JENUH, sudah penat kita rakyat dengar maklumat-maklumat yang salah tafsir ini.
Berjuta maklumat di luar sana. Sepatutnya harus cerdik untuk tapis dan periksa faktanya. Akibat salah faham atau salah tafsir satu-satu maklumat, risikonya boleh haru-biru, huru-hara hidup seseorang. Bagi sebuah negara, akibatnya lagi dahsyat hingga boleh tumbang kerajaan.
Kita cukup maklum orang Melayu tahap sensitivitinya sukar diduga. Kaum majoriti ini miliki perasaan halus. Mudah terasa, senang tersinggung dan serba sederhana dalam kehidupan.
Orang Melayu timbang rasanya tinggi. Corak kehidupan lebih banyak bertolak ansur khususnya dalam kehidupan bermasyarakat.
Sifat orangnya merendah diri. Pemalu, tidak suka menunjuk-nunjuk dan lebih mengutamakan orang lain. Kebudayaan orang Melayu lemah lembut, sopan santun dan dilingkungi oleh adab yang diwarisi secara turun-temurun dan menjadi pegangan hidup. Suka contoh dan teladan yang baik, antaranya menegur, membanding dan menyanjung untuk tujuan mendidik.
Hormatnya tinggi kepada golongan berilmu tinggi. Orang berilmu menerima sanjungan oleh kerana daya keintelektualan yang maju.
Tidak dapat tidak juga orang Melayu suka berkias, gemar sindiran serta perumpamaan tidak berterus terang. Sistem komunikasi apabila berhubung dengan orang lain lebih banyak gunakan kiasan, ibarat, kata-kata berlapik dan tidak berterus terang.
Benarkah apa yang diolahkan itu? Ada yang kata tidak begitu sebab sekarang era teknologi maklumat yang menggila. Era viral. Berterus terang sahaja, terus kepada tajuknya.
Namun begitupun, masih ramai dari yang ramai orang Melayu memiliki adab sopan dihuraikan panjang lebar tadi. Naratif diadunkan, sebelum penyelesaiannya.
Sebab itu orang Melayu jangan sesekali membiarkan adab kesopanan yang dimiliki diinjak-injak oleh pihak yang mahu memerangkap dan memanipulasi pemikiran mereka.
BOM
Pernah di masa lepas rakyat diuar-uarkan Malaysia sedang menuju ke arah negara yang gagal. Pemimpin terbabit dan partinya bercakap nada sama sejak tahun 1960-an lagi. Bahkan pada akhir 1970-an dia turut menulis sebuah buku berjudul Bom Jangka di Malaysia dengan dia memberi amaran kononnya Malaysia akan bankrap dan menjadi negara gagal tidak lama lagi. Demikianlah tahun-tahun seterusnya sehingga 2018 menjadi tahun ke-40 bagi tuduhan daripada pemimpin terbabit kononnya ‘bom jangka’ dikatakan meletus.
Cerita Malaysia hendak bankrap ini kisah lama. Kalau diikutkan sangat fitnah dan dakyah yang berlegar, Malaysia sudah pun bankrap pada akhir Oktober 2016 lagi. Yang hairannya agak ramai mempercayainya. Padahal, ekonomi negara, bahkan ekonomi dunia mempunyai kitaran naik turunnya.
Sepertimana halnya pada 1998, negara mengalami krisis kewangan sangat dahsyat dengan pertumbuhan ekonomi negara di tahap negatif. Banyak perniagaan gulung tikar. Ringgit jatuh mendadak dan rakyat hilang kerja. Sepuluh tahun kemudian dunia kembali diasak krisis ekonomi yang juga mengakibatkan ekonomi negara menyusut. Tetapi Malaysia tetap bangkit dari kejatuhan itu.
NAFSU SERAKAH
Sesekali teringat ungkapan ahli falsafah ulung Yunani, Plato (427 SM-347 SM): “Sayugianya, seorang ahli politik itu lahir dari manusia ‘kepala’, bukannya manusia ‘dada’, apa lagi ‘perut.’”
Huraiannya – ‘manusia kepala’ adalah orang yang baik, bijak dan lebih mementingkan isi daripada aspek pembungkusannya.
‘Manusia dada’ – mereka yang lebih menonjolkan kekuatan fizikal, laparkan publisiti dan kekuasaan.
Dan ‘manusia perut’ pula lebih mementingkan nafsu serakah.
Diakui, ikut mana pun, aspek pemikiran seseorang tetap terasas dan bergantung kepada pendidikan yang kukuh, lagi mantap dari segi keilmuan.
Kesungguhan mencari yang benar dan berhakikat membina kesaksamaan.
Maka, memasuki tahun baharu 2024, apabila kita mendengar satu-satu isu – selidiklah dahulu, nilaikan, sebelum mengesahkan kesahihannya.
Bak kata pepatah Inggeris One swallow does not make a summer (Takkanlah kerana seekor burung lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba?)
Atau peribahasa Melayu menyebut: Janganlah kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. – UTUSAN