Syarat Pas jika masih impikan Putrajaya!

Syarat Pas jika masih impikan Putrajaya!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATANG pula pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kemaman 2 Disember ini. Atau katakanlah berlaku pula PRK Masjid Tanah yang keputusan petisyennya 27 Oktober ini, tidakkah sentimen Melayu-Islam akan berkumandang lagi?

Wal hasil balik asal lah. Tidak akan ada parti politik Melayu gamaknya yang cuba berusaha menghentikan isu-isu perkauman, agama dan institusi diraja (3R) yang dijangka dimainkan lagi dalam kempen-kempen pilihan raya nanti.

Benar! Tiada masalah, boleh saja bercakap dan berbincang soal Melayu dan Islam kerana kalau bukan daripada orang Melayu sendiri, siapa lagi?

Tetapi malangnya cara dan ‘kaedah’ membangkitkannya itu agak keterlaluan. Tidak membina dengan fakta yang lemah, apa lagi dalam mengukuhkan piawaian dan kewibawaan Melayu itu sendiri. Asyik menghentam melulu tanpa bersandar fakta dan kesahihannya.

Yang kita bimbangi, Islam itu diperkotak-katikkan. Seolah-olah sekadar dijadikan ‘pelaris’ meraih undi pilihan raya. “Mu nak Isle (Islam) ke na air? kejar akhirat dapat dunia” – ketika masalah air sudah ketahuan rahsia umum yang menjadi duri dalam daging buat penduduk di negeri itu. Saban minggu ada saja masalah libatkan gangguan bekalan, air berkarat dan sebagainya dimuatkan oleh penduduk di laman-laman sosial. Tapi, alahai dipandang remeh.

CURIGA
Barangkali ada benarnya diperingatkan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob kepada muslimat parti itu waktu bermuktamar kali ke-69 di Shah Alam baru-baru ini supaya memikirkan bagaimana untuk memenangi semula kerusi Kota Lama dan Galas di Kelantan. Dua kerusi DUN ini dihuni majoritinya bukan Melayu – yang tipikal menolak Pas – hakikatnya bukan sahaja di Kelantan, malah di negeri-negeri pantai barat yang maju ekonominya.

Dan untuk mengesahkan dakwaan Ahmad bahawa budaya politik matang berjaya dibawa oleh Pas agak sukar dibuktikan jika bukan Melayu berterusan curiga dan gusar untuk mendekati parti itu.

Realitinya, politik itu hidup. Politik bukan parti. Politik kehidupan harian. Macam mana rakyat mahu berada di luar politik? Orang tidak faham dengan politik penyertaan. Maknanya kita semua rakyat Malaysia sebahagian daripada politik. Kalau tidak, awak duduk dalam hutan sahajalah. Politik bukan parti. Politik bukan jawatan. Politik kehidupan seharian. Kalau salah tadbir, kita rakyat semua boleh ‘ke laut’.

Pas, dengan kekuatan bilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tertinggi berbanding parti-parti politik Melayu yang lain harus ‘terbang’ lebih tinggi dari apa yang dimilikinya setakat ‘jumlah kerusi pilihan raya’.
Mahu melihat berjaya penyatuan orang Melayu jika itulah harapan disandarkan umat Islam kepada Pas, ia haruslah dimulai dengan memperlihatkan imej Pas yang tidak ‘ultra’ dalam persepsi masyarakat berbilang kaum. Itu syarat awal sebelum Pas boleh melangkah bergaya menuju arus perdana atau Putrajaya seperti mana dicanangkan timbalan presidennya.

Fasa seterusnya, Pas harus mempunyai satu langkah dalam dunia pengkorporatan dan juga dunia ekonomi moden yang kepimpinan mereka harus fikirkan. Tidak sekadar itu, pengetahuan dan strategi memahami serta menguruskan geopolitik yang melingkari dunia hari ini perlu dipertingkatkan.

Pas perlu profesionalisme bergabung dengan kekuatan masing-masing pihak untuk mentadbir. Malah, amat penting lagi menjadi confidence atau kepercayaan di mata masyarakat majmuk dalam tahun-tahun mendatang ini.

Pas tidak boleh lagi berpuas hati ‘berlegar-legar’ di arena para penyokong dan ahlinya di satu dua negeri sahaja. Tidak harus pandang sinis kepada kelompok kaum tertentu atau mengatakan bahawa sesuatu yang sia-sia untuk memupuk keyakinan dan kepercayaan kaum berkenaan. Perkara ini sesuatu yang harus diberi perhatian berat, dengan analisis yang cukup objektif.

Yang pertama-tama perlu difikirkan oleh Pas yang Islam menjadi ideologi perjuangannya adalah kenapa tidak boleh menyatukan orang Melayu?

ABDUL Hadi ketika melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai parti pembangkang PKR di rumahnya di Damansara Heights pada 2 September 2004. Hari ini, 19 tahun kemudian 2023, Abdul Hadi pula menerajui pembangkang Pas untuk mengejar tampuk kuasa Putrajaya.

AMANAT HADI
Pertama, hemat saya, apa-apa kata-kata sinis, kata-kata tuduhan yang dibuat oleh pihak-pihak yang bertelagah dalam zaman-zaman dulu, harus ditarik balik. Bermakna, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perbetulkan semula deklarasi Amanat Hadi tentang kafir mengkafir ahli-ahli UMNO daripada pihak beliau. Itu mesti. Kalau tidak, ia begini seperti yang diluahkan oleh ahli-ahli parti saingan kenapa kita bercantum dengan orang yang telah dikafirkan.

“Awak pun kafir sama, jadi logik itu mudah difaham oleh orang. Elok ditarik balik. UMNO pula menarik balik apa-apa kata sinis yang telah dihamburkan kepada Pas sebelum ini, baru cantik cantuman itu”.

Perlu dilihat bahawa ini bukan dari sudut politik. Kita melihat dari tuntutan agama dan tuntutan kemelayuan dan di negara yang dahulunya dinamakan negeri-negeri Tanah Melayu.

Perlu dilihat dari segi itu. Dan soal sama ada parti-parti bukan Melayu lain sama ada yang komponen atau tidak, mensyaratkan begitu begini, tidak timbul sebab mereka pun bukanlah kuat mana hari ini. Jadi, pastikan itu dulu. Kepada orang Melayu amnya, kerjasama dalam kalangan parti-parti yang terasnya Melayu akan membuka kepada beberapa ruang untuk berbaik-baik sangka.

Perlu dimeterai satu piagam atau usahasama untuk memperkukuhkan bangsa Melayu kembali.

Namun dalam mengatakan itu mesti dipiagamkan bebas rasuah, bebas salah guna kuasa dan betul-betul menterjemahkan perjuangan manifesto untuk rakyat.

Dengan kedudukan jumlah kerusi pilihan raya terbanyak, Pas barangkali parti paling layak untuk mengambil inisiatif menggerakkan penyatuan orang Melayu – baik dengan UMNO, bahkan juga dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang membentuk kerajaan perpaduan selain Bersatu sedia ada.

Selepas itu barulah boleh merealisasikan impian kembali ke Putrajaya.

Boleh sahutkah syarat-syarat dan cabaran ini para pemimpin Pas!-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN