PADA 3 Disember ini, genap setahun Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM). Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ialah TPM pertama dari Borneo sejak Malaysia ditubuhkan 60 tahun lalu pada 16 September 1963.
Fadillah nampaknya berjaya memenuhi harapan yang pernah diluahkan oleh Felow Kanan Majlis Profesor Negara yang juga penganalisis politik Sarawak, Datuk Dr. Jeniri Amir yang mahu pemimpin yang dilahirkan di Sibu itu memainkan peranan merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberikan keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Malaysia bertaraf wilayah yang tidak sama dengan negeri-negeri lain.
Latar belakangnya sebagai seorang peguam lulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) membolehkan beliau lebih memahami bahasa undang-undang dan mengenal pasti punca perjanjian yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 sangat lambat dilaksanakan.
Setelah kerajaan perpaduan mengambil alih pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Fadillah dipertanggungjawabkan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang disifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa hampir keseluruhan permasalahan melibatkan perjanjian itu selesai dengan baik. Difahamkan sebanyak 11 perkara dalam MA63 telah diselesaikan manakala 23 perkara masih dalam rundingan setakat ini.
Seperti dinyatakan Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober lalu, sebagai usaha menzahirkan kesepakatan dicapai pemimpin dahulu dalam MA63 sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan kepada Sabah, manakala RM5.8 bilion lagi untuk Sarawak, iaitu peningkatan daripada RM6.5 bilion (Sabah) dan RM5.6 bilion (Sarawak) dalam Belanjawan 2023.
Walaupun peningkatan itu dianggap pihak pembangkang sebagai kecil iaitu RM100 juta bagi Sabah dan RM200 juta bagi Sarawak, Anwar menyatakan apa yang harus dilihat adalah pengumumannya ketika pembentangan itu yang melibatkan langkah merealisasikan semangat MA63.
Ini termasuk Kerajaan Persekutuan menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di kedua-dua negeri itu.
Selain itu, kadar pemberian khas interim (bersifat sementara) untuk Sarawak dan Sabah ditingkatkan kepada RM300 juta, berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.
Pemberian itu bersifat sementara kerana Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh Fadillah masih lagi berunding bagi memuktamadkan formula pemberian khas itu.
Ketika pembentangan belanjawan itu, Anwar turut mengumumkan beberapa langkah lain melibatkan MA63 termasuk pelantikan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada kerajaan Sabah berkuat kuasa 3 Januari 2024.
INFRASTRUKTUR
Anwar turut mengumumkan Kerajaan Persekutuan sedang berunding bagi menyerahkan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa kepada kerajaan negeri.
Dalam pada itu, satu lagi harapan yang diluahkan Jeniri terhadap Fadillah adalah untuk memainkan peranan bagi merapatkan jurang tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Ini bagi memastikan kedua-dua negeri itu tidak ketinggalan dari segi infrastruktur, politik, sosial, pendidikan dan ekonomi.
Untuk merealisasikan harapan ini, tidak cukup untuk tempoh setahun. Tetapi usaha ke arah itu telah dibuat apabila Fadillah baru-baru ini mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi membincangkan cadangan memberikan autonomi Sabah dan Sarawak bagi urusan pentadbiran kesihatan dan pendidikan.
Fadillah ketika ditemu bual pada program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk Merealisasi Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat pada 18 Oktober lalu menyatakan komitmen untuk meningkat infrastruktur dan katanya kesungguhan itu dapat dilihat apabila Yang di-Pertuan Agong sendiri turun melihat keadaan di Sabah dan Sarawak melalui Kembara Borneo dan baginda sebenarnya sudah memberi laporan kepada Perdana Menteri mengenai aduan rakyat.
“Baginda telah mengatakan kepada Anwar bahawa Sabah dan Sarawak patut diberi peruntukan yang lebih selepas mendapati infrastruktur di negeri itu jauh ketinggalan berbanding negeri di Semenanjung,” katanya.
Tambah Fadillah, walaupun ada yang berpendapat peningkatan peruntukan pembangunan pada tahun depan tidak banyak tetapi semua pihak harus menyedari kedudukan kewangan negara yang mencabar.
Selain itu, beliau menegaskan, penekanan perlu diberikan kepada tata kelola yang baik kerana jika mendapat peruntukan besar pun tetapi tidak dibelanjakan dengan berhemah, efektif dan efisien, ia tidak akan memberi kesan.
Sama ada Fadillah telah berjaya memainkan peranan selaku TPM untuk meningkatkan peruntukan kepada Borneo boleh dilihat daripada komen Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyifatkan Sarawak sebenarnya mendapat lebih daripada RM5.8 bilion peruntukan pembangunan kerana terdapat dana lain yang disalurkan menerusi kementerian-kementerian Persekutuan.
Mengakui Sarawak menginginkan peruntukan lebih besar tahun depan, Abang Johari berkata, pihaknya memahami kekangan serta had peruntukan yang boleh disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Bagi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pula, walaupun peningkatan peruntukan tahun depan untuk negeri itu hanya sebanyak RM100 juta, beliau berkata pihaknya menghargainya kerana Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan usaha untuk memenuhi pelaksanaan MA63.
INFOGRAFIK
MANFAAT BELANJAWAN 2024 LAIN
Sarawak
» Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak akan siap sepenuhnya tahun hadapan
» Peruntukan RM80 juta bagi memelihara tapak warisan termasuk Gua Niah
» Kerajaan Persekutuan menyokong hasrat Sarawak membangunkan sebuah institut kanser
» Pembinaan sekolah baharu SMK Baie, Bintulu
Sabah
» Kerajaan Persekutuan akan menyokong pelaksanaan penjanaan tenaga elektrik secara solar hibrid di selatan Sabah
» Pembinaan klinik kesihatan baharu di Pulau Mantanani, Kota Belud
» Proses tender bagi projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b sebanyak RM15.7 bilion selesai pada November ini
» Peruntukan disediakan untuk kerja awalan pembinaan dua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Nabawan dan Kalabakan
Sarawak dan Sabah
» Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 sebanyak RM7.4 bilion bermula hujung tahun ini
» Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi sebanyak RM11.8 bilion termasuk di Sungai Likas, Kota Kinabalu dan Kuching Fasa 2
» Peruntukan RM225 juta bagi membiayai kos pengedaran barangan keperluan asas ke kawasan pedalaman termasuk kawasan baharu di Abai, Sandakan dan Engkerebai, Mukah
» Meneruskan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, FLYsiswa bagi membantu 60,000 pelajar kurang mampu pulang ke kampung
» Peruntukan RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf sekolah daif termasuk 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah
» Dana RM209 juta untuk subsidi pengangkutan udara penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.