tegur Kerajaan Perpaduan kalau kita rasa mereka buat perkara tidak betul. Kita mesti beri sokongan dan panduan pada mereka.

Saudari mahu bertanding balik?
Kenapa tidak? Saya akan pergi bertanding sekiranya diberi peluang.

Siapa yang layak mengetuai PKR selepas Anwar?

Dalam PKR hari ini, saya rasa memang kita ada lapisan kedua yang sangat bagus. Sebagai contoh Rafizi Ramli atau Nurul Izzah Anwar atau mungkin juga Datuk Seri Amirudin Shari.

Kita memang ada ramai yang sesuai untuk masa akan datang dan peluang itu ada serta terbuka untuk menjadi mereka pemimpin utama dalam parti kita. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×