Cerita bergelut cari sesuap nasi dan ‘dua Alif’ - Utusan Malaysia

Cerita bergelut cari sesuap nasi dan ‘dua Alif’

Yang bergelut dan berjuang mencari sesuap nasi untuk keluarga itu lebih mulia daripada tak habis-habis bergelut mencari kasih sayang dan bergelut ‘lapar perhatian’. – Gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH dua hari berturut-turut saya melihat seorang lelaki tua mengayuh basikal dengan amat perlahan di Lebuhraya Persekutuan dari arah Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur dalam panas terik sewaktu saya memandu ke tempat kerja.

Di belakangnya, banyak plastik dan botol minuman yang mungkin dikutip di tepi jalan. Saya agak lelaki itu berusia dalam lingkungan 70 tahun.

Ketika melewatinya, saya mengintai dari cermin sisi kereta dan terlihat kepayahannya bagaikan memaksa kakinya mengayuh dengan kudrat seorang tua dalam mengharungi bahang panas yang memeritkan.

Saya yang berada di dalam kenderaan berhawa dingin pun terasa pijar panasnya, inikan yang berada di luar.

Dalam hati saya bertanya – Bapa siapa lah ini? Mana anak-anaknya? Saya berdoa Allah berikan dia kesihatan yang baik dan mempermudahkan segala urusannya.

Begitu bergelutnya dia untuk mencari rezeki. Rasa insaf dan mensyukuri apa yang Tuhan beri kepada saya meresap dalam jiwa pada tengah hari Khamis, 25 Ramadan lalu.

Sesampai saya di parkir bangunan pejabat saya bekerja, telefon saya berbunyi.

Seorang kawan lama menelefon. “ Tak habis-habis ke cerita dua orang Alif ini? Dari puasa dan dah nak raya ini.

“Alif mana pula ini?” Tanya saya sengaja buat tak faham. Memang sejak dari semalam lagi dia sudah bising-bising dalam grup WhatsApp pasal dua Alif ini. Ya. Betullah. Platform X pun cukup main trending lagi cerita mereka berdua minggu ini.

Kata kawan saya itu, sudah-sudahlah. Tak perlu siarkan lagi berita dua Alif itu. Dua-dua ‘tak boleh pakai’.

“Buat malu orang nama Alif saja,” kata kawan saya yang suaminya juga bernama Alif itu. Saya tertawa. Sebenarnya, saya malas nak ulas hal-hal rumah tangga orang ini. Pada saya, hal-hal yang mengaibkan dan amat peribadi serta sulit sebegitu, biar lah hanya berlegar dalam rumah sendiri.

Tak perlu buat sidang akhbar. Canang keburukan dan kecurangan pasangan satu persatu kepada dunia. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Uruslah masalah itu dengan bantuan keluarga dan orang terdekat. Bukan mengadu nasib, kesedihan dan mencari sokongan di media sosial.

Yang Alif lagi satu pun, satu hal pula. Memang suka memancing kecaman. Tak serik-serik.
Sebagai seorang usahawan, bergelar Datuk dan kaya raya, sepatutnya menunjukkan perangai yang boleh diteladani ramai.

Dan dalam kedudukannya itu, dia sepatutnya mendapat hormat ramai juga. Jadilah lelaki yang matang. Jangan hanyut dengan content yang menjejaskan tahap kecerdikan.
Nak meniaga, meniagalah. Jangan melalut buat benda bukan-bukan konon gimik melariskan jualan.

Kalau hendak dibandingkan dengan pak cik yang mengayuh basikal mengumpul botol dan plastik itu, betapa untungnya mereka ini boleh hidup terlebih makan mungkin, segala-galanya selesa, ada rumah dan kereta mewah. Justeru kenapa perlu mengambil tindakan dan memilih jalan yang merugikan?

Pada saya yang bergelut dan berjuang mencari sesuap nasi untuk keluarga itu lebih mulia daripada tak habis-habis bergelut mencari kasih sayang dan bergelut ‘lapar perhatian’.

Ramadan bakal berlalu tak lama lagi. Puaskah kita melakukan amal ibadat sepanjang bulan ini dalam mengejar ganjaran pahala? Semoga kita diberikan peluang berjumpa lagi dengan Ramadan tahun depan dan seterusnya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua. Maaf zahir dan batin.

Fauziah Arof ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN