Bukan mudah raih kepercayaan, sokongan politik masyarakat Cina

Bukan mudah raih kepercayaan, sokongan politik masyarakat Cina

BUKAN mudah untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan masyarakat Cina berbanding masyarakat lain di negara ini. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK menarik apabila Perikatan Nasional (PN) menyatakan bahawa Gerakan kurang relevan dalam politik Cina. Sebenarnya politik Cina di negara ini sudah mengalami pelbagai perubahan sejak Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018 lalu.

Buat pertama kali, apabila sokongan yang kuat masyarakat Cina ke atas DAP akhirnya berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan telah dijadikan medan penilaian. DAP diharapkan oleh sebahagian masyarakat Cina untuk memenuhi aspirasi dan keperluan politik ekonomi dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Dalam konsep politik Cina, hanya dua parti yang diterima iaitu satu parti pemerintah dan satu parti pembangkang. DAP dilihat sebagai parti pemerintah dan MCA dilihat sebagai parti pembangkang yang mewakili politik Cina. Ini bermakna tiada parti ketiga. Andai kata parti ketiga yang wujud iaitu Gerakan maka suara lantang dan agresif perlu dilakukan bagi menarik sokongan masyarakat Cina. Adakah ini dipersetujui oleh PN?

Berlandaskan dengan isu ekonomi di sekitar kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan kelembapan pertumbuhan ekonomi domestik yang berlaku awal tahun ini. Ia menyebabkan sebahagian peniaga-peniaga dan pengusaha industri kecil sederhana mengalami penurunan pendapatan. Ini disebabkan permintaan domestik yang berkurangan.

Malahan saingan barangan dan produk dari China sedikit sebanyak mengurangkan lagi permintaan ke atas hasil produk milik kilang tempatan. Situasi ini dirasai oleh sebahagian masyarakat Cina yang terlibat dalam aktiviti ekonomi.

Permasalahan yang timbul di sebahagian kampung-kampung baru turut menjadi bebanan politik kepada parti Cina terutama DAP. Situasi keusangan kampung baru yang semakin dipinggirkan dalam arus pembangunan negara turut berkait rapat dengan soal sosio ekonomi masyarakat Cina.

Faktor penghijrahan belia-belia muda Cina ke bandar dan kurangnya impak limpahan ekonomi di sebahagian kampung baru mengakibatkan kampung baru kurang bernilai. Situasi ini turut dirasai apabila pembangunan dan penyediaan kemudahan kurang mendapat perhatian daripada kerajaan negeri meletakkan sebab kenapa penghijrahan belia-belia muda Cina ke bandar semakin bertambah.

Kekurangan guna tenaga dan kebolehupayaan dalam sektor-sektor tertentu seperti perkhidmatan, industri makanan dan perusahaan kecil sederhana menyebabkan dominasi ekonomi masyarakat Cina semakin merosot.

Akhirnya masyarakat Cina kini berada dalam dilema apabila sokongan politik yang diberikan kurang diterjemahkan ke arah kehidupan yang lebih baik dari segi sosio ekonomi. Kos kehidupan yang semakin meningkat menyebabkan ramai belia Cina kurang berkahwin dan jika berkahwin faktor anak dalam keluarga semakin mengecil berbanding generasi sebelumnya.

Kesan daripada isu-isu tersebut membuatkan masyarakat Cina perlu memikirkan soal kelangsungan hidup daripada kelangsungan politik. Walaupun begitu, masih ramai yang mengharapkan aspirasi sokongan politik diterjemahkan lebih bermakna.

Walaupun MCA ditolak kerana kurang mampu mereaslisasikan aspirasi masyarakat Cina. Tetapi pada hari ini, MCA masih mampu lagi bertahan dengan konsep mempertahankan kepentingan kemajmukan masyarakat tanpa meminggirkan masyarakat Cina.

Bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan masyarakat Cina berbanding masyarakat lain di negara ini. Ini disebabkan setiap tindakan dan kata-kata akan dijadikan kayu ukur dalam terjemahan sokongan politik masyarakat Cina terutama berkaitan dengan pendidikan, sosio ekonomi dan kelangsungan hidup.

Apabila dikaitkan dengan soal pendidikan, sebenarnya bukan semua ibu bapa masyarakat Cina bersetuju untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Bagi sebahagian besar, ibu bapa masyarakat Cina lebih mengutamakan kualiti pendidikan yang akan menentukan masa depan anak mereka.

Ini tidak menghairankan trend masa kini ramai ibu bapa masyarakat Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa atau sekolah persendirian yang mampu menawarkan kualiti pendidikan yang lebih bermutu.

Majoriti mereka ingin melihat anak-anak mereka mampu melanjutkan pendidikan di luar negara yang akhirnya mampu memberikan pekerjaan sekembali anak-anak mereka ke negara ini. Pandangan sebahagian ibu bapa masyarakat Cina adalah berbeza dengan pandangan masyarakat lain. Mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata melihat kejayaan masa depan anak-anak mereka.

Bukan disebabkan tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan tetapi apakah jaminan yang boleh diberikan setelah tamat tingkatan lima.

Ini menyebabkan terdapat sebahagian ibu bapa masyarakat Cina ada kalanya kurang menekan pada soal bahasa atau jati diri ibunda mereka apabila menyentuh mengenai soal pendidikan. Matlamat pendidikan yang dilihat oleh sebahagian masyarakat Cina adalah jaminan anak-anak mereka mampu melanjutkan pendidikan dalam pengajian peringkat universiti.

Konsep pandangan ini berbeza dengan masyarakat lain. Apa yang penting adalah hasil daripada pendidikan itu menjadi keutamaan. Situasi ini mendorong parti-parti politik Cina untuk mengambil ruang dan peluang bagi menarik sokongan politik. Saban masa, mana-mana parti politik Cina yang menjadi kerajaan perlu menekankan soal kerterjaminan kualiti pendidikan.

Kepimpinan politik masyarakat Cina mengambil masa yang lama untuk mematangkan sokongan politik. Bagi menjayakan kematangan politik ini perlu mempunyai suara yang lantang dengan idea yang bernas bagi meyakinkan masyarakat Cina.

Keyakinan ini selalunya diberikan kepada ketokohan pemimpin yang dikenali dalam media dan gerak kerja politik setempat. Tanpa ada ruang dan peluang untuk menonjolkan ketokohan pemimpin terutama pemimpin pelapis maka agak sukar untuk mendapat sokongan masyarakat Cina.

Mungkin ramai kurang tahu bahawa penilaian perbahasan di Parlimen sering kali menjadi perhatian sebahagian masyarakat Cina. Bukan mudah untuk berbahas di Parlimen tetapi tindakan tidak disusuli dengan apa yang dibahas di Parlimen.

Sentimen persepsi selalunya tidak menjadi keutamaan dalam soal pemilihan mana-mana parti semasa PRU berlangsung. Tetapi yang menjadi keutamaan adalah setiap isu yang berlaku, setiap situasi yang berlaku sama ada di Parlimen atau di luar Parlimen, setiap dasar dan peraturan yang dilaksanakan akan menjadi kayu ukur dalam sokongan politik. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN