MUKADIMAH
ADA yang kata kelincahan penyerang Harimau Malaya, FAISAL HALIM tidak kena dengan saiz badannya yang berketinggian 158 sentimeter dan berat cuma 58 kilogram.
Namun bagi anak kelahiran Pulau Pinang yang baru sahaja golnya dinobatkan sebagai Jaringan Gol Terbaik Piala Asia 2023 dalam perlawanan dengan Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Januari lalu berjaya menidakkan segala tanggapan negatif itu.
Ketika ditemubual oleh wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN dan dibantu juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI, Mickey mengakui kejayaan yang dicapai hari ini bukan semata-mata menerusi kerja kerasnya, tetapi juga hasil semangat berpasukan dalam setiap pertandingan disertai
UTUSAN MALAYSIA: Perkembangan baharu ketika ini?
FAISAL HALIM: Saya sedang menjalani latihan bersama Selangor FC sementara menunggu menyertai kem latihan Malaysia pada 8 Mac ini untuk kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Oman pada 21 Mac ini.
Apa perasaan selepas dinobatkan Gol Terbaik Piala Asia 2023?
Ini semua rezeki rakyat Malaysia yang mengundi saya sampai menang. Saya amat bangga, terharu dan lebih bersemangat untuk meningkatkan prestasi. Ini adalah satu permulaan yang baik untuk karier dan akan terus bekerja keras dalam perjuangan ini. Saya akan teruskan apa yang mampu untuk rakyat Malaysia dan kelab.
Adakah gol ini mampu ke Anugerah Puskas FIFA?
Saya tidak impi untuk Puskas. Untuk diri saya, saya akan buat yang terbaik walau di mana saya berada untuk Selangor FC atau pasukan kebangsaan. Saya tiada target sebab jika (letak) target akan merosakkan satu pasukan sebab kita bermain untuk pasukan. Saya buat apa yang mampu untuk bantu pasukan. Jika pasukan saya menang, saya (bermain) bagus, orang akan nampak. Kalau saya bagus, pasukan kalah, orang tak nampak juga.
Sebenarnya saya tidak pernah terbayang (dinobatkan Jaringan Terbaik Piala Asia 2023), tak pernah bermimpi pun, selepas perlawanan menentang Korea Selatan. Saya balik dengan senyuman walaupun kita tidak layak tapi sekurang-kurangnya perlawanan tersebut buat kita sedikit lega. Saya tak pernah mimpi jaringan saya itu diiktiraf. Bila dah keluar, masa itu rasa terharu apabila orang ramai banyak tag saya di Instagram dan Facebook, (dengan ucapan) tahniah Mickey, tahniah Mickey.
Sebagai manusia biasa, dengan ucapan tahniah itu kita sangat terharu, sangat bangga tapi bukan dengan pencapaian itu buat kita sombong, itu pada saya. Dengan ucapan tahniah itu, saya rasa akan menjadi lebih baik dan akan lebih bersemangat.
Bagaimana gol terbaik itu berjaya dihasilkan?
Pada saya benda itu sudah macam split second. Saya hanya habiskan apa yang saya ada. Apa yang pernah saya lakukan cuma ini di peringkat yang lebih tinggi, ia rezeki saya, orang nampak unik. Pada saya semua itu bergantung pada rezeki.
Yelah sebab gol, orang puji kita tapi jika sebaliknya, orang akan cakap lain kepada saya. Dia ini tamaklah, apa lah. Tapi dalam bola sepak, saya sebagai penyerang perlu ada sikap untuk menjaringkan gol.
Ketika itu, gol pun saya tak tengok, saya cuma nampak penjaga gol dan pertahanan (Korea Selatan) sahaja. Tapi saya tahu, saya sudah main bola, bila kita nampak line kotak kecil di mana, kotak besar di mana cuma ketika itu saya tak pasti ada orang ke tidak, saya hanya buat apa yang termampu.
Bagaimana anda seorang yang bertubuh kecil begitu lincah di padang berdepan pemain bertubuh besar dan tinggi?
Sekarang banyak dengar macam itu tapi dulu sebelum orang mengenali saya, banyak mulut-mulut kata saya tak boleh pergi jauh tapi saya buktikan dengan usaha saya sendiri. Apa yang saya buat untuk keluarga dan isteri. Ia hasil kerja keras sendiri. Setiap hari saya pergi bekerja (main bola), pergi latihan ibarat pergi bekerja, memang rutin harian.
Apa perkembangan Akademi Faisal Halim di Pulau Pinang?
Sekarang baru sahaja diluluskan dan buat masa ini tiada pelan untuk buka cawangan di negeri lain kerana terlalu sibuk walaupun orang nampak kita main bola dua jam sahaja.
Saya bila kerja, kerja betul-betul, bila rehat pun betul-betul.
Untuk Akademi Faisal Halim dengan kerjasama kerajaan negeri tinggal 10 peratus lagi untuk ‘jalan’. Kita akan melatih anak-anak di kawasan ini dan mereka akan terlibat dengan perlawanan. Ini adalah DNA Faisal Halim.
‘Saham’ anda semakin meningkat, banyak penaja seperti pakaian sukan berjenama popular dari Indonesia dan juga berlakon filem Harimau Malaya: Untold Story, bagaimana boleh terlibat?
Sebenarnya ia satu risiko sebab orang kenal kita. Pergi mana orang kenal. Orang tunggu satu silap. Apa 10 kebaikan (dibuat) ditutup terus. Silap itu akan menjatuhkan kita. Jadi, perlu berhati-hati dalam berbuat sesuatu, kena fikir banyak kali. Satu kesilapan akan mengubah nasib saya sebenarnya.
Bab berlakon, ini saya rasa nak bantu. Saya lebih suka hargai orang, bertemu dengan orang.
Adakah berminat dengan lamaran ke luar negara?
Sudah tertentu tapi saya tidak memilih pasukan. Bola sepak bukan boleh meminta-minta tapi saya juga perlu tengok faktor kelab dan gaji. Contoh, kalau saya perlu keluar kos yang banyak, baik saya kekal Selangor FC. Lagipun di Selangor FC tiada masalah. Saya hanya perlu jalankan tugas sebagai pemain dengan memberi kejayaan kepada kelab.
Di mana kedudukan anda lima tahun dari sekarang?
Pemain bola ini sukar nak diramalkan, ada turun, naik. Untuk jatuh senang, untuk naik pun senang tapi saya fokus buat yang terbaik. Saya masih ada lebih kurang tujuh hingga lapan tahun untuk push setinggi yang boleh. Tapi menjadi harapan dan impian untuk menyertai barisan kejurulatihan.
Saya mungkin maintain atau naik atau jatuh pun saya tak tahu tapi bola sepak ini, selagi kita mampu, selagi kita usaha, insya-Allah akan berjaya. – UTUSAN










