Duduk di KPDN perlu ada jiwa rakyat – Fuziah

Duduk di KPDN perlu ada jiwa rakyat – Fuziah

fuziah
FUZIAH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SOAL harga barang terutama keperluan asas antara perkara yang tidak boleh dipandang remeh’ dan sentiasa dekat di hati rakyat.
Pelaksanaan dasar dan keputusan berhubung perkara ini memberi implikasi kepada lebih 32 juta rakyat Malaysia.
Malah tanggungjawab yang dipikul kerajaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) amat berat serta mencabar terutama dalam ketidaktentuan ekonomi serta kejatuhan nilai ringgit.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, FUZIAH SALLEH bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu jurufoto, FAISOL MUSTAFA dan ZUID SAMSON.

FAKTOR LUAR KAWALAN

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Yang Berhormat (YB) berdepan dengan cabaran memegang portfolio yang sering kali menjadi tumpuan terutama berkaitan isu harga barang?
FUZIAH: Daripada sudut pandangan peribadi saya, ‘duduk’ di kementerian ini perlu ada jiwa rakyat. Sebabnya, bangun tidur terus ada isu-isu yang dekat dengan rakyat. Isu telur, beras atau gula sebagai contoh. Malah cuti pun orang kejar termasuk wartawan untuk mengetahui hal-hal semasa.
Namun begitu, setiap kementerian ada cabaran masing-masing. Apabila mengurus masalah rakyat secara terus kita perlu cepat bertindak kerana ia penting walaupun ada kekangan seperti peruntukan.
Ada isu harian yang perlu ditangani dan memerlukan tindak balas cepat. Kita dalam masa sama, mesti lihat ia sebagai satu peluang untuk memberi sumbangan kepada rakyat secara terus. Kebetulan saya sebelum ini aktif sebagai aktivis dan pada saya ini adalah kesinambungan daripada apa yang telah saya buat dahulu.
Daripada segi polisi dan perubahan dasar pula, ada banyak faktor di luar kawalan kita. Kadang-kadang rakyat mengharapkan kita kawal segala-galanya tetapi mereka tidak faham pasaran bebas ekonomi dan rakyat jangka kita boleh kawal semuanya.
Ada juga yang masih tidak memahami faktor seperti permintaan dan penawaran, global, perang dan perubahan iklim. Jadi, inilah yang dikatakan luar kawalan. Itu belum lagi isu lain seperti mogok membabitkan pengangkutan sehingga bekalan terjejas dan dalam masa sama terus kata bekalan terjejas, walhal isunya sebab mogok serta pengangkutan.

HARGA AYAM MAHAL, JANGAN MAKAN AYAM?

Adakah kementerian berdepan tugas sukar bagi memastikan harga ayam berada paras munasabah walaupun selepas subsidi ditarik?
Dalam pasaran ekonomi terbuka ada banyak pemain. Ada penternak, pemborong dan peniaga. Justeru terdapat banyak faktor di sepanjang rantaian itu.
Sebagai contoh anak ayam, makanan ayam, reban atau pengangkutan. Ini semua menjadi penentu kepada harga pasaran. Itu belum lagi soal kartel yang mungkin ada pakatan. Jadi, dalam situasi ini paling penting adalah penentu kepada ‘permainan’ atau game changer iaitu pengguna. Kalau pengguna itu seorang yang tahu hak, pasaran dan tahu yang dia ada kuasa hendak tentukan harga pasaran, mereka boleh tetapkan permintaan dan pengeluar akan ikut nanti.
Sebagai contoh kalau pengeluaran sikit dengan harga ayam yang mahal tapi pengguna masih mahu makan ayam, maka sudah tentu naiklah harganya nanti. Sebab itu, pengguna perlu diberi pemahaman dan tahu tentang kuasa mereka agar dapat memainkan peranan nanti. Cuma ada segelintir pengguna yang mengharapkan kerajaan. Dia kata kalau harga ayam naik kerajaan perlu turunkanlah.

Bagaimana sikap pengguna di negara ini berbanding negara lain. Adakah ia antara faktor harga sukar dikawal?
Setakat ini kita sudah melaksanakan kaji selidik berkenaan indeks kuasa beli dan kalau dilihat dalam aspek pengguna di negara ini, ia berada pada paras sederhana.
Kesedaran berkenaan tebus rugi juga sederhana. Jadi, mungkin daripada situ kita boleh baca pengguna ada yang dikategorikan kefahaman tinggi. Tapi secara purata pada tahap sederhana.
Kadang-kala ada menteri cakap kalau ayam mahal jangan makan ayam.Tapi, sebenarnya itulah mesej daripada menteri bahawa pengguna sebenarnya boleh jadi game changer. Namun ia selalu disalah ertikan.
Sebab itu, saya berhati-hati untuk menggunakan ayat sebegitu kerana pengguna tidak faham bahawa itu hak dan kuasa untuk membuat keputusan.
Penawaran itu akan mengikut kepada kehendak pengguna. Tetapi hendak sampai ke satu tahap pengguna sedar berkenaan kuasa beli, kita masih tidak sampai lagi ke tahap itu.

