Rombakan Kabinet ‘pintu keluar’ tidak perform

Rombakan Kabinet ‘pintu keluar’ tidak perform

PERDANA Menteri harus segera melakukan rombakan Kabinet yang diperlukan untuk memastikan pemerintahan dapat berjalan dengan lancar dan mengatasi kebimbangan rakyat. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIAM tak diam, sudah hampir setahun kerajaan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanakah prestasi para menteri dan timbalannya?

Ada dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri dalam kerajaan madani hari ini. Dengan keluasan Malaysia 329,847 kilometer persegi, bilangan menteri sedemikian memadai. Namun, jika ada menteri yang tidak perform, Perdana Menteri perlu lakukan sesuatu – ganti mereka, segerakan rombak Kabinet.

Sesuatu portfolio dipertanggungjawabkan bukan satu jawatan diberi kerana dia seorang yang baik hati. Maka diletakkan seseorang di portfolio itu. Tidak boleh digadai sistem kerajaan hanya untuk gembirakan mereka ini. Perlu ada komitmen tinggi menteri untuk tingkatkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dalam cabaran semasa cukup getir ini. Apa lagi berdepan dengan pembangkang yang kerja mereka setiap hari mahu cari salah silap waima sekecil zarah sekali pun.

Anwar pastinya sudah membaca kad laporan petunjuk prestasi utama (KPI) para menterinya. Justeru, harus ada satu perasaan bersedia untuk membentang dan mencanangkan rekod-rekod baik kerajaan dalam setahun ini.

Kabinet adalah entiti paling penting kepada seorang Perdana Menteri. Ia cerminan bagaimana seorang Perdana Menteri mengatur pemerintahannya sendiri, baik dalam situasi politik yang sulit ataupun dalam keadaan ketidakpastian ekonomi.

Hebat para menterinya, hebatlah Perdana Menteri tersebut dan begitu juga sebaliknya.

Tugas para menteri saat ini sangat berat dengan isu-isu signifikan yang harus mereka atasi. Portfolio Menteri Kewangan, hal ehwal pengguna, pertanian, hal ehwal desa dan ekonomi antarabangsa memerlukan seseorang yang mempunyai komitmen sangat tinggi. Oleh itu, jawatan ini perlu diberikan kepada orang yang berwibawa bagi memacu masa depan rakyat dan negara.

Sebab itu Perdana Menteri sendiri seharusnya menentukan kriteria penilaian menteri-menteri. Menteri yang tidak memberikan hasil diharapkan harus menyedari bahawa mereka harus meninggalkan jawatan tersebut. Jangan dipandang enteng keluhan rakyat terhadap prestasi sesetengah menteri. Kesannya amat besar, iaitu di atas kertas undi.

Realitinya, tidak boleh semua beban diletakkan di bahu Perdana Menteri seorang. Bahkan, kelemahan menteri tidak boleh tuang kepada beliau.

Kita tidak mahu ada kalangan menteri ‘sibuk’ dengan vending machine, basikal dan satu dua perkara dari melihat sesuatu yang lebih makro. Asyik dengan data dan statistik juga tidak berapa kena. Jangan-jangan menyebabkan rakyat keliru dan curiga pula.

Difahamkan dalam setahun ini sejak semua menteri angkat sumpah 3 Disember tahun lalu selepas pilihan raya umum 19 November, mereka yang berjaya membuktikan dirinya perform dan boleh deliver adalah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Dikatakan mereka berdua dalam kedudukan nombor satu dan dua dalam carta.

Dua orang lagi, iaitu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa turut perlihatkan prestasi memberangsangkan dengan bukti kerja keras dan komitmen tinggi.

Untuk kedudukan kurang berbisa dan tidak perform pula diisi daripada mereka yang memegang portfolio pertanian, keselamatan, komunikasi dan ekonomi. Itu rating KPI menteri yang dimaklumkan kepada saya setakat ini.

Apa yang penting, menteri tidak boleh lagi berselindung di bawah teguran Perdana Menteri sahaja. Mereka harus duduk di depan, mendengar apa yang Perdana Menteri mahukan. Baru ada perubahan dan peningkatan.

Pada waktu ini, tugas seorang menteri cabarannya cukup getir dengan isu-isu berkepentingan rakyat yang tidak menang tangan untuk dijenguk dan diselesaikan.

Semestinya harapan Perdana Menteri kepada barisan Kabinetnya cukup tinggi. KPI para menteri akan memandu arah Malaysia yang betul.

Suatu ketika kerajaan sebelum 2018, bermula 2009 membelanjakan wang negara untuk membuat penilaian objektif para menteri. Tetapi ia dibuat keterlaluan sehingga ada ‘guru besar’ pula yang menjadi pengawas pihak kerajaan untuk semua menteri. Menteri dari seberang Laut China Selatan itu yang membuat penentuan KPI, tetapi dirinya sendiri tidak ada KPI. Dia tukang catur sahaja.

Maka seeloknya Perdana Menteri sendiri sahajalah membuat penentuan markah para menterinya. Ia bukan sahaja soal menyalurkan wang peruntukan yang banyak untuk pentadbiran hal ehwal kementerian, tetapi paling penting berkisar aspek keberkesanan. Menteri yang tidak deliver perlu tahu ‘pintu keluar’ mereka.

Cabaran diharungi anggota jemaah menteri kerajaan perpaduan diakui getir. Tempoh hari dalam tiga kerajaan yang lepas untuk tempoh empat tahun, potensi sebilangan menteri lebih banyak menjadi buah mulut rakyat. Sebilangannya di bawah standard yang sepatutnya.

Justeru, Kabinet kerajaan perpaduan harus membuktikan prestasi mereka bukan begitu, sebaliknya jauh ke hadapan.

Kepada yang pernah berjanji seolah-olah dialah superman untuk selamatkan negara dalam bab ekonomi misalnya, inilah masa dan ketikanya untuk menyerlah. Malaysia perlukan pemimpin yang tidak ada ‘bagasi politik’ (political baggage). Imej dan karakternya mungkin nampak sederhana, tetapi apa yang kita perlukan sekarang ialah hasil kerja berdasarkan keputusan demi membantu rakyat.

Justeru, Perdana Menteri harus segera melakukan rombakan Kabinet yang diperlukan untuk memastikan pemerintahan dapat berjalan dengan lancar dan mengatasi kebimbangan rakyat. Lantiklah seseorang yang berkelayakan dan sesuai untuk jawatan tersebut, bukannya berdasarkan kuota sesuatu parti serta hierarki seseorang di dalam parti. Rakyat sudah bosan dengan lawak jenaka para menteri. Rakyat mahukan tindakan berkesan para menteri.

Perubahan kaedah pelantikan menteri perlu dilakukan oleh Anwar dan tradisi lama harus dihentikan. Reformasi dalam pelantikan menteri amat ditagih oleh rakyat bagi memastikan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat terpelihara. Barisan pemimpin terbaik ialah yang sentiasa bersederhana. Hidup dalam bidang kelayakan mereka sendiri.

Negara ini tidak mampu lagi diliputi rasuah kiri kanan atas bawah. Rakyat dan dunia akan pandang kita hina berterusan. Anak cucu kita akan digelumangi budaya jijik.

PM10 berhak perbetulkan sistem yang semakin rosak ini. Kita memerlukan reformasi keseluruhan sistem ini. – UTUSAN

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN