Tiga kelompok pengundi Melayu, terserah sang pencaturnya…

Tiga kelompok pengundi Melayu, terserah sang pencaturnya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK ketika saya jatuh kesian dengan sebilangan calon VIP yang mengharap jalan pintas untuk menang pilihan raya umum lalu.

Habis diusung berkereta sana sini siang malam oleh sang runner bertemu pengundi sepanjang kempen. Berapa ratus mencecah ribu tangan yang disalam, dijabat, itu dianggap konon tanda aras satu undi buatnya.

Sayang sekali duit habis begitu sahaja buat program, majlis dan perkumpulan kecil-kecil. Pakai hemoi turun padang tanpa big data. Duit turun banyak. Disapu sang runner. Sikit-sikit saja ditabur pada dua, tiga kelompok pengundi.

Akhirnya datang hari penentuan 19 November 2022, hasilnya dapat kelabu asap belaka.

Realitinya, bukan sahaja calon pilihan raya, bahkan orang kerajaan sehinggalah ke pak menteri, sukar baca kehendak pengundi. Apalagi sebahagian besar orang kita.

Demografi pengundi gagal dinilai sampai diri ‘ke laut.’ Cuma harapkan seorang dua runner, diri tidak ke mana haluan politik.

Barang diingat, daripada 21 juta pengundi yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya, kira-kira 60 ke 70 peratus tetap gemarkan gosip, persepsi dan dambakan kontroversi. Untuk mereka dapatkan fakta sebenar, malas. Fikiran mahu jalan pintas belaka. Sebab itu TikTok merajai kehidupan.

Sentimen pengundi kategori ini sukar dibaca oleh mana-mana ahli politik, sekalipun untuk meraih sokongan. Apa lagi jika ahli politik atau calon pilihan raya itu seorang intelektual, ahli korporat atau bekas pegawai tinggi kerajaan. Amat sedikit atau jarang-jarang jawab Allahyarham P. Ramlee untuk mereka yang berprofil tinggi ini boleh tajam dan berkilat bila masuk bertanding pilihan raya.

KERETA TERBANG, PELANCAR ROKET

Kalau bahan kempen dibawa sampai ke isu kereta terbang atau tapak pelancar roket satelit, yang masa ini pula rakyat terbelenggu terhimpit tersepit kos hidup menggila, pasti menjadi ‘bahan’ selamanya.

Sebahagiannya yang ramai ini, nasib tidak menyebelahi. Tamsil pisau berkarat tadi menusuk badan sendiri ke dalam arena gelap.

Bila masuk ke satu lagi kategori pengundi yang ini – menengah Melayu yang kini kian membesar, kelihatannya mereka tidak perlukan data saintifik untuk dibuktikan sehingga dipangkah atas kertas undi. Yang dipentingkan – kewibawaan pimpinan.

Kategori pengundi ini tidak cenderung kepada retorik seronok sendiri. Politik pembangunan, bina sana sini kemudahan asas tidak lagi berfungsi jadi tarikan khas.

Dan satu lagi kategori pengundi kelas tinggi, tidak ramai kumpulan ini. Sudah pasti mereka perlukan kajian empirikal serta data saintifik untuk dibuktikan mengapa perlu dipilih calon tempat mengundinya. Cuma sayangnya mereka ini tidak ramai.

Jika begitu kilaunya, elok dirumuskan begini – orang politik, orang kerajaan, orang korporat dan rakyat amnya perlu ada ketetapan dalam menentukan pilihan siapa calon atau menteri yang layak menganggotai Kabinet.

Jika tidak, kita selamanya di bumi bertuah Malaysia ini akan terus dihidangkan dengan gelagat sebilangan sang politikus – yang tangan kanannya petik membina, tetapi tangan kirinya pula ‘mengoyak dan merosakkan.’ Sebahagian besar rakyat terutama kategori 70 peratus pengundi disebutkan tadi, kurang tahu mana pokok yang berputik. Tetapi ikut hala sebilangan politikus ini, mereka gegarkan pula dahan, musnahkan yang sedang berbunga dan berputik. Justeru merosakkan harapan besar rakyat.

Naratif pemain-pemain kerajaan perpaduan hari ini, yakni Kabinet perlu disusun cantik. Tetapi motifnya harus jujur dalam penyelesaian masalah.

Tidak boleh dipersalahkan sesiapa di luar kerajaan 100 peratus jika kita sendiri selaku pembuat dasar ‘tidak faham, sengaja enggan memahami atau sememangnya tidak tahu’ situasi permasalahan hidup hari ini. Sama ada berkait soal-soal periuk nasi, sara hidup, agama dan penyelewengan, komitmen dan daya juang, memperjelas menyangkal dan mempengaruhi perlu ada dalam diri para pembesar kerajaan.

MUSLIHAT

Harus berpijak di bumi nyata – musuh politik akan senantiasa menyerang. Tidak kira mereka bercakap separuh benar, separuh fakta; manipulasi isu dan meroketkan persepsi, mencetus kontroversi, asalkan matlamat halalkan cara.

Mana-mana pihak yang memimpin kerajaan sejak 9 Mei 2018 sudah bertembung dan melalui cabaran tipu muslihat dan taktikal ‘penjatuh’ kerajaan. Soalnya, bijak atau licik, cerdik atau ‘polos’ kita ini mengendalikan isu dan persepsi.

Siapapun yang memiliki kuasa politik hari ini, survivalnya bergantung kepada tindak tanduk politiknya sendiri. Maksudnya – ke arah politik bersandarkan sentimen dan perasaan orang ramai selain ketokohan dan keupayaan pimpinan seseorang.

Selagi orang ramai dapat menghayati dan berasa diperintah dengan jujur dan bermanfaat, selama itulah politik sesuatu kumpulan, waima pemimpin itu sendiri diterima dan disokong.

Pemimpin mesti ada iltizam politik yang berani. Diakui, proses ini lebih mudah dikatakan, tetapi sukar dipraktikkan. Tiada pensyarah politik, walau bagaimana melangit sekalipun ilmu kajian sains politik yang dipelajarinya, yang upaya mengajar ilmu politik sedalam dan seluas pengalaman yang telah dialami oleh seseorang pengamal politik.

Kepada pemain-pemain politik, tidak kira parti mana – pastikan nama anda bersih sehingga pengakhiran jawatan.

Sekurang-kurangnya kalau bukan rakyat, ia untuk diingati oleh anak cucu. Kalau sudah sampai memasuki usia 60 tahun atau 70 tahun, tetapi masih bertunggu tangga naik turun mahkamah, di kala rakan sekampung seangkatan tekun ke surau, masjid, berpegangan tangan menawaf Baitullah, apa lagi hendak dikatakan.

Dan yang paling penting – pesanan untuk pengundi ini:

Tolak yang kaki temberang. Pilih Yang Berkhidmat (YB), bukannya Yang Berhormat.

Seterusnya impaknya untuk manfaat hari ini dan kemudian hari anak cucu cicit kita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN