RAMADAN adalah bulan turunnya al-Quran atau Nuzul al-Quran. Perkataan ‘Nuzul’ pada bahasa Arab bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata kerja ‘nazala’ membawa maksud ‘telah turun’ atau ‘menjadi tetamu’.
Penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini merujuk kepada turunnya al-Quran sebagai kalam Allah kepada Nabi Muhammad yang menjadi panduan kepada umat Islam.
Al-Quran diturun dalam bahasa Arab dan terdiri daripada 30 juzuk dan 114 surah dengan jumlah ayatnya sebanyak 6,236 ayat. Surah al-‘Alaq merupakan surah pertama diturunkan dan disampaikan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibrail dalam Gua Hira’ tempat baginda Rasulullah beruzlah.
Al-Quran merupakan kitab suci yang menjadi pedoman dan petunjuk kepada umat manusia. Kandungannya mengandungi segala perintah suruhan dan larangan yang dikenali sebagai syariat Islam. Al-Quran semenjak diturunkan sehinggalah sampai ke hari kiamat kandungannya tetap dan tidak akan berubah.
Al-Quran merupakan sumber utama dalam banyak lapangan urusan kehidupan manusia. Terdapat banyak hikmah dan pengajaran yang terkandung padanya. Oleh sebab itu, Islam sangat menganjurkan umatnya supaya menuntut ilmu dan melaksanakan pengkajian. Ini dapat dilihat dengan penurunan wahyu pertama dari Surah al-‘Alaq yang mengandungi perintah kepada umatnya untuk membaca atau dengan kata lain menuntut ilmu.
Proses penurunan al-Quran terbahagi kepada tiga tahap iaitu:
Tahap pertama: Lauh Mahfudz
Tahap pertama al-Quran diturunkan sekaligus di Lauh Mahfudz. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Buruj ayat 21-22 yang bermaksud : “(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah al-Quran yang tertinggi kemuliaannya. (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.”
Tahap kedua: Langit Dunia
Pada tahap ini al-Quran diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfudz ke Baitul Izzah di tingkat langit yang paling bawah atau langit dunia sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Qadr ayat 1 yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
Tahap ketiga: Langit Dunia
Pada tahap ini al-Quran diturunkan secara langsung kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril. Penurunan al-Quran secara bertahap selama lebih kurang 23 tahun mengikut ketetapan dan perintah Allah ketika Nabi Muhammad diangkat sebagai Nabi dan Rasul sehingga baginda wafat.
Nuzul Quran
Umat Islam di Malaysia meraikan Sambutan Nuzul Quran pada 17 Ramadan pada setiap tahun Hijrah. Sambutan Nuzul Quran merupakan sambutan yang diadakan untuk memperingati turunnya al-Quran yang mulia.
Sambutan ini merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran umat Islam bagi menghayati al-Quran. Amalan membaca, memahami dan mengamalkan kandungan al-Quran berupaya menjadi pemangkin bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Semua mesej yang terkandung dalam al-Quran dapat menyuntik motivasi diri untuk lebih maju dan berjaya dalam kehidupan.
Sesungguhnya al-Quran diturunkan untuk memberi pedoman dan prinsip dalam semua aspek kehidupan umat manusia. Islam merupakan agama atau sistem hidup yang menyeluruh (syumul) dan lengkap dalam semua aspek kehidupan umat manusia yang meliputi aspek akidah, ibadat, akhlak, politik, ekonomi, kebudayaan, kemasyarakatan, alam sekitar, kesihatan, bahasa, seni, pengetahuan, hubungan antarabangsa, undang-undang sains dan sebagainya.
Allah juga berfirman mengenai al-Quran yang diturunkan kepada manusia sebagai pelengkap dan penerang atas sesuatu perkara yang menjadi kemusykilan dengan firmanNya dalam Surah An-Nahl ayat 89 yang bermaksud “Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran untuk menjelaskan tiap-tiap sesuatu.”
Malahan al-Quran juga adalah kitab yang menganjurkan perdamaian dan perpaduan. Al-Quran telah memberikan panduan agar manusia sentiasa mengutamakan perdamaian dalam interaksi antara kaum dan agama.
Al-Quran merupakan panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan dan berperanan dalam membentuk peribadi muslim. Melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam Allah itu, ia berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Penghayatan terhadap mesej yang terkandung dalam al-Quran juga dapat menyuntik motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan. Allah berfirman dalam Surah al-Jathiyah ayat 20 yang bermaksud : “Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).”
Al-Quran adalah rahmat terbesar yang diturunkan oleh Allah sebagai pedoman kepada ummah dalam menjalani kehidupan. Rasulullah telah berjaya mengubah bangsa Arab Jahiliyyah menjadi generasi yang bertamadun melalui penghayatan dan pembudayaan al-Quran sebagai sumber peraturan kehidupan dan ilmu pengetahuan.
Justeru, al-Quran telah dijunjung tinggi sebagai perlembagaan hidup dan setiap yang terkandung telah ditekuni, dikaji dan diteladani sehingga dapat melahirkan umat manusia yang berwawasan dan sentiasa menegakkan keadilan.
Program penghayatan al-Quran perlu terus disemarakkan serta disebar luaskan kepada semua pihak dan golongan masyarakat dalam mendaulatkan kitab suci al-Quran yang menjadi rujukan utama dalam kehidupan seharian seseorang Muslim.
Penyampaian mesej berkaitan keindahan Islam melalui aktiviti penghayatan terhadap al-Quran boleh diperluaskan juga kepada masyarakat bukan Islam agar golongan berkenaan juga dapat menikmati keindahan dan nilai rahmah yang terdapat dalam Islam.
Semoga segala inisiatif yang dilaksanakan dapat mengembangkan lagi syiar Islam dan al-Quran mampu menghidupkan jiwa, mendidik rohani dan membangunkan minda selari dengan fitrah manusiawi.
Sempena sambutan Nuzul Quran, marilah bersama-sama kita semarakkan budaya ilmu dalam persekitaran dengan penghayatan tafsir surah-surah dalam al-Quran secara berjemaah sama ada bersama rakan sekerja, sekuliah atau masjid.
Semoga dengan sambutan Nuzul Quran pada 2024 ini dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita serta membawa perubahan yang lebih baik dalam kehidupan kita. – UTUSAN
DR. Wan Nadzirah Wan Mohamad ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).