BARANGAN TIRUAN

Setakat ini sejauh mana usaha kerajaan dalam menangani isu barangan tiruan yang kini banyak dijual terutama di laman media sosial?
Kita sememangnya bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan. Mereka beri kerjasama. Tetapi dalam kes barangan tiruan kita tidak boleh ambil tindakan melainkan pemiliknya yang membuat aduan dan bekerjasama.
Ini disebabkan KPDN tidak mampu untuk membuktikan sama ada barangan berkenaan tiruan atau asli. Jadi, apa­bila pemilik buat aduan kita akan ambil tindakan kerana ia di bawah hak empunya jenama. Namun daripada segi pemantauan, kita bekerjasama dengan pasar raya dan peniaga untuk pantau keadaan.

Berapa banyak jumlah tangkapan dibuat terhadap pihak yang terlibat dalam penjualan barangan tiruan untuk pertengahan tahun ini?
Setakat ini, kita telah mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 berkaitan operasi barangan tiruan dengan kerjasama wakil atau pemilik cap dagangan berdaftar yang menghasilkan sejumlah 341 kes dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM12 juta yang turut melibatkan 60 kes tangkapan dalam tempoh bermula Januari 2023 hingga Oktober 2023.

Adakah terdapat kawasan hot spot (kawasan panas) bagi aktiviti penjualan barangan tiruan?
Selalunya kita fikir bahawa kawasan panas itulah yang perlu diberi tumpuan. Tapi untuk pengetahun, pernah berlaku ada barangan tiruan di pusat beli-belah terkemuka. Jadi, kita sebenarnya tidak boleh terperangkap.
Dalam isu ini, masalahnya pembeli tidak tahu untuk membezakan tulen dan tiruan. Yang tahu, adalah empunya jenama.
Bagi saya daripada sudut kehadiran penguat kuasa KPDN di kawasan tertentu sedikit sebanyak membantu bagi menangani masalah ini. Kekerapan penguat kuasa turun memantau menjadi faktor mengawal penjualan barangan tiruan secara berleluasa.Kita tiada kepakaran untuk mengenal pasti barangan tiruan kerana yang ada (barangan tiruan) di pasaran hampir sama yang tulen. Ini termasuk di pusat beli-belah terkemuka.
Bagaimanapun sekiranya ada maklumat berkaitan tempat penyimpanan, pembuatan dan pembekalan barang tiruan di dalam negara, kita sangat dihargai dan aduan boleh dibuat secara dalam talian iaitu di https://eaduan.kpdn.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar EzADU KPDN di Google Play atau App Store.

TENGOK KOS SARA HIDUP

Setakat ini berdasarkan tinjauan YB dan KPDN secara keseluruhan adakah berpuas hati dengan harga barangan semasa dan barangan kawalan?
Apa dan bagaimana takrifan berpuas hati itu? Ia bukan sebab harga barang semata-mata. Kita perlu tengok pada kos sara hidup. Apa takrifan kos sara hidup? Kos sara hidup ini apabila pendapatan seseorang itu ditolak kepada keperluannya secara keseluruhan dan seandainya ada lebihan daripada pendapatan, barulah kita tahu bahawa dia berjaya menangani kos sara hidup.
Dalam keadaan yang mana pendapatan itu tidak meningkat sebagaimana kita inginkan, tetapi harga barang naik, sudah tentu ia (pendapatan) menjadi defisit.
Maka dalam keadaan ini, kita boleh kata seseorang itu sukar menangani kos sara hidup yang terdiri daripada enam kategori iaitu tempat tinggal, makan minum, pengangkutan, pendidikan, utiliti dan kesihatan.
Sekiranya seseorang itu dalam keadaan anaknya ramai sudah pasti kos sara hidup meningkat. Itu belum lagi kalau dia menjaga emak atau anak yang sakit atau lain-lain. Begitu juga perbezaan antara duduk di luar atau dalam bandar. Kos sara hidup berbeza. Banyak faktor yang perlu diambil kira dan ia yang akan menentukan kos sara hidup seseorang.
Jadi, kalau hendak kata saya berpuas hati, ada banyak benda yang boleh dan mahu saya lakukan. Bagaimanapun kalau ada faktor-faktor lain di luar kawalan, bagaimana hendak kata saya berpuas hati? Saya hanya boleh lakukan sekadar yang mampu.
Kita perlu sentiasa ingat apabila bercakap soal kos, KPDN selalu menjaga di hujung rantaian di sebalik enam faktor yang saya katakan tadi.
Maksudnya, kami tiada kuasa untuk menentukan berapa subsidi telur atau ayam. Ia di luar bidang kuasa kami. Begitu juga dengan bekalan. Kalau tiada (bekalan) kami yang kena marah nanti. Itu maksud saya bahawa kita menjaga di hujung rantaian dan ia antara yang kita perlu hadapi.
Malah kita tidak boleh kawal harga tanpa melihat kepada keberadaan bekalan sesuatu barangan. Kita perlu mengimbangi kepentingan peniaga dan pengguna yang merupakan stakeholder penting pada kita.
Sebab itulah, sebelum sesuatu skim kawalan dilaksanakan, KPDN mengadakan libat urus dengan pelbagai pemain industri dan persatuan bagi memastikan tiada gangguan kepada bekalan kerana isu bekalan akan mempengaruhi harga barangan di pasaran.

