Benarkah Melayu senasib dinasour, diancam sosialistik?

Benarkah Melayu senasib dinasour, diancam sosialistik?

IKTIBAR DARI SEJARAH….Tanah Melayu kehilangan Singapura yang dikepalai Lee Kuan Yew (bersongkok, gambar kiri) pada 1965 satu hal, tetapi kita tidak mahu belajar dari peristiwa itu. Kira-kira empat dekad atau 43 tahun selepas itu, kita hilang lagi hak Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca (gambar kanan) kepada Singapura. Itu berlaku pada 2008 menerusi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Semakan dan pentafsiran penghakiman kes kedaulatannya pun ditarik balik oleh Kuala Lumpur beberapa hari sebelum bicara kes di ICJ, 11 Jun 2018
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA pihak menguar-uarkan bangsa Melayu akan ‘hilang’ dalam 10 tahun lagi. Katanya konon ‘akan ditawan oleh bangsa lain’.

Bahkan ada pula lagi menokok tambah melontarkan kepada saya komentar bahawa ‘kuasa majoriti Melayu kini sudah berpindah ke kumpulan sosialistik’.

Lantas saya bertanya balik maksudnya itu? Itu ‘istilah’ baharukah? Dakwa mereka, ‘kumpulan sosialistik’ ini berteraskan ‘prinsip sama rasa, sama rata sehinggakan perjuangan hakiki dan tradisional tampak tidak lagi relevan’.

‘Perjuangan tradisional’ pula merujuk kepada perkara-perkara berkait hak keistimewaan orang Melayu dan yang terkandung dalam Perkara 153. Saya tidak ingin komen sejauh itu. Namun mahu menarik perhatian kepada soal ketuanan Melayu yang perlu direnung sejenak oleh orang Melayu untuk dirintis dan dikupas sebaik-baiknya dalam era sekarang.

Realiti hari ini orang Melayu nampaknya tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada konsep ketuanan kerana ia lebih kepada perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Seperti mana yang saya selalu tekankan – laungan ketuanan Melayu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.

Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung dalam peruntukan 153 Perlembagaan atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti daripada 1.7 juta orang adalah Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi – ini semua belum mampu menjamin kekuatan semula jadi. Jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri.

Nasib orang Melayu ada di tangan orang Melayu. Kita tidak jadi `tuan’ dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi ‘tuan’ jika berani bertindak, sanggup menghadapi risiko, berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.

Penafian hakikat yang nyata dan benar tidak akan menghasilkan apa-apa. Hanya dengan mengakui kita mempunyai masalah yang besar dan kita bertindak untuk mengatasi masalah itu, barulah dapat kita tebus balik maruah kita. Orang Melayu perlu menghindari imej yang melemahkan perjuangan dan pada masa sama bertindak apabila Melayu dicerca oleh politik luaran.

FAKTA SEJARAH

Fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu adalah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu. Ia sama seperti India adalah negeri orang berketurunan India, Arab di Asia Barat dan seperti China dinamakan sedemikian lantaran bangsa Cina yang mendiami negara itu.

Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini. Daripada aspek ekonomi, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera harus dilengkapi dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan. Adakah ekonomi bumiputera kini melebihi paras 30 peratus dari segi perolehan aset? Dan malangnya, bumiputera masih dikatakan berada di tahap kurang 20 peratus? Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap? Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib lain. Sebagai warga Malaysia, tidak salah jika cita-cita politik ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi.

Dari sudut politik, jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini kurang berjaya memperjuangkan kaedah dan mekanisme penyampaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun daripada segi pembangunan, banyak kemajuan telah tercapai. Justeru orang Melayu perlu menolak nisbah “sekurang-kurangnya 30 peratus” dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh bumiputera.

Mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia harus dijadikan bahasa ilmu. Bukan setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjalankan usaha pemantauan dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan dengan segera.

TUAN SEBENAR

Realitinya, kita panggil diri kita ‘tuan’. Tetapi kita tidak tuan sepenuhnya. Kita boleh jadi tuan dengan erti kata yang bermakna jika orang Melayu berkebolehan dan berjaya dalam bidang ekonomi dan sosial juga. Ini boleh dihasilkan jika kita sanggup tuntut ilmu dan segala kemahiran di zaman teknologi tinggi. Tetapi kita amat kurang berusaha ke arah ini. Kita lebih suka cari jalan mudah. Biar sahaja orang bekal segala-galanya kepada kita.

Hari ini kuasa politik pun sukar dijamin tidak akan terlepas ke tangan orang lain. Sebilangan orang Melayu pun kelihatan tidak menghormati institusi-institusi Melayu. Ada yang dianggap sebagai hak istimewa orang Melayu disoal dan dicabar. Dan orang Melayu tidak berbuat apa-apa untuk menangkis semua ini dan mengukuhkan kedudukan mereka. Sebaliknya mereka meminta-minta orang tertentu mempertahankan kedudukan orang Melayu.

Ada andaian mengatakan orang Melayu akan senasib dinasour. Kalau benar lenyap 10 tahun akan datang ini bermakna nikmat kemerdekaan hanya sempat dikecapi kurang 100 tahun. Maka kalau begitu telahannya, sesuatu perlu dibuat terhadap Perkara 153?

Siapa yang bertanggungjawab? Rajakah, parti politik, kerajaankah atau inisiatif orang Melayu itu sendiri? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN