PERIBAHASA Melayu ada berkata, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika mahukan sesuatu, seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan apa yang dimahukannya tercapai.
Peribahasa ini sepatutnya digunakan dalam cara yang positif bagi mencapai hajat dan cita-cita. Namun bagi ahli politik kita, mereka memanfaatkan prinsip peribahasa ini untuk mencapai apa yang mereka kehendaki walaupun ia melanggar prinsip dan integriti.
Kerana mahukan habuan sama ada untuk kawasan parlimen masing-masing, untuk pengundi atau bagi manfaat diri sendiri, mereka berusaha mencari ruang dan peluang supaya tindakan yang diambil terlepas daripada apa juga bentuk hukuman yang akan menjejaskan mereka.
Dalam bab ini, orang politik kita memang kreatif. Mereka kreatif mencari helah dan kreatif memanipulasi sistem demi kepentingan.
Tetapi seperti biasa, bagi pemain-pemain politik ini, semua yang dilakukan bukan untuk mereka, tetapi untuk rakyat terutamanya pengundi di kawasan mereka. Inilah ayat-ayat klise yang dipertuturkan bagi menghalalkan perbuatan.
Dalam politik, memang menjadi hak setiap individu itu memilih untuk menyokong siapa dan parti mana. Sebab itu berlaku perbuatan lompat parti. Bertanding dan menang pilihan raya atas tiket parti lain, kemudiannya melompat ke pihak lawan.
Bagi membendung perbuatan tidak berprinsip dan tidak berintegriti ini, maka Akta Lompat Parti digubal, dilulus dan dilaksanakan.
Akta itu berjaya menghentikan episod lompat-melompat, tetapi ia tidak cukup komprehensif bagi menangani mereka yang berubah sokongan.
Itu yang berlaku kepada empat Ahli Parlimen Bersatu yang beralih untuk memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Memberi sokongan kepada mana-mana individu sebagai Perdana Menteri adalah hak prerogatif mana-mana Ahli Parlimen. Sebab itu, apabila dirasakan seseorang Perdana Menteri sudah hilang sokongan Ahli Parlimen, maka undi tidak percaya akan dilakukan.
Tetapi, sebagai seorang yang bertanding dan menang pilihan raya atas tiket parti pembangkang, tetapi kemudiannya beralih arah memberi sokongan kepada pihak yang sebelum ini adalah lawannya, maka ia dianggap sebagai tidak beretika dan tiada integriti.
Dalam hal beralih sokongan ini, tindakan mengosongkan kerusi Parlimen berkenaan tidak boleh diambil. Sebab, wakil rakyat terbabit tidak lompat parti.
Inilah yang dikatakan kreativiti dalam memanipulasi sistem, undang-undang dan peraturan. Ada kelompongan dalam akta berkenaan yang telah dimanfaatkan oleh ahli parlimen terbabit.
Macam mana kelompongan ini boleh wujud? Tidakkah ia telah dibincangkan secara terperinci untuk setiap parti politik di semua peringkat?
Jawapannya, semua perkara, semua kemungkinan sudah dibincang, dibahas dan diketengahkan.
Tetapi biasanya, ada parti yang merasakan jika semua elemen itu diterima dan dimasukkan ke dalam akta berkenaan kemungkinan mereka akan hilang kelebihan.
Sebab itu, ada yang menolak draf awal undang-undang antilompat parti berhubung elemen mana-mana ahli parlimen yang ingkar arahan parti dan tidak mengikut arahan ketua whip dianggap sebagai keluar parti dan berlaku kekosongan kerusi, dilihat ‘memakan diri’ parti tersebut.
Perkara ini didedahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Sebab itu, tindakan empat wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar tidak dianggap keluar daripada parti itu di bawah undang-undang antilompat parti yang baru diwartakan itu.
Ini adalah kelompongan disengajakan atau dibenarkan yang akhirnya memakan diri. Berdasarkan penjelasan Dr. Wan Junaidi, draf awal undang-undang itu mempunyai tiga elemen utama iaitu ahli parlimen keluar parti, ahli parlimen dipecat daripada parti dan ahli parlimen Bebas menyertai mana-mana parti.
Bagaimanapun, wakil Perikatan Nasional yang menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti menolak elemen ahli parlimen dipecat daripada parti walaupun mendapat sokongan wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Akibat bantahan itu, draf awal undang-undang tersebut dipinda. Disebabkan itu, undang-undang antilompat parti yang dilaksanakan sekarang hanya tinggal dua elemen iaitu ahli parlimen keluar parti dan ahli parlimen Bebas menyertai mana-mana parti.
Sebab itu, Bersatu tidak memecatkan wakil rakyat mereka yang beralih arah memberikan sokongan kepada Anwar kerana ia hanya akan memberi ruang untuk mereka menyertai kerajaan tanpa kehilangan kerusi yang dimenangi.
Apabila ada kelompongan, ahli politik kita sekejap sahaja akan memanfaatkannya. Dari segi kerajaan dan politik nasional, sokongan empat wakil rakyat Bersatu menjadikan kerajaan dan suasana politik lebih stabil. Tetapi, bagi pembangkang terutama Bersatu, ia adalah satu kerugian terutama ketika mereka sedang bersungguh-sungguh untuk kembali menjadi kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekitar tiga tahun lagi.
Inilah realiti politik.Guballah peraturan, akta atau undang-undang macam mana sekalipun, tetap akan ada individu yang mencari helah demi mencapai kehendak dan keperluan peribadi mereka.
Kreativiti mereka ini kadang-kadang tidak tercapai dek akal. Tidak boleh melompat, mereka menggunakan taktik menyokong. Adakah perbuatan itu direstui oleh pengundi yang memilih mereka? Jawapannya hanya akan diketahui pada PRU16.
Yang rugi adalah parti yang meletakkan mereka sebagai calon pada pilihan raya umum yang lalu.
Tetapi bak kata orang politik, dalam berpolitik ini tidak ada kawan atau lawan yang kekal. Hari ini kawan esok boleh menjadi lawan.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










