
Money yang dimaksudkan selain duit, meliputi jawatan besar dan kuasa (power). Sangat setuju jika kelas yang dimengertikan adalah karisma dari seseorang. Bersekali dengan ketertibannya, cara memperlakukan orang lain dan pandangan tinggi dan positif diterimanya.
Jadi, perlu senantiasa berhati-hati dengan perilaku atau tindak tanduk sebelum beraksi. Kita akur putar belit dan main wayang taktik biasa untuk meraih sokongan followers, baik di media sosial mahupun politik. Tetapi jangan sampai ketara `kurang cerdiknya, kebebalan dan rakusnya’. Yang teramat malang, sensasi dan kontroversi yang dilontarkan sudah ‘melekat’ bagaikan gam dalam fikiran ramai orang. Damage has been done.
Dan saya setuju baik pengarah dan pelakon filem, Rosyam Nor mahupun Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham perlu ambil iktibar atas momokan masing-masing berkisar isu ‘rumah pelacuran’ dan isu ‘mahkamah syariah’ yang tular baru-baru ini.
Hayati mendalam frasa money, power can’t buy class.
Lebih baik sebutir berlian yang cacat dari batu kerikil yang utuh

ORANG selalu kata lantaran Singapura kecil saiznya, maka mudah bagi pihak berkuasa mengambil tindakan dengan tegas dan cepat.
Boleh jadi betul begitu. Tetapi melihat dari dekat sistem yang dijalankan mendapati yang penting ialah budaya menghormati undang-undang diamalkan terus menerus. Mulanya rakyat agak liat menerima dasar tegas itu tetapi lama kelamaan dasar itu menjadi sebahagian cara hidup yang diterima pakai.
Siapa yang tidak kenal dengan `harimau berantai’ Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, pengasas Singapura moden.
Antara tindakan nekadnya selepas kemerdekaan republik itu pada 1963 adalah menutup sekolah-sekolah dan universiti Cina di Singapura. Kemudian menggantikannya dengan sekolah kebangsaan Inggeris di seluruh Singapura.
Universiti pula digantikan sebuah Universiti Cina dengan University Nasional Singapura berpengantar bahasa Inggeris.
Walaupun ini dilakukan serentak dengan penutupan sekolah Melayu dan Tamil tetapi menutup sekolah kaumnya sendiri yang merupakan majoriti di Singapura memerlukan keazaman dan keberanian untuk bertindak luar biasa – kemungkinan menghadapi risiko kekacauan dan rusuhan besar.
Untuk menghapuskan Universiti Cina dalam tahun 1980, Nanyang University dipaksa bergabung dengan University Singapore bagi mewujudkan National University of Singapore.
Orang India Singapura menangis apabila sebuah sekolah menengah Tamil tertua di Singapura ditutup dalam tahun 1982 kerana sekolah ini merupakan benteng terakhir bagi bahasa Tamil di Singapura. Mereka telah membinanya pada 1946 menerusi darah, keringat dan air mata dan mengadakan tabung sumbangan bulanan bagi penyelengaraannya.
Kebanyakan mereka ialah penjual akhbar Tamil yang melihat penutupan itu bererti gelaplah masa depan bahasa Tamil.
Apa yang mereka takuti benar benar berlaku di Singapura waktu itu. Lapan minggu selepas perpisahan dari Malaysia dalam Oktober 1966, Dewan Perniagaan Cina yang disokong oleh kesatuan guru-guru Cina, pengarang-pengarang akhbar Cina dan pemimpin-pemimpin berbagai-bagai persatuan suku kaum Cina mendesak kerajaan Singapura memberikan jaminan untuk menjadikan bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi di Singapura.
Belum pun kempen ini bermula, Kuan Yew telah mencantasnya dengan memberitahu mereka bahawa semua bahasa utama di Singapura mempunyai taraf yang sama walaupun sebenarnya pada masa itu beliau memang telah bercadang untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.
Lima hari selepas pengumuman itu, dengan tujuan untuk menakutkan pejuang-pejuang bahasa Cina yang mewakili empat dewan Cina, Kuan Yew memanggil dan memberi amaran kepada mereka di bawah suluhan cahaya lampu televisyen bahawa beliau tidak akan membenarkan sesiapa juga mengeksploitasi bahasa Cina sebagai isu politik. Dengan itu tamatlah suatu percubaan untuk mengangkat martabat bahasa Cina. Pada 1987 bahasa Inggeris secara rasmi menjadi bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan di Singapura. Tidak ada lagi sekolah Cina, Melayu dan India. Aliran pemikiran pendidikan Inggeris telah meruntuhkan sentimen perkauman, merasionalisasikan sikap, mengawal pengucapan dalam masyarakat berbilang kaum dan menjadi benteng pertahanan kepada masyarakat ‘Singaporean Singapore.’ Selepas merdeka, kerajaan Malaya juga telah memperkenalkan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan meningkatkan taraf sekolah kebangsaan pengantar Melayu ke peringkat menengah dan universiti di samping mengekalkan sekolah aliran Cina dan Tamil di peringkat rendah sahaja.
Begitu rentetan kisah yang berlaku di Singapura suatu ketika.
Apabila isu-isu semasa di Malaysia yang masih diselubungi sekali-sekala atas desakan puak cauvinis hari ini termasuk mencampuri urusan agama Islam, kita akui ramai terkilan.
Di Indonesia, walaupun negara itu mempunyai etnik minoriti Cina yang berjumlah besar, negara itu menerapkan sistem sekolah aliran tunggal yang menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa tunggal untuk pengajaran.
Di bawah rejim bekas presiden Suharto, kerajaan menghalang budaya Cina ditonjolkan termasuk nama yang berbunyi Cina bagi menyerapkan identiti Cina dengan identiti Jawa-Melayu, penduduk majoriti Indonesia.-UTUSAN