CUKAI SST NAIK

Tahun depan dijangka cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan sehingga lapan peratus. Apakah jangkaan KPDN? Adakah berlaku kenaikan harga barangan?
Jika dilihat kepada enam perkara berkaitan kos sara hidup tadi, perlu dilihat bagaimana kesan kos pengangkutan dan kenaikan SST berkenaan.
Tetapi untuk harga barang yang dijangka naik kita boleh jangka (kenaikan) tapi tak boleh nak quantified keperluan setiap keluarga sebab setiap keluarga berbeza berbanding lokasi dan keperluan keluarga seperti mana yang saya katakan enam faktor tadi.
Namun rakyat perlu diberi penjelasan mengenai (SST) yang terdiri daripada dua komponen iaitu cukai jualan (dan cukai perkhidmatan) yang mempunyai kadar berbeza. Cukai jualan dikenakan pada kadar 10 peratus (ada sesetengah barangan dikenakan lima peratus) dan kadar cukai perkhidmatan sebelum ini ialah enam peratus.
Hanya cukai perkhidmatan yang akan dinaikkan daripada kadar enam peratus kepada lapan peratus manakala cukai jualan tiada perubahan.
Bagaimanapun, terdapat pengecualian dalam kenaikan cukai perkhidmatan iaitu perkhidmatan yang melibatkan makanan, minuman dan telekomunikasi akan kekal pada kadar cukai enam peratus.
Sebagai contoh, jika kita berkunjung ke restoran yang sebelum ini mengenakan caj cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus, kadar ini tidak akan berubah dan masih kekal pada kadar tersebut.
Tetapi, yang akan terkesan adalah mereka yang menginap di hotel, yang mana kadar cukai perkhidmatan akan dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus.
Mungkin akan berlaku kenaikan pada harga barangan kesan daripada kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peritus kerana perniagaan akan memindahkan kos tersebut kepada pengguna.

KEKALKAN HARGA RAHMAH

Adakah inisiatif Rahmah munasabah dan boleh dikekalkan ketika peningkatan harga barangan dan kejatuhan nilai ringgit?
Saya bukan daripada keluarga kaya dan bukan juga keluarga susah. Tapi saya memang daripada pelajar serta aktivis, rapat dengan akar umbi.
Apabila berlaku keadaan begini (peningkatan kos sara hidup), kita tahu sangat macam mana rasanya. Sebab itu, inisiatif Rahmah ini sama ada daripada segi Menu Rahmah atau pakej Rahmah, ia inisiatif yang amat membantu.
Setakat ini untuk menu Rahmah, sebanyak 2,849 restoran dan pihak yang menjalankan inisiatif Rahmah masih istiqomah walaupun tanpa insentif. Ini semua dilakukan secara persendirian.
Apa yang kita buat adalah dengan memberi Kad Diskaun Khas Menu Rahmah, membantu mereka dengan memberi diskaun kepada pengusaha menu Rahmah.
Dan di situ bila dapat kad mereka boleh pergi ke enam rakan strategik inisiatif Rahmah seperti pasaraya AEON, NSK, MYDIN, Giant dan Lotus pergi ke untuk dapat diskaun. Jadi, dalam situasi ini wujud situasi menang-menang antara pengusaha dan pengguna.
Setakat ini, kita sudah buat lebih 3,000 jualan Rahmah dengan peruntukan RM150 juta akan kita gunakan sepenuhnya sehingga hujung tahun ini.
Namun saya tidak mahu habiskan dana dan peruntukan untuk belon dan mengadakan majlis perasmian, sebaliknya saya mahu gunakan untuk subsidi barangan keperluan.

PINDAAN AKTA ANTILOMPAT PARTI

Pandangan YB terhadap Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada kerajaan? Perlukah ada pindaan kepada Akta Anti Lompat Parti?
Mereka tidak lompat parti dan menyatakan sokongan kepada Perdana menteri. Ia seperti Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dan untuk dapatkan peruntukan.
Kalau dalam Parlimen untuk luluskan RUU seperti Belanjawan ia tidak memerlukan dua pertiga, hanya perlukan simple majoriti dan suara mereka tidak terkesan dengan undi RUU.
Kalau ia berkenaan pindaan Perlembagaan, kita tidak tahu bagaimana mereka undi. Mereka masih lagi ahli parti dan terikat dengan parti mereka. Justeru pada saya undang-undang ini digubal sewaktu pembangkang sekarang jadi kerajaan dan mereka tentu teliti tentang kemungkinan dan sudah tuntas dalam isu ini.
Pada pandangan saya undang-undang sedia ada cukup untuk tidak disalah­guna bagi menja­tuhkan kera­jaan. Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN