Dari jadi ‘pelantun’, elok berani tunjuk diri, nyatakan kebenaran

Dari jadi ‘pelantun’, elok berani tunjuk diri, nyatakan kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIKAP menyalahkan orang lain yang rajin, bijak merebut peluang terhidang depan mata dalam negara ini, tidak akan ke mana.

Bila bermalas-malasan, enggan gigih bekerja keras, salahkan pula kerajaan. Bila diberi imbuhan berupa bonus dan bantuan melalui pengumuman dalam belanjawan, reda sekejap suhu tohmahan itu. Bila dirasionalisasikan subsidi atau disebut subsidi bersasar atau subsidi ditarik atau apa sahajalah, amarah tiba-tiba muncul.

Tidak sahaja kerajaan, warga asing turut dijadikan ‘kambing hitam’. Padahal sebahagian kita hanya gemar menjadi penonton dan ‘pelantun’ dari luar.

Akhirnya, hati sendiri terus sakit memanjang. Padahal mereka di dalam sana, sama ada warga asing atau sebilangan politik terus mengaut peluang dan untung.

Kalau tidak masakan rekod Kementerian Sumber Manusia pada 19 Oktober lalu mencatat terdapat lambakan pekerja asing seramai 2.7 juta orang di dalam negara secara fizikal.

Kementerian Dalam Negeri turut menjelaskan ada seramai 1.7 juta pekerja asing diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Sehingga Oktober tahun ini sahaja, sebanyak 667,418 pekerja asing telah memasuki Malaysia.

Bilangan 2.7 juta pekerja asing ini telah melepasi had siling 2.4 juta orang pekerja asing atau 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Lambakan ini terjadi ekoran Pelan Kelonggaran Pekerja Asing (RTK 2.0) yang berjalan secara serentak. Dan peningkatan bilangan pekerja asing ini dilihat agak drastik daripada 1.4 juta pekerja asing pada Disember 2022.

Kita di tanah air ini terutama orang muda perlu berpijak di bumi nyata.

Diakui, lebih dua juta rakyat asing di sini bekerja dalam sektor 3D (dirty, difficult, dangerous). Ini berlaku di sebalik jumlah pengangguran belia tempatan berumur 15 hingga 24 tahun yang ramai. Graduan yang menganggur pula sekitar lebih 100,000 orang.

 

 

KETAMPANAN lelaki Pakistan boleh mencairkan gadis-gadis, apatah lagi di Malaysia. Pada 2016, Arshad Khan ketika itu berumur 18 tahun dirakamkan secara tidak sengaja oleh seorang pencari bakat sedang menjual teh dan mendadak menjadi trending di Twitter (kini X). Tidak lama kemudian, Arshad menerima tawaran menjadi model fesyen.

 

ISTIMEWA ORANG BANGLADESH, PAKISTAN
Apa istimewanya warga asing terutama dari Bangladesh dan Pakistan ini?

Baru-baru ini saya singgah minum di Ampang. Tinjau punya tinjau mencari pekerja Pakistan, singgah saya di sebuah kedai menjahit pakaian di sebuah kompleks beli-belah di sana.

Bertanya saya kepada seorang pemilik kedai tentang yang salah seorang staf warga Pakistannya. “Kerja dia laju macam roket. Saya ada juga pekerja Melayu untuk jahit, potong seluar tapi dengan ‘Amad’ ini (pekerja Pakistan itu) dia boleh ‘pergi’ hingga 50 helai seluar sehari atau lebih dari itu.

“Ada staf lain mengadu mengapa selalu bagi job pada Amad. Saya tanya dia balik, ini bukan soal dia ‘sapu’ semua atau tidak. Soalnya Amad rajin, laju,” kata aunty itu lagi.

Amad pula beritahu saya, rata-rata warga Pakistan yang tiba di Malaysia bukanlah kali pertama mereka berada di bumi asing.

“Mereka sudah terbang jauh ke tiga, empat negara. Abang saya sendiri ada di Dubai, kerja sana. Tapi sana panas. Saya suka di sini (Malaysia), ada sekejap panas, sekejap hujan. Peluang kerja banyak asal saja rajin kerja. Negara ini tiada perang. Orangnya semua baik-baik.

“Pakcik saya sendiri kahwin dengan orang Kuala Krai, Kelantan. Tapi di sini bukan isteri pertama,” kata Amad tersenyum.

Diam saya sejenak. Patutlah dalam Plaza Low Yat di Bukit Bintang, staf-staf yang jual hardware dan software komputer rata-rata lelaki Bangladesh dan Pakistan. Di Shah Alam, tempat tinggal saya, di bawah eskalator sebuah pusat beli-belah, siapa yang buka kedai potong, ‘kecikkan’ seluar? Itu belum lagi cerita Little Korea dan Little Arabic di Ampang Hilir; Seremban; Ayer Keroh, Melaka; Kuantan dan Kuala Terengganu.

Bahkan di Tanah Merah, Kota Bharu, Dabong dan Kuala Balah, kita boleh lihat sosok lelaki Pakistan ini yang kahwini orang tempatan dan buka kedai.

Ada kemungkinankah jumlah 2.7 juta pekerja asing ini boleh bertambah lagi berikutan 1.14 juta kuota penggajian pekerja asing telah diluluskan setakat 18 Mac lalu. Juga, lebih 700,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftarkan diri untuk program RTK 2.0.

Bukankah lambakan pekerja asing yang boleh dibayar dengan gaji rendah dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan boleh rencatkan usaha kita ke arah peralihan kepada automasi dan robotik bagi kurangkan penggunaan tenaga buruh? Dan adakah kemasukan pekerja asing tambahan wajar ditunda terlebih dahulu untuk elakkan berlakunya lambakan luar biasa pekerja asing di negara ini?

NAKAL
Sesekali saya menerima WhatsApp ‘nakal’ yang suka mengusik. Antaranya kisah ‘masuk Malaysia macam masuk syurga’.

Antara coretan nakal itu:
Jika anda seberangi secara haram sempadan Malaysia, anda ‘berpeluang tinggi untuk mendapat’:
– Mykad sementara? atau
– Status PR Penduduk Tetap?
– Lesen Memandu?
– Hak Mengundi?
– Tempahan Kerja?
– Kad kredit?
– Boleh buka akaun di mana-mana bank?
– Pendidikan percuma?
– Penjagaan kesihatan dengan kos minimum?
– Jadi tauke kedai runcit?
– Jadi bos orang tempatan?
– Beli rumah?
– Beli tanah free hold?
– Kahwin orang tempatan?
– Boleh dapat ‘gelaran dato’?

Apa pun jua kebenaran atau tidaknya, rumusan saya begini saja:
Bagi sesebuah keluarga, jaga diri, isteri dan anak masing-masing. Perkukuhkan institusi keluarga dengan memberi pelajaran dan didikan agama.

Orang politik juga berfikir perkara sama. Malah, sebilangannya mengkayakan diri dan keluarga. Anak-anak tidak belajar dalam negara, tapi nun di luar sana, London, Amerika, Australia, Jerman. Sedangkan kita (rakyat) asyik biarkan diri ditakutkan-takutkan dengan ‘bebayang’.

Mana yang intelek, berkuasa di menara gading dan agamawan serta penceramah agama yang sohor – berani-beranikanlah diri menyanggah perkara tidak baik dan tidak benar. Berikan idea yang bernas, yang tinggi piawaiannya kepada pihak berwajib untuk perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul.
Jangan jadi ‘pelantun’ semata-mata – bermain-main di permukaan, bercakap, berbisik-bisik dari luar.

Sedangkan kemungkaran berleluasa di depan mata, kebinasaan berlaku.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN