DBP gagal promosi Sasterawan Negara

DBP gagal promosi Sasterawan Negara

GENERASI muda perlu diperkenalkan dengan nama-nama besar yang menyumbang dalam bidang sastera agar dapat terus memajukan bidang kesusasteraan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA awal bulan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat Anugerah Sastera Negara (ASN) membuka pencalonan bagi anugerah berkenaan yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN).

Jumlah pengarang Malaysia yang diiktiraf sebagai SN setakat ini ialah 15 orang. Secara konvensional, sebagaimana Perdana Menteri kita sehingga kini ialah lelaki Melayu beragama Islam, begitulah juga situasi sehingga SN ke-12. Kelaziman tradisi itu dipecah pada 2016 apabila Datuk Dr. Zurinah Hassan menerima ASN, diikuti Datuk Dr. Siti Zainon Ismail pada 2019.

Pada Mei 2010, saya mencalonkan Dr. Lim Swee Tin bagi anugerah sastera tertinggi itu. Malangnya, panel mendapati beliau belum layak. Malah, sehingga kini, senarai SN masih dimonopoli pengarang Melayu.

Dalam situasi ini, saya berbual dengan beberapa rakan tentang tahap penerimaan dan penghayatan karya para SN oleh khalayak pelbagai kaum di Malaysia. Tidak lupa juga komponen sastera (komsas) diperkenalkan dalam kurikulum sekolah mulai 2000 antara lain untuk membantu generasi muda mengenali penulis dan hasil karya mereka.

Sebagai individu yang terlibat mengendalikan pelbagai program berkaitan bahasa, sastera dan penulisan, saya perhatikan realiti karya SN masih gagal menarik minat masyarakat pelbagai kaum, kecuali golongan yang benar-benar meminati sastera dan terlibat pula dalam bidang penulisan.

“Saya menyukai karya (Datuk Seri. Dr.) A. Samad Said dan (Datuk Dr.) Usman Awang. Saya kagum dengan gaya penulisan dan idea mereka. Salina, Langit Petang dan Kami Yang Terlibat antara karya diminati sejak dahulu,” ujar Muhammad Nor Amirzudin, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menulis menggunakan nama pena Amier Suhaimi.

Turut mengenali dan meminati karya dua SN itu ialah tenaga pengajar swasta, A. Sugumaran dari Shah Alam, Selangor. Namun begitu, novel SHIT karya Shahnon Ahmad meninggalkan kesan besar kepadanya apabila mula-mula terbit pada 1999.

Sementara itu, sebagai penulis karya bahasa kebangsaan dan Tamil secara aktif sejak 1987, M. Mahendran dari Bentong, Pahang pula berpengalaman membaca karya hampir semua SN.

“Karya yang paling diminati ialah Salina oleh A. Samad Said kerana menonjolkan secara terperinci kisah manusia yang hidup penuh kesukaran pada penghujung 1950-an. Saya boleh menjiwai setiap watak dalam novel itu semasa membaca,” akuinya.

KOMSAS
Perbincangan kami beralih pula kepada persoalan mengapa generasi muda yang sudah diperkenalkan karya SN menerusi komsas di sekolah masih tidak mengenali para sasterawan berkenaan serta tidak berminat membaca karya mereka.
Sambil berkongsi rasa kecewa dengan situasi yang amat mendukacitakan itu, Mahendran tidak mahu meletakkan beban kesalahan pada pundak generasi muda semata-mata.

“Semua ini adalah salah sistem pendidikan kita yang masih gagal memperkenalkan para penulis tempatan dan karya para SN kepada pelajar dengan cara yang betul-betul berkesan,” kata penulis yang menghasilkan buku Karupaya (2018) dan Talaivar (2021).

Sebagaimana saya perhatikan, komsas gagal mencapai matlamat kerana pendekatan terlalu rigid dan skema, pembelajaran masih berorientasikan peperiksaan, karya tidak mewakili masyarakat majmuk di Malaysia dan pemilihan teks yang amat membosankan.

Penulis buku Nakal-nakal (2024), Amier Suhaimi sebagai seorang anak muda turut menyedari jurang yang masih lebar antara kaum di negara ini. Karya dipilih untuk diperkenalkan kepada generasi muda menerusi komsas tidak membantu mengatasi masalah ini.

“Sebenarnya, bukan hanya khalayak bukan Melayu perlu diperkenalkan dengan karya para SN, malah orang Melayu juga. Pada masa sama, sastera kebangsan bukan hanya milik penulis Melayu. Generasi muda perlu mengenali penulis bukan Melayu yang membantu memperkaya sastera kebangsaan,” tegasnya.

Dia turut mengakui kurangnya pendedahan karya SN dibuat pihak berwajib.

“Apabila menyebut SN, saya hanya tahu SN lama. Saya kurang mengikuti karya SN baharu,” akuinya.

Sebagai tenaga pengajar yang saban hari berinteraksi dengan pelajar, Sugumaran mengemukakan beberapa permasalahan yang menyumbang kepada isu dibincangkan iaitu kurangnya generasi muda mengenali karya SN.

“Generasi sekarang kurang berminat membaca, apatah lagi karya sastera kebangsaan. Situasi bertambah rumit kerana ketaksuban mereka kepada bahasa Inggeris,” ulasnya.

Menurut Sugumaran, ramai kini hidup dalam dunia maya melampaui realiti. Media sosial, pencipta kandungan dan pempengaruh lebih berjaya mendapat tempat di hati dan minda masyarakat berbanding SN dan karya mereka.

Segala isu yang diketengahkan ini sudah diketahui umum, termasuk pihak yang sepatutnya bertanggungjawab mengangkat dan memperkenalkan SN kepada masyarakat majmuk di Malaysia selaras kedudukan mereka sebagai “sasterawan negara”.

“Sepatutnya DBP memikul kerja ini sebab memang tugas mereka dan ada dana khas untuk itu. Boleh terbitkan karya SN dalam edisi mampu milik tapi dengan reka kulit dan reka letak yang boleh memikat hati generasi muda,” Amier Suhaimi mencadangkan.

Sugumaran mendapati pendekatan konvensional kurang sesuai pada masa sekarang. Beliau mengambil contoh reels di Instagram, shorts di YouTube dan video pendek di TikTok yang ternyata berkesan menarik minat dan mempengaruhi minda generasi muda.

“Pihak yang sepatutnya memikul peranan dan tanggungjawab memperkenalkan SN dan karya SN perlu bersikap proaktif dengan menggunakan pendekatan baharu seperti ini supaya boleh mendekati anak-anak muda,” katanya.

Peranan DBP di bawah Kementerian Pendidikan turut disentuh Mahendran. Walaupun pelbagai pihak lain seperti persatuan penulis dan media boleh membantu, DBP wajib menjadi peneraju utama.

“DBP boleh mengatur kunjungan ke sekolah dengan membawa SN untuk sesi diskusi bersama guru dan pelajar.

Saya setuju supaya buku SN diterbitkan semula dalam edisi murah supaya mampu dibeli para pelajar. Apa-apa pun, semua ini bergantung pada iltizam dan rasa tanggungjawab DBP,” tegas Mahendran. – UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×